PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday, 11 November 2014

Azmin Rujuk Sultan Selangor, Bincang Isu Rampasan Bible



Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan merujuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menyelesaikan isu rampasan Bible berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), yang sudah berlarutan hampir setahun.
Beliau mahu meleraikan masalah itu sebaik mungkin sekali gus tidak mengguris hati mana-mana pihak sama ada penganut agama Islam dan bukan Islam.
"Esok (hari ini) saya akan menghadap (Sultan Selangor) lagi dan pertemuan itu hanya seperti biasa, setiap minggu saya memang bertemu baginda dan sudah tentulah banyak perkara yang akan kita bangkitkan.
"Antaranya bagaimana kita boleh selesaikan isu bible ini dengan cukup harmoni dan tidak menimbulkan ketegangan agama di dalam negeri Selangor. Itu juga menjadi asas pertimbangan kita dalam menyelesaikan masalah,” katanya ditemui media selepas Majlis Himpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor, semalam.
Dalam perkembangan lain, Azmin turut mengulas mengenai status terkini bantuan baik pulih infrastruktur di kawasan Pandamaran, Klang yang terjejas akibat ribut taufan akhir bulan lalu.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah besar dana bagi kerja membaik pulih rumah kos rendah.
"Kerja-kerja yang perlu dilakukan itu cukup besar dan memerlukan jabatan teknikal untuk meneliti kesesuaian kerja yang perlu dilakukan. Ia juga melibatkan kos RM800,000 dan ia telah diluluskan.
"Cuma, sebelum kita selesai masalah bumbung ada masalah lain seperti tangki-tangki air yang perlu diganti. Kita tak mahu baiki bumbung kemudian kena buka semula untuk baiki tangki air. Tangki air itu juga ditanggung oleh kerajaan negeri yang berjumlah hampir RM400,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment