PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday, 5 December 2014

Mahathir : 'Saya Kecewa dengan UMNO'



Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana perhimpunan agong parti itu baru-baru ini tidak membincangkan beberapa perkara yang menjadi perhatian rakyat dan melibatkan masa depan negara.

Menulis di blognya, Dr Mahathir bagaimanapun memuji UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana "mendengar dan mengambil berat akan pandangan orang ramai" dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

"Tetapi saya kecewa kerana banyak lagi rintihan dan keluhan rakyat tidak berjaya mempengaruhi pendirian UMNO dan Kerajaan," tulis Dr Mahathir di blognya.

Bekas Perdana Menteri itu menyebut tentang tiadanya perubahan niat dalam soal Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA), juga tiada maklum balas mengenai hal-hal yang dibangkitkan tentang 1MDB.

"Yang membuat tanda tanya bukan kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesyen janakuasa, tetapi kerana harga belian yang amat tinggi, dibayar dengan duit hutang yang bunganya tertinggi yang pernah dikenakan kepada Kerajaan dan komisyen kepada Goldman Sachs sampai 11%.

"Kenapa pula pelaburan dibuat di Cayman Islands atau wang disimpan di sana?

Menurut Dr Mahathir, Cayman Islands adalah pusat operasi dana lindungan nilai (hedge fund) dan dagangan matawang yang jadi tumpuan orang atau syarikat yang mahukan pulangan tinggi, dan bukannya kerajaan kerana 'ia adalah satu jenis judi'.

Beliau mencatatkan bagaimana kerajaan pernah dipelawa melabur dalam dana lindungan nilai dengan jaminan pulangan 30 peratus tetapi pelawaan itu ditolak.

Beliau juga menyebut bagaimana salah satu dana lindungan nilai terbesar, LTCM rugi dan mengheret bank serta pelabur jadi muflis sehingga terpaksa diselamatkan oleh pelabur dari Wall Street dan kerajaan Amerika Syarikat.

"Berjudi bukan cara Kerajaan mencari dana, sama ada secara langsung atau tidak langsung," kata Dr Mahathir.

Bekas Presiden UMNO itu juga mengeluh tentang isu sistem pelajaran sekolah swasta dan sekolah kebangsaan serta Bahasa Inggeris yang memisahkan rakyat miskin dengan kaya yang katanya tidak disentuh dalam perhimpunan agung parti itu.

Dr Mahathir pernah menulis dengan panjang lebar mengenai hal yang sama di blognya seminggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Tambah Dr Mahathir ada banyak lagi perkara yang tidak dibincang dan disebut dalam perhimpunan agung itu.

"Dalam demokrasi, kesukaan ramai memang penting, tetapi janganlah kerananya tergadai masa depan anak bangsa," tulisnya.

No comments:

Post a Comment