Bajet 2015 Perak yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri pada Isnin mencatatkan defisit sebanyak RM50.06 juta, berbanding RM42.47 juta defisit tahun ini.
Dr Zambry ketika membentangkan bajet itu berkata, walaupun bajet defisit disediakan, kerajaan negeri telah mengakhiri tahun-tahun kewangannya dengan lebihan (surplus) sejak tahun 2009.
Menurut beliau, ini adalah berkat usaha giat meningkatkan hasil dan juga amalan perbelanjaan berhemah.
"Berpandukan kepada pengalaman lalu, anggaran defisit bagi tahun 2015 juga dijangka boleh berkesudahan dengan lebihan, jika suasana ekonomi terus memberansangkan," katanya.
Beliau berkata, cabaran getir yang dihadapi oleh kerajaan negeri dalam menyediakan bajet yang bersifat dan bermatlamatkan berpembangunan ialah keterbatasan simber dana untuk mencakupi hasrat ke arah peningkatan pembangunan.
"Dalam keterbatasan itu, perlu dicari keseimbangan antara kemampuan dengan pengharapan. Inilah situasi yang mendorong kerajaan negeri mengambil pendekatan yang berteraskan prinsip ARAS iaitu mampu (Affordable), realistik (Realistic), boleh capai (Achievable) dan mapan (Sustainable)," jelas beliau.
Sementara itu, beberapa pemimpin kerajaan menyifatkan bajet defisit adalah sesuatu yang biasa, bukan sahaja berlaku di negeri Perak, malah di negeri-negeri lain, termasuk yang diterajui pembangkang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan (BN – Air Kuning) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd. Nizar Zakaria (BN – Belanja) berkata, kerajaan Selangor mencatatkan bajet defisit RM450 juta dan Pulau Pinang pula RM230.31 juta.
Sehubungan itu, mereka menyelar tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang seolah-olah cuba memperlekehkan bajet defisit yang dibentangkan oleh Dr Zambry.
"Sejarah telah membuktikan sejak 2009 lagi, dengan perbelanjaan berhemah dan usaha giat untuk meningkatkan hasil, kita akhirnya mencatatkan lebihan," ujar Samsudin.
Drs Nizar pula melahirkan rasa hairan siapa sebenarnya yang cuba dirujuk oleh wakil rakyat pembangkang yang seolah-olah cuba memperlekehkan bajet defisit Perak.
"Defisit kita hanya RM50.06 juta sedang negeri Selangor mencatatkan defisit RM450 juta dan Pulau Pinang RM230.31 juta, siapa sebenarnya mereka cuba sindir," katanya.
Kedua-dua mereka sependapat dan yakin, seperti tahun-tahun lalu, tahun kewangan 2015 negeri Perak juga akan terus mencatatkan lebihan.
No comments:
Post a Comment