PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 9 March 2016

Perkukuhkan Jambatan Antara UMNO dan Rakyat



Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabsheeberkata, parti itu perlu melakukan transformasi politik dengan lebih drastik membabitkan proses kepercayaan dan keyakinan ahli terutama di peringkat akar umbi.
Katanya, mengambilkira pelbagai isu dan senario yang menjadi latar belakang kepada apa yang didakwa sebagai krisisi keyakinan, UMNO perlu lebih radikal untuk memulihkan semula keyakinan tersebut.
"Walaupun UMNO setakat ini tidak dilanda krisis yang meruncing, tetapi realitinya keyakinan sesetengah pihak terhadap keupayaan UMNO mula menjadi tanda tanya," ujarnya.
Oleh sebab itu tegas beliau, pemimpin UMNO perlu melakukan sesuatu yang lebih drastik bagi mengambalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah.
"Walaupun agak pahit untuk menerima hakikatnya, UMNO perlu lebih tangkas dan berani berdepan dengan rakyat tanpa meletakkan kesalahan  kepada pihak lain," tegasnya lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, salah satu kaedahnya pemimpin UMNO perlu lebih kerap turun padang. 
Syed Ali menjelaskan, golongan akar umbi sebenarnya dahagakan kepada kehadiran pemimpin yang mereka pilih disamping memberikan penjelasan sesuatu isu secara telus dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, akibat ketiadaan penjelasan yang meyakinkan rakyat hari ini terutama generasi muda terperangkap dengan kekeliruan ciptaan pihak berkepentingan.
Beliau turut mengakui persepsi negatif yang  turut disemarakkan oleh pihak pembangkang sedikit-sebanyak telah menghakis keyakinan tersebut.
"Anak muda terdedah dengan ledakan maklumat tanpa sempadan menerusi media sosial yang menjadi salah satu punca kekeliruan dan ketidakyakinan kepada sistem pentadbiran hari ini," ujarnya.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO tegas beliau, telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negara tetapi mereka masih juga terpedaya dengan pemalsuan fakta dilakukan pembangkang.
"Malah ada yang percaya dan menerima tanpa banyak soal mainan persespsi jahat golongan tidak bertanggungjawab yang cuba melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO," ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkeyakinan bahawa golongan sasasaran akan kekal setia kepada UMNO jika mereka mendapat maklumat yang tepat dan sahih bersabit sesuatu isu.
"Saya juga percaya rakyat tetap bersama UMNO," tegasnya sambil mengingatkan pemimpin perlu bersedia untuk mendengar keersahan mereka.
Katanya lagi, jambatan kukuh yang menghubungkan antara kesetiaan rakyat dengan kepimpinan UMNO perlu diperkuatkan supaya tidak runtuh terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Syed Ali menjelaskan, pihak pembangkang sedang berusaha keras untuk meruntuhkan jambatan tersebut kerana hanya dengan cara itu mereka akan menguasai negara ini.
"Kita tidak rela jambatan itu ranap disebabkan kecuaian dan kealpaan kita atau kerana perbuatan 'anai-anai' yang merosakkannya daripada dalam," tegasnya.
Beliau juga mengingatkan pemimpin komponen BN supaya sentiasa berpegang kepada ikatan permuafakatan yang dijalin atas kepentingan semua kaum.
Menurutnya, BN bukan sahaja penting kepada UMNO sebaliknya turut menjadi tempat bergantung pati-parti sekutu yang berada dalam gagasan tersebut.
"Semua parti dalam BN kena bekerja keras, bukan hanya UMNO yang bertungkus lumus kerana jika BN terlucut kuasa selaku gabungan parti yang membentuk kerajaan, semuanya akan turut menerima musibahnya," tegasnya.
Mengenai krisis dalaman yang melanda PAS sekarang ini bersabut isu kerjasama parti itu dengan UMNO terutama di Selangor, Syed Ali berkata masalah itu 'hal rumah tangga mereka'.
"Usia PAS menyamai UMNO, tentu mereka sudah matang untuk menanganinya," katanya.
Mengenai kerjasama tersebut, beliau menjelaskan berita itu hanya tersebar di laman-laman sosial dan tidak ada kesahihan yang boleh diperakui.
"Saya ada dengar cakap-cakap mengenai perkara itu (kerjasamna PAS-UMNO), tetapi sejauhmana perkembangannya, masih belum pasti," katanya.

No comments:

Post a Comment