HULU LANGAT 16 Feb. - Barisan Nasional (BN) dijangka membuat pengumuman sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang minggu ini.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, beberapa mesyuarat penting bakal diadakan pada minggu ini dan ketetapan mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, dari segi tempoh masa ia merupakan saat yang sesuai bagi pucuk kepemimpinan BN membuat satu ketetapan untuk memberikan satu kepastian muktamad kepada jentera parti di peringkat akar umbi yang kini berada dalam keadaan tidak menentu.
"Daripada maklum balas yang saya terima daripada UMNO Bahagian Hulu Langat, mereka sudah bersedia menghadapi PRK ini. Mungkin dari segi pengesahan pucuk kepemimpinan BN , saya yakin akan datang dalam masa terdekat dan satu ketetapan akan dibuat pada minggu ini. Insya-Allah.
"Ada beberapa mesyuarat penting akan berlangsung. Saya tidak boleh mendahului Pengerusi BN, tetapi saya rasa ketetapan akan dibuat tidak lama lagi. Ini kerana dari segi peringkat akar umbi mereka perlu tahu apakah keputusan BN sama ada kita akan bertanding atau tidak dan penentuan mengenai soal calon," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bersama akar umbi parti itu di sekitar peti undi Sungai Kantan termasuk melawat buah 25 buah rumah di Kajang di sini hari ini.
Khairy berkata, jika BN memutuskan untuk bertanding, parti itu akan menampilkan calon terbaik dengan memiliki kriteria boleh menang dan dapat diterima oleh pengundi pelbagai kaum di DUN Kajang.
Mengenai pengumuman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK itu, beliau berkata, tindakan tersebut menampakkan seolah-olah Zaid cuba mengeksploitasi satu perasaan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Selangor yang tidak bersetuju dengan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar.
Katanya, rakyat boleh membuat penilaian mengenai masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan berlakunya PRK DUN Kajang ekoran kegagalan Anwar menangani masalah dalaman parti itu di Selangor.
"Rakyat harus meragui 'kehebatan' Anwar yang dikatakan sebagai pemimpin kelas dunia tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah dalam partinya sampai tahap terpaksa membebankan dan mengheret rakyat.
"Apakah jenis pemimpin berkelas dunia kalau seperti itu," ujar beliau.
Khairy bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan Zaid bertanding sebagai calon Bebas tidak mempunyai kaitan dengan BN.
Beliau berkata, jika BN membuat keputusan bertanding di kerusi DUN Kajang, ia adalah atas sebab dan kekuatan sendiri.
No comments:
Post a Comment