PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Friday, 14 November 2014
Petugas Khas Pantau Usul Perhimpunan Agung UMNO
Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi memantau setiap usul yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini untuk tindakan kementerian terlibat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan pasukan tersebut merupakan satu pembaharuan dan langkah transformasi parti demi membuktikan suara akar umbi dan denyut nadi rakyat didengari dan dilaksanakan secara serius.
Menurut beliau, skop tugas pasukan itu akan membuat susulan dan melaporkan semula perkembangan serta kemajuan yang dicapai kepada bahagian-bahagian UMNO yang mengemukakan usul tersebut untuk pengetahuan dan tindakan selanjutnya.
“Pembaharuan ini bukan bermakna kita tidak ambil peduli sepenuhnya usul-usul yang dibangkitkan sebelum ini tetapi tidak ada pemantauan secara serius dan kita tidak mahu usul-usul itu hanya tinggal di atas kertas sahaja.
“Kita tidak tahu sejauh mana pelaksanaan usul yg telah dipersetujui itu dilaksanakan oleh kementerian berkaitan kerana tidak ada tindakan susulan yang dikemukakan kepada bahagian-bahagian UMNO selepas mereka membangkitkan usul tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Meja Bulat Majlis Kepimpinan Tertinggi Perhimpunan Agung UMNO, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pasukan petugas khas yang belum diputuskan keaggotaannya itu akan melaksanakan pemantauan setiap tiga bulan sekali.
Katanya, ketua setiausaha setiap kementerian sudah pun dimaklumkan berhubung setiap usul yang akan dibangkitkan pada perhimpunan itu nanti.
“Berbeza kali ini, dahulu kita hanya menghantar surat kepada kementerian terlibat tanpa ada susulan dan pemantauan.
“Langkah ini jelas menunjukkan UMNO semakin terbuka dan inklusif mendengar suara-suara daripada golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik termasuk golongan muda,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment