Pasukan khas tentera Britian dibentuk untuk misi ke Syria bagi memerangi militan Negara Islam (IS) terutama yang memenggal kepala tebusan rakyatnya, Alan Henning dan David Haines.
Ia dikatakan operasi terbesar yang dilancarkan pasukan khas sejak serangan 11 September 2001.
Sumber kerajaan mengesahkan perkara itu kepada wartawan The Mail pada Ahad bahawa anggota tentera yang menyertai misi itu sudah diterbangkan ke pangkalan rahsia di Asia barat minggu lalu.
Bergerak dalam kumpulan kecil sama ada tiga atau empat anggota, mereka menaiki pesawat komersil dan berpakaian preman.
Selepas persiapan rapi di berek regimen tentera di Hereford, pasukan elit itu kini menunggu arahan untuk menyerang sasaran mereka yang dikenali sebagai Jihadi John, seorang penyanyi rap yang kini menyertai kegiatan kumpulan pengganas.
"Semuanya berjalan lancar dan menunggu masa untuk melancarkan serangan.
"Ia menjadi lebih peribadi kepada anggota terbabit kerana Jihadi John adalah rakyat British dan dia membunuh tebusan di kalangan warga senegaranya," kata sumber itu.
Difahamkan, sebahagian misi pasukan khas itu termasuk untuk menyelamatkan baki tebusan termasuk jurugambar warga British, John Cantlie.
The Mail yang memperoleh maklumat berhubung operasi itu bersetuju untuk tidak mendedahkan secara terperinci mengenainya bagi tujuan keselamatan.
Bagaimanapun, disahkan ketika ini anggota pasukan khas itu berada di kawasan terpencil bersama ejen risikan dan pakar komunikasi untuk menjejaki militan IS dengan memintas siaran radio IS serta mesej telefon kumpulan pengganas itu.
Kata muktamad untuk misi di Syria ini bagaimanapun terletak pada Perdana Menteri, David Cameron seperti mana yang dimaklumkan di Parlimen pada September lalu.
Di pangkalan padang pasir, pasukan khas itu gigih menjalankan latihan peringkat akhir menggunakan senjata canggih yang dilengkapkan kepada pasukan tentera British.
Selain itu, pasukan elit ini juga mendapat khidmat bantuan Skuadron Semboyan yang menggunakan peralatan yang dilengkapkan dengan telefon satelit, juga 17 kru kapal terbang perisik British dikenali sebagai 'River Joint'.
No comments:
Post a Comment