PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday, 1 November 2014

Pemuda UMNO terus fokus isu kos sara hidup menjelang PAU 2014



KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO akan terus memberi penekanan terhadap isu berkaitan kos sara hidup yang melingkari golongan muda menjelang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 bulan depan, kata ketuanya, Khairy Jamaluddin.
Namun, katanya, selain agenda utama memperjuangkan nasib golongan muda bangsa Melayu, sayap itu juga akan menyentuh mengenai isu-isu berkaitan yang membelenggu golongan muda kaum-kaum lain.
"Saya akan adakan taklimat dengan jurucakap perwakilan kita untuk menyentuh mengenai isu kos sara hidup, pendidikan, rumah mampu milik, ekonomi serta isu politik semasa," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Pemuda Umno mahu komited memperjuangkan bukan sahaja isu berkaitan bangsa Melayu, tetapi juga kaum-kaum lain agar ia dilihat lebih inklusif.
Selain itu, katanya Pemuda akan menganjurkan dua majlis serentak pada 16 Nov ini, iaitu mesyuarat dewan perbandaran dan kongres perumahan, mengenai inti pati pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Khairy turut melahirkan penghargaan kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan kerana menerima idea Pemuda untuk diwujudkan rumah transit bagi golongan muda yang sudah berkahwin.
Beliau berkata, Pemuda akan terus komited membantu kementerian mengenal pasti lokasi tanah yang bersesuaian untuk dijadikan tapak pembinaan rumah transit, di samping memastikan golongan muda yang memenuhi syarat dapat menikmati kemudahan itu, tanpa mengira bangsa dan agama.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Program Pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara malam ini bukanlah sesuatu yang harus golongan mahasiswa pertahankan kerana ia lebih bersifat politik peribadi, katanya.
Beliau berkata walaupun kebebasan bersuara mahasiswa harus dihormati, tidak wajar ia dimanipulasikan oleh pihak berkenaan semata-mata untuk meraih simpati menjelang tarikh perbicaraan rayuan kes liwat ketua pembangkang itu esok.
"Tapi apabila mereka menganjurkan program, yang tujuan dia satu sahaja, iaitu untuk menghasut mahasiswa dan untuk menyampaikan mesej yang berat sebelah (politik), tidak diberi peluang kepada pihak lain untuk jawab, saya rasa itu bukanlah majlis yang sesuai," katanya.
Khairy berkata sedemikian apabila diminta mengulas mengenai program itu, yang dikatakan cubaan Anwar untuk meraih simpati pihak luar sebagai benteng terakhir meneruskan kelangsungan politik beliau, terutama menjelang pendengaran rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan selama dua hari bermula esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment