PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 10 July 2014

Huru-hara jika kepemimpinan lemah



PUTRAJAYA  - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, situasi sesebuah negara itu akan menjadi huru-hara jika barisan kepemimpinannya lemah dan tidak berkesan.
Mengambil analogi kekalahan besar 1-7 Brazil kepada Jerman dalam separuh akhir Piala Dunia FIFA 2014 awal pagi ini, Perdana Menteri berkata, pertahanan Brazil berada dalam keadaan kucar-kacir dan berkecamuk ekoran ketiadaan pemimpin yang mampu mengawal permainan dengan baik.
"Mengapa saya mulakan ucapan dengan menyentuh apa yang berlaku dalam pertandingan separuh akhir Piala Dunia antara Brazil dan Jerman?

"Apabila saya melihat apa yang berlaku kepada pasukan Brazil terutama sekali barisan pertahanan mereka yang berada dalam keadaan kucar-kacir dan berkecamuk, saya dapat simpulkan ini berkaitan dengan kelemahan kepimpinan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Felo Perdana kepada anggota Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Program Felo Perdana merupakan program anjuran Kementerian Belia dan Sukan, dengan penganjuran kali kedua ini, 84 peserta terdiri daripada mahasiswa serta graduan di bawah 30 tahun telah terpilih untuk menyertainya.
Najib berkata, jika perkara tersebut boleh berlaku kepada sebuah pasukan bola sepak bayangkan nasib sebuah negara yang tidak mempunyai kepemimpinan berwibawa.
"Iaitu pemimpin yang mempunyai visi, yang mempunyai komitmen, yang menjiwai aspirasi rakyat jawabnya nasib sama seperti pasukan bola sepak Brazil," katanya.
Terdahulu, ketika awal ucapannya, Perdana Menteri secara berseloroh mengucapkan takziah ke atas kekalahan Brazil dan mengucapkan tahniah kepada Jerman atas kecemerlangan pasukan negara itu yang cukup mengagumkan.

Menyentuh mengenai program Felo Perdana, Najib berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melakukan proses siap siaga mengenai soal kepemimpinan dalam kalangan barisan generasi akan datang.
"Ini juga merupakan satu persediaan secara terancang supaya apabila sampai masanya kita akan mempunyai ramai barisan pemimpin yang terlatih serta terdedah dengan pengalaman yang akhirnya mampu membawa obor kepe-mimpinan negara ke tahap yang lebih tinggi.
"Program ini juga telah mendapat sambutan cukup menggalakkan yang mana pada program pertama bilangan pemohon lebih kurang 600 tetapi kali ini sebanyak 1,400 telah memohon dan daripada jumlah itu 84 daripadanya telah terpilih," ujarnya.

Sambil menyifatkan 84 orang itu sebagai terbaik beliau berkata, mereka akan mendapat pengalaman yang amat berharga sepanjang menjalani latihan amali bersama anggota Kabinet dalam tempoh antara enam minggu hingga enam bulan.
"Tiada tempat lebih baik bagi mendapatkan pengalaman berharga ini selain dapat menjalani latihan bersama anggota Kabinet serta kepemimpinan negara dan saya harap itulah akan menjadi kesimpulan yang akan diperoleh setelah program ini berakhir," ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan kepada semua peserta bahawa kejayaan tidak hanya bergantung kepada segulung ijazah sahaja tetapi kematangan berfikir, bertindak dan berinteraksi juga menjadi elemen penting bagi membolehkan seseorang itu mencapainya.
"Semuanya ini boleh diperoleh melalui pengalaman dan oleh itu saya berharap gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik mungkin," kata Najib.

No comments:

Post a Comment