PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Sunday, 5 January 2014
Tempat tahanan ISA dijadikan penjara agro
PUTRAJAYA - Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, Perak akan kekal sebagai pusat tahanan dengan konsep penjara agro, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Beliau berkata, fungsi tempat tahanan dengan keluasan 93.3 hektar yang mula beroperasi pada 1 November 1973 sebagai tempat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu berakhir semalam setelah enam tahanan terakhir dibebaskan.
Selaras dengan konsep sara diri yang diperkenalkan Jabatan Penjara, beliau berkata tempat tahanan yang lebih dikenali sebagai Kem Tahanan Kamunting akan diguna untuk mengeluarkan produk makanan seperti sayuran dan ikan bagi kegunaan banduan.
"Banduan yang ditempatkan di sini terdiri daripada banduan yang dipilih dari beberapa penjara yang dikategori sebagai banduan tidak berisiko dan hukuman tidak panjang tempohnya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohmad Khalid Sharif di sini hari ini.
Semalam, enam tahanan terakhir ISA yang terdiri daripada tiga rakyat Malaysia, dua Indonesia dan seorang Filipina dibebaskan. Mereka ditahan di Sabah pada 14 Nov 2011 kerana menganggotai kumpulan pengganas Darul Islamiah (DI) Sabah.
Pembebasan kumpulan terakhir tahanan ISA itu susulan pemansuhan akta itu yang diganti dengan penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada 31 Julai 2012.
Ahmad Zahid berkata, tempat tahanan perlindungan itu juga akan menempatkan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Langkah-Langkah Pencegahan Khas dalam Akta Dadah Berbahaya dan Akta Pencegahan Jenayah.
"Ini adalah untuk memastikan Tempat Tahanan Perlindungan Taiping tidak berada dalam keadaan daif. Kami akan menggunakan aset yang sedia ada tanpa membina aset-aset baharu," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pada tahun lepas Tempat Tahanan Perlindungan Taiping juga memberi latihan kemahiran dalam bentuk penghasilan produk hasil pertanaian dan penternakan yang membawa pulangan RM520 ribu.
Beliau berkata, produk pertanaian seperti sayuran kangkung dan sawi (200kg sebulan) dibekalkan kepada penjara-penjara bagi bekalan harian manakala sayuran berdaun, cendawan dan kucai turut dibekalkan kepada peniaga dan penduduk di sekitar Daerah Larut Matang dan Penjara Taiping (150kg sebulan).
"Pusat ternakan ikan air tawar juga membekalkan ikan seperti ikan keli dan ikan tilapia kepada lapan penjara seperti Penjara Batu Gajah, Penjara Tapah, Penjara Alor Star, Penjara Pulang Pinang, Penjara Seberang Prai dengan setiap bulan pembekalan mencecah empat tan," katanya.
Selain menternak lembu, kambing, dan ternakan lain seperti ayam kampung, Ahmad Zahid berkata tempat tahanan perlindungan itu juga menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil kenaf yang merupakan projek kerajaan dengan kerjasama Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment