PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday, 27 December 2014

'Banjir Terburuk sejak 47 tahun'



Hujan lebat secara berterusan malam tadi serta pintu empangan yang tertutup menyebabkan beberapa buah kampung  di sini temasuk Kampung Puah mengalami banjir sedalam kira-kira tiga kaki apabila paras air naik secara mendadak.

Menurut seorang pesara yang juga penduduk kampung yang terlibat, Baharum Abd Jalil, 68, beliau berkata aliran air meningkat secara tiba-tiba dan mengejut sehingga mengakibatkan kerugian yang dialaminya dianggarkan sebanyak RM 10,000 ke RM 15,000.

"Paras air semalam sangat tinggi, sehingga dua, tiga kaki kedalamannya. Kami tidak sempat hendak menyelamatkan barang-barang yang lain.

"Masalahnya mungkin berpunca daripada empangan terdekat yang tidak dibuka, kerana selalunya jika hujan lebat, air akan naik secara perlahan dan kemudian akan mengalir terus ke empangan di bahagian bawah, tidak seperti kejadian semalam, ianya terlalu deras dan mengejut,"katanya ketika ditemui wartawan Rakyat News di sini, hari ini.
alt

Dalam pada itu, menurut seorang suri rumah, Norhazlin Mohd Yatim, 35, beliau hanya sempat menyelamatkan beberapa barang berharga berikutan tidak menjangka paras air naik terlalu cepat.

"Saya memang menjangkakan bahawa paras air akan naik, namun bukanlah terlalu cepat seperti semalam.

"Kerugian yang saya dapat anggarkan lebih kurang RM5,000 kerana sempat menyelamatkan beberapa barang elektrik yang lain,"ujarnya.
alt

Menurut seorang lagi penduduk, Mariah Mohd Noor, beliau menyifatkan kejadian banjir semalam merupakan antara kejadian terburuk yang pernah berlaku sepanjang 47 tahun beliau menetap di kawasan tersebut.

"Banjir semalam sangat teruk. Kami (penduduk) tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang keperluan lain, hanya sebahagian sahaja kerana air terlalu laju.

"Saya dengar ada yang mengatakan bahawa empangan di bahagian atas kawasan ini tidak dibuka semalam, semasa hujan lebat.

"Mungkin, jika ianya dibuka terlebih dahulu, aliran air akan menjadi lancar,"katanya.
alt

Sementara itu, Mohd Yatim Jalil, seorang penduduk meluahkan rasa sedihnya berkenaan kejadian banjir yang berlaku semalam dan berkata mereka tidak mampu untuk berbuat apa kerana kejadian itu berlaku terlalau pantas.

"Kejadian berlaku selepas Isyak dalam masa hujan sangat lebat. Dalam masa beberapa minit sahaja, paras air terus naik dengan cepatnya.

"Kami hanya sempat memindahkan kenderaan masing-masing, kerana aliran  air dari kawasan atas yang lebih tinggi terlalu laju.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa selain dari hanya memerhatikan sahaja aliran air tersebut,"katanya.

Tambah Mohd Yatim, aliran air tersebut mula surut kira-kira satu jam selepas dari ianya mula naik secara mendadak.

No comments:

Post a Comment