Pergerakan Wanita Umno Malaysia dengan kerjasama Wanita Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan Misi Sayang bagi mengumpulkan barangan bagi mangsa banjir di Pantai Timur.
Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, misi tersebut akan digerakkan oleh setiap anggota wanita Umno dan BN daripada peringkat cawangan bagi mewujudkan derma kilat berupa wang tunai, makanan dan barangan keperluan harian.
"Kita akan mengerah ahli-ahli kita khususnya anggota Wanita Umno, kita akan mula mengutip derma secara sukarela dan barang-barang keperluan seperti pakaian dan lampin bayi bagi membantu mangsa-mangsa banjir," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Shahrizat menjelaskan, misi itu juga terbuka kepada orang ramai serta syarikat-syarikat tempatan yang ingin melakukan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.
Katanya, Ibu Pejabat Umno akan digunakan sebagai tempat pengumpulan dan akan dibuka bermula hari ini dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
"Tumpuan kita semestinya dari ahli-ahli BN tetapi kita tahu orang ramai yang turut ingin memberi sumbangan tetapi tidak tahu di mana untuk disalurkan, anda dipersilakan untuk datang ke Ibu Pejabat Umno.
"Kami ingin mengalu-alukan setiap pihak yang ingin memberi sumbangan antaranya individu persendirian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Shahrizat menambah, Wanita Umno juga telah menggerakkan kira-kira 200,000 anggota Skuad Sayang bagi membantu mangsa-mangsa banjir di penempatan-penempatan sementara di tiga negeri pantai timur terbabit sejak seminggu yang lalu.
Wanita Umno Malaysia turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM10,000 pada pelancaran misi tersebut.
Sekretariat bagi Misi Sayang tersebut juga akan turut dibuka di tiga negeri terjejas mulai esok bagi memudahkan proses sumbangan oleh orang ramai.
No comments:
Post a Comment