PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Saturday, 29 November 2014
#PAU2014 : Sifat '5M' Gugat Ekonomi Bumiputera
Jauhi sifat lima M iaitu menafikan, membangkang, mempertikai, memutar belit dan menentang jika mahu agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera berada pada landasan tepat.
Itu seruan wakil Sabah, Datuk Bolkiah Ismail yang mahu setiap ahli parti terus berdiri kukuh di belakang tampuk kepimpinan kerajaan bagi memastikan survival ekonomi kaum Melayu dan Bumiputera terus terpelihara.
"UMNO bukan saja hanya sebuah parti... tetapi parti berjasa yang memperjuangkan nasib kaum Melayu. Melalui UMNO, survival ekonomi Bumiputera terus terpelihara.
"Dengan adanya Dasar Ekonomi Baru (DEB), ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera semakin berkembang maju. Tiada siapa yang dapat menafikan dasar ini berjaya memartabatkan kedudukan ekonomi Melayu," katanya ketika membahaskan usul ekonomi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kudat menyeru Bumiputera Sabah supaya melakukan transformasi dan berani membuat perubahan dalam sektor ekonomi.
"Usahawan Bumiputera Sabah harus mempersiapkan diri dengan ilmu perakaunan. Jika tidak mahir, hadir ke kursus itu bagi memantapkan lagi ilmu kira-kira sebagai persediaan sebagai seorang usahawan berjaya," katanya.
Menyentuh agihan subsidi yang diterima rakyat Negeri di Bawah Bayu itu, beliau mencadangkan subsidi diperluaskan kepada sektor logistik.
"Kita lihat sekarang, harga rumah di Sabah semakin mahal dan ada kalanya tidak masuk akal. Ramai rakyat negeri ini merungut tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
"Saya cadang subsidi logistik ini diperluaskan untuk pengangkutan dalam sektor pembinaan, bukan hanya untuk sektor barangan keperluan harian," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment