PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Wednesday, 12 November 2014
Melayu Perlu Bersatu Martabat Kedudukan Bangsa
Orang Melayu disarankan supaya bersatu-padu dan menanamkan sifat sentiasa ingin bekerjasama yang menjadi jati diri mereka sebagai persediaan awal menghadapi pelbagai ancaman yang boleh menggugat kedudukan bangsa.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, salah satu cara untuk mengekang ancaman-ancaman tersebut adalah orang Melayu harus sentiasa berani, tegas, bijak merancang dan berfikiran jauh.
“Orang Melayu harus berjuang habis-habisan dan bangkit memperjuangkan hak bangsa kita di bumi Malaysia ini. Ini bukan soal rasis, tetapi tentang membela agama, bangsa, dan budaya kita. Jangan pernah kata Melayu lemah.
“Yang sudah mengecapi kesenangan pula jangan terus leka dan berpeluk tubuh sebaliknya bantulah yang memerlukan dan jangan sesekali mengabaikan yang lain,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan bahawa orang Melayu perlu bersedia menghadapi ancaman yang semakin menggugat kedudukan bangsa Melayu di negara ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali mendakwa, masalah dihadapi orang Melayu kini kebanyakannya berpunca daripada sikap sambil lewa yang ditonjolkan oleh pihak atasan, khususnya dalam menguruskan isu hak dan kepentingan.
Katanya, setiap masalah serta cabaran dihadapi masyarakat sebenarnya sudah lama berlaku, namun apa yang menghairankan adalah tiadanya tindakan serta langkah pengawalan diambil oleh pihak berkaitan.
“Kita tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun ini hakikatnya cabaran yang terpaksa ditempuh. Isu tanah rizab Melayu, isu kebanjiran warga asing, pemerkasaan bahasa Melayu serta beberapa masalah ekonomi.
“Jika tiada tindakan drastik diambil dalam tempoh terdekat, saya yakin generasi akan datang adalah golongan yang bakal menerima impak yang besar,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment