PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Saturday, 27 December 2014
Kerajaan Umum Peruntukan RM50 Juta Bantu Mangsa Banjir
Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM50 juta untuk negeri dilanda banjir.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, berkata peruntukan itu akan diagih dan disalurkan segera kepada Pejabat Pembangunan Negeri di negeri terjejas berikutan banjir yang semakin meruncing.
"Kementerian Kewangan juga akan mempermudah pembelian segera keperluan peralatan bantuan dalam memastikan bantuan dapat disampaikan kepada rakyat di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Husni berharap peruntukan segera serta kemudahan pembelian peralatan bantuan itu dapat membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat di negeri berkenaan.
"Kementerian Kewangan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempermudah usaha bantuan kepada rakyat," katanya.
Pengumuman ini dilakukan susulan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi jaminan segala bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir akan dihulurkan dengan segera oleh petugas-petugas yang dipertanggungjawabkan.
“Saya harap semua pihak yang mampu membantu, mengambil inisiatif bekerjasama dengan agensi bertanggungjawab dan kerajaan juga akan memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan.
“Oleh itu, petugas telah diarahkan untuk mengenal pasti cara terbaik bagi memastikan bantuan dapat sampai kepada mangsa banjir,” kata Najib sebagaimana dipetik menerusi Twitternya hari ini.
Banjir yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Sabah sehingga kini menyaksikan 90,250 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment