PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday, 14 February 2014

Anwar pamer kegelojohan sendiri dalam PRK Kajang


AHMAD Zahid Hamidi bersalaman dengan pegawai dan kakitangan sewaktu hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan).

PUTRAJAYA . - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen awal sebelum pengumuman penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jelas menampakkan kegelojohan diri beliau.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menunjukkan Anwar tidak sabar untuk merebut pengaruh dalam kalangan para pengundi di Kajang.
Beliau berkata, Anwar sepatutnya hanya boleh memulakan kempen mengikut tarikh yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita yang pernah menjadi pembuat undang-undang di Dewan Rakyat dan seharusnya mematuhi undang-undang berkenaan maka seharusnya kita menjadi contoh yang terbaik.
"Bagi KDN, setiap parti politik seharusnya menghormati undang-undang yang sedia ada," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir timbalan beliau, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau mengulas kempen awal yang dilakukan oleh Anwar dalam usaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan 23 Mac ini.
Ketika ditanya mengenai penangguhan rayuan kes liwat Ketua Pembangkang itu, Ahmad Zahid menyifatkan langkah tersebut merupakan taktik lazim yang digunakan oleh pasukan peguam bela Anwar.
"Ini bukan pertama kali dilakukan, tentu ada taktik untuk melambat-lambatkan kerana mungkin ada tujuan untuk mereka hadapi PRK Kajang.

"Kita juga seharusnya hormati undang-undang mahkamah, walaupun diizinkan mengikut prosedur dan peraturan tetapi dari segi moralnya menampakkan mereka cuba mengelak sesuatu yang seharusnya didengar dan dibicarakan mengikut tarikh ditetapkan mahkamah," katanya.
Sementara itu, beliau mengumumkan kementerian akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan pada setiap Khamis bermula pukul 9 pagi sehingga 1 petang di sini.

Jelasnya, pendekatan tersebut dilakukan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan aduan dan memohon bantuan daripada semua agensi serta jabatan di bawah kementerian dengan mudah.
"Selain itu, mereka juga boleh memberikan maklum balas mengenai tugas yang telah dilaksanakan kementerian.
"Saya sendiri sebagai menteri telah memulakan pertemuan dengan orang ramai pada setiap Khamis di pejabat, jadi saya mahu memanjangkan perkara ini kepada semua agensi di bawah KDN," katanya.

No comments:

Post a Comment