PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Sunday, 30 November 2014
Najib : Blogger Pro UMNO Bangang, Tembak Kita Balik
- Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengecam sikap sebilangan blogger pro UMNO yang bertindak menyerang pemimpin parti atas dasar 'friendly fire'.
Perdana Menteri itu berkata, blogger yang menyatakan prinsip menyokong parti UMNO sewajarnya lebih fokus menyerang pemimpin pembangkang jika benar mahu parti teras Barisan Nasional (BN) itu terus kekal sebagai pemerintah kerajaan.
“Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita.
"Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau menegaskan, blogger pro UMNO seharusnya menjadi benteng dalam peperangan dengan parti lawan dan bukan bertindak menyerang sesama sendiri.
“Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang.
Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,” tegasnya.
Pertahan Kekuatan, Semangat Antara Kaum dalam BN - Najib
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu ahli parti merenung kembali ramuan kekuatan antara kaum di dalam Perikatan yang membawa kepada kejayaan kemerdekaan negara.
Tegasnya, semangat itu harus terus dipertahan dan dipertingkat di dalam Barisan Nasional (BN) untuk menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.
"Ada kata tidak perlu undi orang Cina. Kalau tengok dari segi sejarah, kenapa Tunku Abdul Rahman buat Perikatan kalau tidak menguntungkan kita.
"Tun Mahathir pernah sebut, dia kalah dulu, satu lawan satu; kalau dicabut 3,000 undi daripada kita diberi kepada pembangkang, defisitnya 6,000.
"Sebab itulah Tun Mahathir kalah. Undi orang Melayu tidak cukup hendak tampung sebab terkeluar ayat, tak perlu undi Cina. Itu satu pengajaran kepada dia," katanya semasa ucapan penggulungan Presiden pada Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Kerana itu katanya, UMNO melihat kepentingan menjaga BN, namun tidak sampai mengorbankan prinsip yang dekat di hati Melayu.
"Sebab semua orang kata orang Melayu adil, tegas. Itu kita. Kontrak Sosial sebab apa? Kita hendak bina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya," jelasnya.
Najib turut menegaskan, pengumuman mengekalkan Akta Hasutan yang diumumnya merupakan suara hati rakyat yang harus didengar seorang pemimpin.
"Saya dapat rasa, sebagai ahli politik, pemimpin, mesti merasai denyut nadi rakyat. Saya ikuti perkembangan dan dengar pendapat.
"Saya boleh pilih untuk umum keputusan kerajaan di Parlimen tetapi saya tahu, ada satu lagi platform iaitu Perhimpunan Agung UMNO.
"Saya pilih di sini kerana saya hendak semua ahli UMNO sedar, sebagai Presiden parti, saya bertanggungjawab kepada semua ahli.
"Kalau suara UMNO hendak Akta Hasutan ini dikekalkan, maka saya pilih penuhi hasrat ahli UMNO semua," ujarnya.
Dalam pada itu Najib menyifatkan isu peremajaan parti harus melibatkan beberapa golongan di dalam UMNO.
"Kerjasama, satu haluan. Kalau jeling ke belakang, tidak akan wujud satu keadaan solidariti. Bagi peluang mana yang patut kepada orang muda. Lebih banyak peluang kepada orang muda tapi mesti layak, menepati jil UMNO.
"Ada kriteria-kriterianya. Bukan sembarangan orang. Masuk hari ini terus hendak bertanding. Tidak boleh. Ada masa kita perlu kepada orang lama," jelasnya.
Saturday, 29 November 2014
#PAU2014 : Sifat '5M' Gugat Ekonomi Bumiputera
Jauhi sifat lima M iaitu menafikan, membangkang, mempertikai, memutar belit dan menentang jika mahu agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera berada pada landasan tepat.
Itu seruan wakil Sabah, Datuk Bolkiah Ismail yang mahu setiap ahli parti terus berdiri kukuh di belakang tampuk kepimpinan kerajaan bagi memastikan survival ekonomi kaum Melayu dan Bumiputera terus terpelihara.
"UMNO bukan saja hanya sebuah parti... tetapi parti berjasa yang memperjuangkan nasib kaum Melayu. Melalui UMNO, survival ekonomi Bumiputera terus terpelihara.
"Dengan adanya Dasar Ekonomi Baru (DEB), ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera semakin berkembang maju. Tiada siapa yang dapat menafikan dasar ini berjaya memartabatkan kedudukan ekonomi Melayu," katanya ketika membahaskan usul ekonomi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kudat menyeru Bumiputera Sabah supaya melakukan transformasi dan berani membuat perubahan dalam sektor ekonomi.
"Usahawan Bumiputera Sabah harus mempersiapkan diri dengan ilmu perakaunan. Jika tidak mahir, hadir ke kursus itu bagi memantapkan lagi ilmu kira-kira sebagai persediaan sebagai seorang usahawan berjaya," katanya.
Menyentuh agihan subsidi yang diterima rakyat Negeri di Bawah Bayu itu, beliau mencadangkan subsidi diperluaskan kepada sektor logistik.
"Kita lihat sekarang, harga rumah di Sabah semakin mahal dan ada kalanya tidak masuk akal. Ramai rakyat negeri ini merungut tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
"Saya cadang subsidi logistik ini diperluaskan untuk pengangkutan dalam sektor pembinaan, bukan hanya untuk sektor barangan keperluan harian," katanya.
Program UMNO 'Syok Sendiri'
Kepetahan dan kebijaksaan Nur Farhana Mohd Anuar ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2014, yang memasuki hari kedua hari ini, "menambat hati" Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Penuntut tahun kelima First Moscow State Medical University, Rusia, itu 'mencuri' hati Badruddin apabila menyelitkan bahasa Rusia dalam perbahasannya dan setiap kali itu juga terpaksa mengucapkan 'mohon izin pengerusi' selepas diingatkan beberapa kali bahawa perbahasan mestilah dalam bahasa Melayu.
Badruddin juga beberapa kali mengajukan perkataan tertentu kepada Nur Farhana untuk mengetahui maksudnya dalam bahasa Rusia dan bila cuba menyebutnya, seluruh hadirin di dalam dewan tertawa kerana sebutan dan bunyi Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan itu kedengaran pelik serta melucukan.
Dalam perbahasannya selama 15 minit, Nur Farhana dengan lantang berkata Umno tidak boleh berbangga dengan jumlah anggota yang ramai iaitu 3.47 juta orang kerana belum tentu semua anggota itu adalah 'orang Umno'.
"Anggota Umno sepatutnya menjadi 'orang Umno' yang akan berjuang demi bangsa, agama dan negara," katanya ketika berucap di hadapan perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Wakil Kelab Umno Luar Negara Moscow itu menarik perhatian apabila menyatakan program anjuran Umno terlalu 'syok sendiri', stereotaip, kurang mesra golongan muda, tidak strategik kerana kebanyakannya dianjurkan semata-mata untuk memenuhi tuntutan program tahunan.
"Ramai mahasiswa muda mempunyai persepsi bahawa Umno tidak mempunyai idea yang segar dan tiada idea baharu, matlamat serta perjuangan parti juga semakin pudar," katanya.
Selesai sahaja perbahasan gadis itu, Badruddin memuji Nur Farhana yang menurutnya berucap dengan penuh beradat serta beradab dan mahu jurucakap yang lain mencontohinya.
"(Nur Farhana) memang terror (hebat)... tak rugi mai (datang) walaupun belajar di Rusia tapi mampu bercakap bahasa Melayu dengan fasih.
"Itulah perjuangan dan mereka inilah pelapis akan datang," katanya dan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Nur Farhana berkata bagi mendekatkan orang muda dengan Umno dan meremajakan parti keramat orang Melayu itu, Umno perlu mengadakan program bersifat interaktif, termasuk menggunakan media sosial, selaras dengan 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital yang ditekankan Umno.
Beliau turut mencadangkan agar laman web Umno dan kerajaan direka dengan ringkas supaya mudah diakses walaupun sekadar menggunakan telefon bimbit manakala semua dasar diterangkan menggunakan grafik supaya anak muda dapat memahaminya dengan mudah.
Friday, 28 November 2014
Najib : UMNO Perlu Jadi Parti Cemerlang Semua Bidang
UMNO perlu menjadi parti yang berimbang, parti yang unggul di segala bidang dan mementingkan kecemerlangan.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, parti itu juga perlu tampil sebagai institusi yang memperjuangkan Islam sebenar, tidak ekstremis serta mengamalkan penghayatan agama penuh sederhana tetapi cemerlang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.
Najib turut mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO tidak perlu bersikap apologetik serta tidak segan silu dalam berdepan pihak yang sengaja mencemuh dan memburukkan parti.
"Jangan sesekali kita lupa dalam perhimpunan inilah institusi Melayu dan Bumiputera dimartabatkan. Di sinilah raja-raja Melayu dimuliakan dan di sinilah juga Islam diperteguh," katanya.
Dalam ucapannya juga, Najib turut berkongsi 11 kisah kejayaan yang dicapai Malaysia sejak beberapa tahun ini antaranya berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, mencapai tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 6.1 peratus serta kejayaan kemasukan pelaburan berjumlah RM38.7 billion.
Menyentuh peranan wanita dalam parti, Najib juga menyatakan kesediaannya untuk berbincang terutama berkaitan beberapa jawatan penting yang boleh diisi untuk sayap itu iaitu Naib Presiden dan Naib Ketua Bahagian.
Dalam ucapannya itu juga, Najib turut menyatakan komitmennya sebagai presiden parti terbesar Melayu itu untuk membuka pintu seluasnya kepada pemuda dan pemudi bersama berjuang dengan parti itu.
Malah beliau sendiri menetapkan tiga kriteria untuk menjadikan seseorang itu boleh dianggap sebagai jil UMNO atau pewaris kepemimpinan.
Kreteria itu ialah mereka yang berilmu dan berpengetahuan secara holistik, mempunyai jati diri dan berintegriti serta bersifat glokal.
"Jil UMNO mesti berilmu dan berpengetahuan secara holistik atau menyeluruh yakni mereka yang cergas, pintar dan bijaksana, yang bukan saja berkemahiran tetapi beramal dengan ilmunya.
"Jil UMNO juga mesti berjati diri dan berintegriti. Maksudnya kumpulan anak muda ini perlu dilatih supaya berimbang, berakhlak, mempunyai nilai kesederhanaan, tidak menjadi pelampau san tidak pula terlalu liberal sehingga membelakangkan nilai murni agama.
"Kreteria ketiga adalah mereka perlu bersifat glokal. Walaupun mereka ini belajar tinggi, dI Al- Azhar, Harvard, Oxford...tetapi jangan sekali-kali terpisah daripada nilai ketimuran, kesantunan Melayu serta nilai yang murni ditanah air kita," katanya.
PDRM Sokong Keputusan Najib Kekal Akta Hasutan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan pada masa sama menyarankan penambahbaikan terutama dalam aspek pendakwaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) Polis Diraja Malaysia di sini sebentar tadi.
Beliau mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO pagi ini yang mengesahkan bahawa Akta Hasutan akan terus dikekalkan.
Najib berjanji akan mengekalkan Akta tersebut demi melindungi kesucian agama Islam serta dari ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara.
Thursday, 27 November 2014
Najib : Tragedi Lahad Datu, MH370, MH17 Lambang Solidariti
Solidariti atau perpaduan menjadi penekanan utama dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini apabila mengucapkan perkataan itu sebanyak lima kali dalam tempoh 15 minit pertama ucapannya.
Perdana Menteri berkata, UMNO selaku komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan kelangsungan solidariti kerana ia adalah aset penting yang dapat menjamin keamanan serta keharmonian Malaysia.
"Ini satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh kerajaan kerana ia aset paling mustahak demi survival UMNO, BN dan negara tercinta," katanya ketika berucap di hadapan 2,752 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Najib berkata, solidariti yang dipupuk melalui kontrak sosial oleh kepimpinan UMNO terdahulu menjadi asas kepada perjalanan Malaysia sejak dahulu hingga kini dan selama-lamanya.
"Jika kita teliti bapa-bapa pimpinan yang terdahulu dengan segala pendekatan berhikmah dan bijaksana telah memulakan lembaran baharu negara ini, ibarat menghampar sehelai kain putih yang terbentang untuk dipercorak serta diwarna-warnikan.
"Langkah terawal yang diambil oleh pemimpin kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO ialah mewujudkan keamanan dan kestabilan melalui apa yang dinamakan kontrak sosial.
Najib berkata, kejayaan itu menuntut pengorbanan semua pihak yang mempersetujuinya terutama orang Melayu serta Bumiputera dan kontrak sosial itu menjadi satu wahana dalam mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat bagi sebuah negara yang masih muda dan baharu.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai solidariti, Najib berkata keputusan untuk menyambut Hari Kemerdekaan hanya pada 31 Ogos setiap tahun adalah contoh jelas semangat solidariti dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, selain 'membawa' semangat bapa kemerdekaan negara Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
"Ramai yang tertanya-tanya mengapa kita mahukan satu sahaja tarikh kemerdekaan bagi seluruh Malaysia. Jawapannya adalah solidariti. Tapi jangan bimbang cuti umum pada 16 September masih tetap kita raikan.
"Malah, lebih mustahak perlu diketahui itulah hasrat Tunku Abdul Rahman yang menghendaki sambutan Hari Kemerdekaan disambut pada tanggal 31 Ogos," katanya.
Aura Almarhum Tunku Abdul Rahman dirasai setiap perwakilan apabila laungan "Merdeka...Merdeka...Merdeka' bergema di Dewan Merdeka yang dipenuhi dengan warna merah, putih dan merah jambu.
Presiden UMNO itu juga mengajak rakyat seluruh negara agar terus bersatu padu di bawah lembayung UMNO dan BN sebagai usaha untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.
"Penyatuan juga penting bukan sahaja untuk menang dalam PRU14 tapi menjadikan negara lebih hebat dan maju dalam satu ikatan solidariti yang tidak mungkin mampu terpecah bentengnya.
Najib menarik perhatian perwakilan apabila mengakui takwim 2014 adalah tahun penuh cabaran buat Malaysia apabila diduga dengan pelbagai ujian termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 pada Mac dan nahas pesawat MAS Penerbangan MH17 Julai lepas.
Beliau berkata, ketika menghadapi detik tragis membabitkan Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, tiada negara kuasa besar yang mampu menolong Malaysia, namun atas semangat solidariti, segala kesukaran berjaya diatasi.
"Tidak pernah terjadi dalam sejarah, saya berunding dengan pemberontak yang tidak mempunyai identiti negara. Nawaitu (niat) saya tak lain tak bukan hanya nak dapatkan kotak hitam dan masuk ke kawasan kejadian," kata Najib.
Ketibaan jenazah secara berperingkat disambut dengan penuh istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan solidariti terbukti apabila kesemua rakyat menghormati Hari Perkabungan Negara pada 22 Ogos lepas ketika ketibaan kumpulan pertama 20 jenazah mangsa tragedi MH17.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Najib menjelaskan semangat solidariti sekali lagi terbukti apabila sama-sama merasakan kesedihan pencerobohan oleh pengganas dari selatan Filipina di perairan Pantai Timur Sabah pada 12 Feb 2013. Insiden berdarah itu meragut nyawa 10 anggota keselamatan negara.
"Memetik lagu (Seniman Agung Allahyarham Tan Sri) P Ramlee "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Insiden pahit Lahad Datu telah memalit dan mencalarkan sejarah watan negara, tetapi ia berjaya pertautkan lagi persaudaraan dan ikatan silaturahim antara rakyat Malaysia," katanya.
#PAU2014: UMNO Perlu Laksana 7 Langkah Pembaharuan
Sebanyak tujuh langkah pembaharuan perlu dilaksanakan UMNO dengan segera antaranya dengan mewujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan tersusun bagi melengkapkan perubahan serta peremajaan UMNO sebagai parti harapan orang muda pada masa depan.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujah serta teguh daya rohaninya bagi menjadikan mereka sebagai kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.
"Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa," katanya berucap merasmikan Persidangan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Muhyiddin berkata, enam langkah lain yang perlu diambil UMNO ialah melahirkan pemimpin muda berwibawa, melakukan pencarian bakat, menyemarakkan semangat kesukarelawanan, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO, menggerakkan revolusi mental baharu serta membangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik. Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar.
"Mereka ada 'courage', iaitu keberanian dan ada 'conviction', yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin," katanya.
Tambahnya lagi, orang muda dan umat Melayu sebenarnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO dan mahu supaya pemimpin parti tegas memperjuangkan kepentingan Melayu serta Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal.
"Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama.
"Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti," ujarnya.
Wednesday, 26 November 2014
Muhyiddin : Pejuang UMNO Bermanhaj Wasatiyyah Tegas Menentang Militanisme
Pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti berkenaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.
"Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa.
"Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini," ketika merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau menegaskan, UMNO perlu menangani trend sekularisasi dalam agama Islam dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi.
Katanya, institusi-institusi Islam perlu diperkasa manakala penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia.
"Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain.
"Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai "the leap forward", hari ini 113 negara atau 63 peratus daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan," katanya.
#PAU2014: Akta Hasutan Wajib Dikekalkan-Muhyiddin
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Akta Hasutan 1948 wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan bagi memelihara perpaduan dan keharmonian nasional dan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu sahaja.
Muhyiddin berkata, adalah wajar untuk kerajaan mengambil tindakan tegas membendung kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang boleh memercikkan api perbalahan kerana mencegah adalah lebih baik daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah.
Sehubungan itu, beliau melihat beberapa peruntukan khusus perlu dimasukkan di dalam akta itu untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan Agama Islam sebagai agama Persekutuan.
"Akta ini juga perlu untuk menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.
"Begitu juga dengan kedudukan tanah rizab Melayu dan Rejimen Askar Melayu Diraja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu, perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Persidangan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Tuesday, 25 November 2014
UMNO Perlu Kerja Keras Atau Terkubur
Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran keras kepada pemimpin Umno di semua peringkat supaya bekerja keras jika mahu melihat parti itu terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Gesaan Presiden Umno itu dilihat sebagai kemuncak kekecewaannya berhubung prestasi yang ditonjolkan Umno dalam tempoh lebih setahun selepas berakhirnya pilihan raya umum yang lalu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kekecewaan Najib itu sudah mencapai tahap 'siling' dan ia ditujukan khusus kepada pemimpin parti yang masih mengambil sikap tidak peduli.
"Presiden ada menyebut bahawa bangsa Melayu akan dibangsatkan jika Umno kecundang. Saya rasa, tidak pernah mendengar presiden parti berkata sedemikian.
"(Kemarahan) presiden seolah-olah sudah sampai ke 'siling'. Kita dapat lihat kekecewaan beliau terhadap pimpinan yang lambat untuk bertindak kepada perubahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka, PWTC di sini, Selasa.
Menurut Mohd Puad, Najib yang juga Perdana Menteri turut menegur secara mendalam mengenai kelemahan jentera Umno untuk terus bekerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
"Presiden ada menegur bahawa jentera Umno masih dingin dan tidak ada usaha untuk wujudkan 'fear factor' bagi membangkitkan semangat luar biasa di kalangan ahli Umno," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, setiap perkara tidak boleh dilakukan dengan mengikut fahaman dan fikiran tertentu semata-mata sekiranya Barisan Nasional (BN) mahu mendapat sokongan semua kaum pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sebaliknya beliau berkata, ia seharusnya dilakukan dengan mempertimbangkan penerimaan semua rakyat termasuk kumpulan minoriti.
"Untuk kita menang, kita kena lihat kumpulan minoriti walaupun sokongan pengundi Cina hanya 10 peratus. Tetapi kalau yang 10 peratus ini tidak menyokong Barisan Nasional, ini akan menyebabkan Umno turut kecundang dalam PRU akan datang.
"Oleh itu, kita perlu adil dan saksama serta tidak melupakan kumpulan minoriti ini yang menjadi sebahagian daripada perubahan yang patut dilakukan sekiranya kita hendak lihat Umno sebagai tunggak atau inklusif dalam pentadbiran negara akan datang," katanya kepada mstar online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut menyuarakan pandangan mengenai taklimat presiden parti supaya mengutamakan bangsa lain memandangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.
Beliau berkata, BN juga perlu mendapatkan undi daripada bangsa-bangsa lain sekiranya mahu memperoleh kemenangan dalam PRU akan datang.
Sehubungan itu katanya, setiap perkara perlu dilakukan secara berhati-hati supaya ia tidak menyentuh sensitiviti kaum lain.
"Kita perlu berhati-hati dalam apa jua perkara yang kita buat. Ini kerana kita juga mahu meraih kepercayaan bangsa yang lain dalam memberi sokongan kepada kita," katanya.
Syed Ali yang merujuk tentang isu sekolah vernakular berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan untuk dipersoalkan pada masa ini memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di negara ini.
"Sekolah vernakular dah lama berjalan, biarkanlah jalan. Kenapa nak halang lagi? Apa yang kita dah buat hari ini adalah untuk kita semua rakyat Malaysia.
"Undi pun kita perlu raih daripada semua. Sokongan padu semua kaum ini yang kita perlukan (untuk BN menang dalam pilihan raya umum akan datang)," katanya.
Taklimat Presiden Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014
Alhamdullilah hari ini kami Pegerakan umno Bagan Datoh menghadiri taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di putrajaya.Hidup Umno selamanya di hati.
Delegasi Antarabangsa Puji Penganjuran Forum Interaktif UMNO
Delegasi Antarabangsa ke forum 'Dunia Kesalinghubungan Digital: Cabaran Dalam Pembinaan Negara' di sini hari ini memuji UMNO atas daya usahanya menganjurkan acara yang berinformasi dan interaktif itu.
Mereka turut berbesar hati berpeluang menghadiri majlis itu dan berhasrat untuk berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan masyarakat di negara mereka kelak.
Seorang wakil dari Kazakhsthan, Erlan Madiyer berkata, forum itu menjadi wadah bagi peserta untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mengendalikan Internet serta media sosial yang pantas berkembang.
"Perbincangan di sini akan membantu kami dalam memperjelaskan cabaran dan mewujudkan kesepakatan tentang cara terbaik untuk mendepaninya.
"Forum hari ini bagaikan perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kecil apabila begitu banyak negara berkumpul dalam satu dialog interaktif yang memberi peluang kepada semua peserta untuk berkongsi idea serta pandangan berbeza," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Forum itu, yang menyaksikan penyertaan 127 wakil daripada 34 parti politik di 22 negara, menyediakan peluang kepada mereka untuk saling mempelajari pengalaman berharga dalam menguruskan cabaran di negara masing-masing.
Ia diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Anggota Cambodian People Party, Eng Huy Leng percaya forum itu dapat menjadi landasan bagi setiap negara untuk menjalin kerjasama bagi mengelak daripada berdepan masalah.
"Ia forum yang sangat baik. Satu usaha amat baik yang memberi kami peluang untuk bekerjasama dan menimba ilmu. Umno menyelaraskan forum bagi semua delegasi berkongsi idea dan kepakaran," katanya.
Sementara itu, seorang peserta dari Republik Azerbaijan, Sevinj Fataliyeva percaya forum akan memberi manfaat kepada semua negara terbabit selepas mendengar ucapan berinspirasi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sevinj berkata setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk mewujudkan kesedaran berkaitan toleransi dalam sebuah negara majmuk dan beliau berharap selepas forum berakhir, masyarakat akan lebih bertimbang rasa serta menghormati pegangan agama orang lain.
"Sebagai seorang daripada anggota panel hari ini, Saya akan menyentuh tentang merealisasikan suara rakyat dan bagaimana kerajaan Azerbaijan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang mewakili suara rakyat dalam menggubal dasar negara," katanya.
Anggota panel dari Turki, Kenan Capik berharap forum itu akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah global dalam membangunkan serta melestarikan negara dalam dunia kesalinghubungan digital.
"Saya akan turut mewakili negara saya dalam berkongsi tentang pendekatan agama yang digunakan di Turki dalam mengendalikan isu politik. Kami percaya pendekatan ini memberi keadilan kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Anggota Wiper Democratic People Party dari Kenya, Kimoli Fedrick Kiema berkata forum itu akan membantu negara membangun untuk mengenal pasti potensi Internet dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam menambah baik kesejahteraan rakyat.
"Saya berpendapat forum ini adalah baik, terutamanya dalam membantu negara kami (Kenya) dan negara di Afrika untuk menangani dunia internet tanpa sempadan, dan Malaysia adalah contoh yang baik bagi Kenya untuk membangun dalam semua sektor," katanya.
Duta Argentina di Malaysia, Maria Isabel Rendon menyifatkan forum itu sebagai tepat pada masanya memandangkan sempadan fizikal dunia tidak lagi wujud dengan adanya kemajuan teknologi.
Monday, 24 November 2014
Najib : 3 Cabaran Utama Dunia Bina Negara Bangsa
Tiga cabaran utama perlu dihadapi dunia dalam usaha membina negara bangsa seiring perkembangan teknologi digital.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kebebasan masyarakat kini berupaya berkongsi idea terhadap pentadbiran sesebuah negara secara meluas kepada dunia.
"Dalam usaha membina negara bangsa, kita harus sedar kebebasan maklumat juga membawa kepada penelitian yang lebih besar. Kita juga harus ingat faedah kepada ekonomi, saintifik dan budaya apabila menilai risiko,"
Beliau berkata demikian ketika ucaptama dalam Forum Antarabangsa 'Dunia Tanpa Batasan : Cabaran Membina Negara Bangsa' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Tahunan UMNO kali ke 68 (PAU2014) hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta delegasi-delegasi luarnegara yang terlibat di dalam PAU2014.
Dalam perkembangan sama, Najib yang juga merupakan Presiden UMNO itu berpandangan bahawa pemimpin-pemimpin kini dapat menilai kehendak rakyat berdasarkan maklum balas yang diperoleh menerusi laman sosial.
Selain itu, cabaran yang harus ditempuhi dunia adalah berhadapan dengan individu yang berbeza idea dan pendapat.
"Ya, ini lebih kritikal dan ada kalanya berdepan cabaran lebih kompetitif. Tetapi ia juga memberi peluang kepada kerajaan melihat setiap cadangan rakyat tanpa perlu menapis dari peti cadangan diterima, seterusnya dapat memberi maklum balas segera.
"Pembinaan negara bangsa memerlukan kita mendekati rakyat yang membina sesebuah negara. Ia adalah satu usaha yang memerlukan kerajaan untuk membina identiti yang lebih kuat," katanya.
Sementara cabaran ketiga pula adalah berkaitan soal diplomatik berikutan ia kini dilihat lebih bersifat terbuka.
"Untuk beberapa abad yang lalu, diplomasi memimpin dunia, dengan pembinaan bahasa dan konvensyen yang lebih berhati-hati. Perubahan ini hadir dari peringkat akar umbi hingga atasan. Kerajaan dan perniagaan kini mengetahui bahawa data atau rahsia boleh diakses bukan saja oleh pesaing mereka, bahkan oleh seluruh dunia.
"Saya percaya dunia yang sentiasa berhubung akan menjadi sebuah negara yang lebih baik. Sebagai pemimpin, kita mesti memastikan bahawa internet adalah salah satu medium yang signifikan untuk memacu sebuah negara bangsa yang lebih hebat," katanya.
Fathul Bari: Belia Perlu Mula Dari Bawah, Tiada Jalan Pantas
Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya mengingatkan generasi muda yang ingin menyertai perjuangan Umno supaya bersikap gigih dan bermula daripada bawah.
Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa peluang harus diberikan kepada golongan muda untuk menjadi pemimpin, tetapi ‘peluang’ itu mestilah tertakluk kepada sikap anak muda itu sendiri.
“Peluang harus diberikan tetapi anak muda itu sendiri perlulah membuktikan bahawa mereka boleh berjuang bersama Umno.
“Ingat tiada karpet merah untuk mereka, mereka perlu bermula daripada bawah,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Sementara itu ketika ditanya mengenai sikap pimpinan yang sedia ada yang kurang dilihat memberi peluang kepada anak muda Fahtul berkata, istilah tersebut tidak timbul kerana Umno sejak zaman Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein telah membuka peluang seluas-luasnya untuk anak muda.
“Sejak zaman itu, lagi anak muda telah diberi peluang misalnya timbulnya Tan Sri Rahim Tamby Chik.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga antara pemimpin muda yang diberi peluang, beliau antara Menteri Besar termuda.
“Cuma pemimpin terdahulu perlulah mengingati bahawa mereka pernah diberi peluang dahulu,” katanya.
Sementara itu, menurut Timbalan Pengerusi Biro Umno IPT Umno Bahagian Cheras Zaidi Yusof berkata, Umno perlu bersifat inklusif dan bukannya eklusif bagi memastikan Umno terus relevan di mata generasi muda.
“Hari ini generasi muda melihat parti Umno terlalu eklusif sehinggakan anak muda sukar untuk mendekati parti ini.
“Jadi pada pandangan saya untuk mengubah persepsi itu, Umno perlu lebih bersederhana,… cuba remajakan parti, dekati anak muda, beri mereka peluang,” katanya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata pemimpin Umno perlu bersikap membumi bagi memastikan anak muda mudah mendekati mereka.
“Parti akan ditolak oleh anak muda sekiranya pemimpin Umno terlalu bersikap eklusif,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)