Sebanyak tujuh langkah pembaharuan perlu dilaksanakan UMNO dengan segera antaranya dengan mewujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan tersusun bagi melengkapkan perubahan serta peremajaan UMNO sebagai parti harapan orang muda pada masa depan.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujah serta teguh daya rohaninya bagi menjadikan mereka sebagai kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.
"Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa," katanya berucap merasmikan Persidangan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Muhyiddin berkata, enam langkah lain yang perlu diambil UMNO ialah melahirkan pemimpin muda berwibawa, melakukan pencarian bakat, menyemarakkan semangat kesukarelawanan, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO, menggerakkan revolusi mental baharu serta membangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik. Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar.
"Mereka ada 'courage', iaitu keberanian dan ada 'conviction', yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin," katanya.
Tambahnya lagi, orang muda dan umat Melayu sebenarnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO dan mahu supaya pemimpin parti tegas memperjuangkan kepentingan Melayu serta Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal.
"Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama.
"Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment