Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan dilangsungkan pada 6 Mei tahun depan.
"Dengan nasihat Dewan Negara Perak yang bersidang kali ke-162 pada 22 November 2014, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menetapkan lstiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35, dilangsungkan pada hari Rabu, 6 Mei 2015," kata Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayop Hashim, dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, lstiadat Tabal Adat akan berlangsung di Istana lskandariah Kuala Kangsar pada pagi hari berkenaan, diikuti lstiadat Tabal Pusaka dan lstiadat Bersiram Tabal pada malam hari keesokannya.
"Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri (Tuanku Zara Salim) selanjutnya akan berangkat menziarahi makam-makam Sultan Perak terdahulu, kemudiannya menghilir Sungai Perak dari Pasir Salak sehingga ke Teluk lntan.
"lstiadat pertabalan akan berakhir dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mencecahkan kaki baginda di Beting Beras Basah, tempat pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak," katanya.
Ayop berkata, pelbagai acara sedang dirancang yang turut membabitkan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Raja-Raja Pemerintah, Raja Muda dan Tengku Mahkota, selain kehadiran Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing dan tetamu dari dalam dan luar negara.
Katanya, acara berbentuk keagamaan dan acara yang memberi peluang baginda mendampingi rakyat yang membabitkan penyertaan rakyat jelata, warga tua, golongan remaja dan pelajar juga akan dilaksanakan dalam tempoh sambutan istiadat pertabalan.
Sultan Nazrin menggantikan ayahanda baginda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment