PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 10 December 2014

Pihak Berwajib Disaran Teliti Pemberian Bantuan Kepada Mangsa Banjir



IPOH : Penduduk kampung yang dilanda banjir di Manjoi, malam semalam, memohon pihak berwajib melakukan pemantauan yang teliti terutamanya yang melibatkan pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir tersebut.
Tinjauan Peraktoday.com.my ke salah sebuah kawasan terlibat iaitu Kampung Tengku Hussien Lama mendapati, rata-rata penduduk sudah mula membersihkan rumah mereka.
Salah seorang penduduk, Mohd Fadzli Alias, 33, berkata, mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut memerlukan perhatian daripada pihak yang sepatutnya.
“Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamed Ziad Mohamed Zainal Abidin ada datang untuk melihat keadaan di sini.PERAK TODAY 3
“Saya harap pihak yang berkenaan datang daripada rumah ke rumah untuk mengetahui keadaan semasa selepas banjir melanda kediaman kami.
“Ia secara tidak langsung dapat mengenalpasti bantuan yang diperlukan dan kesusahan yang dialami bagi memastikan bantuan sampai kepada kami,” katanya.
Dia yang menjalankan perniagaan katering itu, turut terlibat dalam banjir yang naik secara mendadak.
“Kejadian semalam bermula lebih kurang pada jam 7.30 petang… tetapi keadaan mulai teruk dengan air naik secara mendadak pada jam 9 malam.
“Alhamdulillah saya sempat mengalihkan barang-barang yang ada dalam rumah.
“Kalau ikutkan kejadian sebegini sudah 12 tahun tidak berlaku dan paling akhir pada tahun 2010, tapi tidak seteruk kejadian kali ini dimana air datang bersama dengan lumpur,” ujarnya kepada Peraktoday.com.my.
Katanya, rata-rata penduduk yang terjejas tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan berikutan bimbang berlakunya kecurian di rumah mereka.
“Semalam ada penduduk yang terlibat tidak mahu ke pusat pemindahan kerana takut barang-barang mereka dicuri.
“Namun, setelah dipaksa dan memikirkan soal keselamatan, baru mereka hendak pergi ke sana,” tambahnya.
PERAK TODAY 2Seorang lagi mangsa yang terlibat, Mohd Ghazali Yusuf, 53, berkata, semasa kejadian, beliau berada di dalam rumah bersama empat rakan sekerjanya.
“Masa mula-mula nak jadi, hujan lebat tetapi tidak lama… namun tidak lama selepas itu, air naik sehingga paras lutut dan masuk ke dalam rumah.
“Saya dan rakan-rakan telah pergi ke pusat pemindahan, tetapi pulang ke rumah kira-kira jam 5 pagi bagi membersihkan rumah,” jelasnya lagi.
Terdahulu, paras air di Sungai Pari di Manjoi dekat sini sebentar tadi telah melebihi paras yang biasa.
Air telah melimpah dan membanjiri jalan di Jambatan ke Kampung Tengku Ahmad Said Tambahan dekat Manjoi beberapa rumah berdekatan dengan sungai terbabit juga telah dinaiki air.
Justeru, laluan menuju ke Manjoi melalui Gugusan Manjoi telah ditutup untuk semua jenis kenderaan atas faktor keselamatan.

No comments:

Post a Comment