PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday 22 January 2016

TPPA bakal lenyapkan ‘Jelapang Padi’ negara?



ALOR SETAR – Kedah dijangka antara negeri terjejas teruk kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas dikuatkuasakan, berikutan ‘Jelapang Padi’ negara bakal berdepan daya saing tinggi dengan kemasukan beras import.
Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat mendakwa, petani berdepan kemungkinan hilang pendapatan apabila beras gred lebih tinggi dari negara lain dijual pada harga setara dengan beras keluaran negara.
“Keperluan penduduk terhadap makanan ruji tentunya akan beralih kepada pilihan yang lebih baik apabila mereka ditawarkan produk lebih bernilai,” katanya.
Menurutnya, tidak mustahil pesawah juga akan ‘hilang kerja’ apabila penanaman padi tidak lagi menjadi sumber pendapatan serta memungkinkan tanah sawah diubah kepada tujuan pembangunan.
“Lambat laun, proses itu kelak melenyapkan landskap Kedah selaku Jelapang Padi negara. Nasib sama juga akan menimpa pesawah di seluruh negara terutama dalam jajaran estet padi yang juga terdapat di Selangor dan Perak,” katanya.
Mohd Azam berkata, kemungkinan atas faktor itulah, Thailand, Filipina dan Indonesia tidak berminat dengan TPPA demi menjaga usahawan tani di negara masing-masing daripada terjejas.
“Kebimbangan ini wajar diberi perhatian berdasarkan kepada tidak tanduk kerajaan dan agensi berkaitan yang tidak begitu serius membantu sektor beras negara, khususnya pesawah dan penanaman padi. Sektor ini masih di takuk lama dan masalah yang membelenggu tidak ditangani dengan baik,” katanya.
Antaranya, isu baja dan anak benih, serangan penyakit, pengairan, jentera, subsidi dan harga padi seakan tidak pernah menemui jalan penyelesaian.
“Lebih malang lagi apabila segelintir tanah sawah terpaksa bersaing dengan keghairahan pembangunan untuk mengubah statusnya. Ini termasuk dasar kerajaan negeri sama ada lebih mengutamakan kepentingan pembangunan atau pertanian.
“Atas faktor itu, Pemuda Pas Kedah gesa kerajaan tidak menandatangani TPPA demi kepentingan bangsa dan negara. Kami harap golongan pesawah di seluruh negara nyatakan bantahan terhadap TPPA pada Himpunan Aman Membantah TPPA, Sabtu depan,” katanya.
-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment