PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Wednesday, 17 December 2014
Najib Lancar Sistem Pendaftaran Umno Secara Dalam Talian
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menunggu lama untuk melaksanakan ketetapan meremajakan parti yang diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014, apabila beliau melancarkan sistem pendaftaran keanggotaan secara dalam talian pada Khamis.
Najib berkata pelancaran sistem itu selaras dengan hasrat mentransformasi dan meremajakan Umno supaya ia dilihat sebagai parti yang segar, dinamik, progresif dan mengamalkan keterbukaan.
"Hasrat kita ialah supaya bila kita sebut tentang peremajaan Umno dan konsep ini telahpun diperjelaskan dalam PAU, bererti bukanlah bahawa dari sudut kita mahu membuka pintu Umno kepada orang muda semata mata, atau mengganti orang lama secara mengejut.
"Sebaliknya peremajaan bererti segala aspek, segala amalan, segala pendekatan yang kita gunakan dalam parti hendaklah melalui proses peremajaan," katanya semasa berucap melancarkan sistem itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Menurutnya sistem pendaftaran itu akan mengurangkan kerenah birokrasi selain dapat menyelesaikan segala kerumitan dan hambatan yang menjadi kekangan dalam proses pendaftaran anggota baru.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata sistem itu juga bertujuan membuka peluang yang lebih luas kepada generasi muda untuk menyertai Umno.
"Cerita borang hilang, cerita borang kena renyuk, cerita hantar borang tak diterima, cerita kena isi borang sampai dua tiga kali, kita dah letih.
"...kita berhasrat untuk membuka Umno kepada generasi muda yang kita sebut hari ini sebagai Gen Y. Sebab mereka ini sebenarnya banyak yang berminat mahu jadi ahli Umno. Ramai yang jumpa saya cakap mereka minat," kata beliau.
Menurutnya pelaksanaan sistem itu juga selaras dengan transformasi parti untuk menggunakan teknologi baru dalam pengurusan sesuai dengan keadaan semasa.
Menerusi pendaftaran dalam talian, katanya pemohon hanya perlu memasukkan maklumat yang diperlukan dan setelah permohonan diproses, pendaftaran mereka sebagai anggota Umno akan dilakukan dengan pantas.
"Kalau dia seorang pelajar di Minnesota, Amerika Syarikat, dia mohon dalam talian, dalam masa begitu pantas dan singkat, dia boleh jadi ahli Umno. Mungkin dalam masa 24 jam. Kita boleh terima dia sebagai anggota Umno, ada nombor pendaftaran keanggotaan... kecuali maklumat dia (beri) itu tidak benar.
"Kalau dia ahli parti pembangkang katakan, dia nak menyusup masuk, kita kemudian hari dapati dia ahli parti pembangkang, maka terbatal (pendaftarannya). Sekiranya semuanya betul, kita hantar kepada perhubungan (negeri), kepada bahagian, (dan) akan diagih kepada cawangan yang berkenaan," katanya.
Najib pada taklimat tertutup bersama anggota perwakilan Umno seluruh negara sempena PAU pada 25 Nov lepas, memberitahu bahawa Umno akan melaksanakan sistem keanggotaan Umno secara dalam talian bagi meningkatkan jumlah pendaftaran anggota parti itu.
Pada masa ini, Umno mempunyai kira-kira 3.5 juta anggota di seluruh negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment