PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 2 July 2014

Rakyat Tidak Perlu Sertai Peperangan Di Syria





KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata umat Islam di Malaysia tidak perlu melibatkan diri dalam peperangan di Syria atas nama jihad.

Bagaimanapun, umat Islam digalakkan untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang terjejas dengan peperangan itu, katanya.

"Janganlah kita membuat keputusan untuk melibatkan diri tanpa mengkaji adakah peperangan itu dianggap jihad,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Malah, golongan yang terlibat dalam peperangan itu juga tidak mengharapkan rakyat Malaysia turut serta dalam konflik tersebut, kata Jamil Khir.

"Banyak pandangan daripada mujahidin di sana tidak mengharapkan rakyat Malaysia turun dalam peperangan sebaliknya membantu dari sudut kemanusiaan, pakaian dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, umat Islam perlu mendapat maklumat dari kerajaan sebelum menyertai kumpulan tertentu yang berperang di negara Arab.

"Keadaan di setiap sesuatu negara itu berbeza. Jadi saya berharap kita perlu membuat keputusan, sama ada mahu berpihak kepada mana-mana pihak dalam kancah peperangan itu, maka perlu mendapat pandangan dan maklumat daripada berwajib seperti pejabat menteri, kementerian luar," katanya.

Kenyataan itu timbul selepas polis mendedahkan gambar lima orang rakyat Malaysia yang dikehendaki, tiga daripadanya kerana disyaki merekrut anggota militan dari Malaysia untuk menyertai kumpulan Islamic State of Iraq and Levant (ISIL).

Sementara itu, Jamil Khir ketika ditanya berkata beliau masih belum dapat mengulas sama ada peruntukan dalam Rang Undang-Undang Keharmonian akan menjejaskan kedudukan Islam, seperti yang dibimbangkan oleh para pemimpin NGO pro-Melayu.

Katanya, beliau masih menunggu rang undang-undang tersebut dikemukakan ke Kabinet sebelum dapat mengulas mengenainya.

"Sebagaimana sedia maklum, Akta Keharmonian belum dibawa ke kabinet, jadi kita tak tengok lagi kerangka yang dibuat.

"Tunggu di bawa ke kabinet dulu," katanya dalam sidang medianya di Pejabatnya di Putrajaya.

No comments:

Post a Comment