PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Sunday, 16 November 2014
BN Perlu Letak Calon UMNO Dikawasan Melayu
Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon UMNO di kawasan majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, demi menjamin kelangsungan sebagai parti pemerintah.
Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Abd. Aziz Kaprawi berkata, langkah itu wajar memandangkan formula tersebut turut digunapakai oleh pembangkang pada PRU-13.
“Sebagai contoh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dalam Parlimen Sri Gading, majoritinya orang Melayu, BN telah meletakkan calon MCA dan ditewaskan oleh pembangkang yang meletakkan calon Pas.
“Memandangkan landskap politik kini telah berubah, maka sewajarnya jika kawasan itu majoriti Melayu, maka BN meletakkan calon UMNO,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Abd. Aziz, terdapat sebilangan pengundi Melayu akan mengundi atas faktor calon jika majoriti kawasan itu adalah orang Melayu dan cenderung untuk tidak memilih calon BN daripada kaum lain.
Tambahnya, suasana itu tidak berlaku sebelum PRU-13 tetapi landskap politik kini berubah dengan perkembangan teknologi media baharu yang merebak begitu cepat sehingga berjaya mempengaruhi para pengundi secara langsung.
“Saya yakin formula tersebut jika diguna pakai pada PRU-14, mampu merampas semula kerusi di mana BN tewas,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Abd. Hamid Abd. Rahman berkata, cadangan untuk membuat satu ketetapan kepada MCA dan Gerakan hanya bertanding di kawasan majoriti Cina merupakan langkah terbaik bagi kedua-dua parti berkenaan memulihkan imej dan kekuatan.
Katanya, parti-parti berkenaan perlu lebih serius mendekati kaum Cina bagi memberi sokongan kepada BN.
“Dalam konsep berkongsi kuasa, hanya apabila kita menang baharu kita dapat kuasa, hanya kita menang baharu BN dapat membentuk kerajaan.
“MCA dan Gerakan perlu berusaha memulihkan diri sendiri, kalau MCA sebelum ini cukup serius untuk menolak jawatan berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya, mereka juga perlu berani mengambil cabaran itu,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment