PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 5 November 2014

Masa Depan Umno Terletak Di Jalan Tengah Kesederhanaan



BLOG SSKERUAK - Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) nampaknya dijangkiti "penyakit" yang sama -- kecelaruan menentukan hala tuju perjuangan. Umpama tangan kanan tidak tahu apa yang tangan kiri lakukan atau bahagian atas tidak bergerak seirama dengan bahagian bawah. Kata orang Melayu ekor dan kepala tak sama.
Sebagai contoh, krisis pelantikan Menteri Besar di Selangor baru-baru ini dan desakan untuk menguatkuasakan Undang-Undang Hudud di Kelantan. Pihak atasan mendesak untuk bergerak ke satu arah manakala pihak bawahan menyokong arah yang bertentangan. Keadaan ini jelas kelihatan di kalangan sekutu gabungan Pakatan Rakyat. 
Ini terbukti apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini memberi amaran kepada sekutunya dalam Pakatan Rakyat supaya konsisten dalam perjuangan pakatan pembangkang itu.
Keadaan yang sama juga berlaku dalam BN dan Umno. Umno mahu bergerak lebih ke haluan kanan manakala parti-parti komponen BN yang lain lebih menjurus ke jalan tengah atau pendekatan yang sederhana.
Dalam Umno sendiri, Perdana Menteri mahu hala tuju parti terarah ke jalan tengah kesederhanaan namun pemimpin lain mahukan pergerakan itu tertumpu ke haluan kanan. Sebab itu, pergerakan NGO seperti PERKASA dan ISMA kini lebih terserlah dan mempunyai jumlah pengikut yang agak ramai dan mula merisaukan.
Arena politik Malaysia telah berubah dari satu era ke era yang lain. Trend semasa politik di pelusuk dunia kini lebih bersifat sentralistik, and kedua-dua gabungan BN dan Pakatan Rakyat tidak dapat merealisasikannya di negara ini.
Bagi memastikan kekal relevan, dan seterusnya kekal berkuasa, ada baiknya Umno bergerak menjurus ke jalan tengah kesederhanaan. Tentu sekali pejuang nasional, Islam, dan sebagainya merasa tidak senang hati pendekatan seumpama ini. 
Sesetengah nasionalis Melayu berpendapat masa depan UMNO terletak pada hala tuju parti yang lebih memperjuangkan Melayu. PAS pula berpendapat ia seharusnya lebih berlandaskan kepada perjuangan agenda Islam sebagai umpan meraih sokongan orang Melayu dari UMNO.
Puak pelampau haluan kanan atau kiri bukan lagi kumpulan majoriti dalam masyarakat Malaysia. Apabila diselaraskan masa berlaku, kita bakal melihat situasi di mana golongan yang memilih jalan tengah atau pendekatan yang sederhana akan mengatasi jumlah golongan pelampau atau ekstremis. Jalan tengah kesederhanaan inilah letaknya masa depan Umno.
Jika Umno mengabaikan hakikat ini, ia berdepan risiko sendiri. Pembangkang tidak boleh mengetepikan Umno sebagai parti tidak relevan. Hanya Umno yang boleh membuat parti itu sendiri tidak relevan, dan ini seharusnya menjadi petunjuk kepada Perdana Menteri dan bukan suara orang-orang yang mahu melihat Malaysia kembali ke era pra-1969.

No comments:

Post a Comment