KUALA LUMPUR - Pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya memenuhi matlamatnya untuk merangkul gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia buat kali kesepuluh semalam, tetapi kemudian memberi isyarat dia mungkin bersara pada Disember depan.
Skuad negara mengutip dua kemenangan pada hari terakhir Siri Super Premier yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Satu lagi kejayaan diraih oleh pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah, tetapi peminat badminton terpaksa bermuram apabila Chong Wei menyatakan hasratnya untuk bersara ketika sidang akhbar.
Chong Wei tidak mempunyai masalah untuk merangkul kemenangan selepas mudah mengalahkan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-19, 21-9 dalam tempoh 47 minit tetapi kenyataannya ingin bersara lebih mencuri tumpuan.
"Mungkin ini Terbuka Malaysia terakhir yang saya sertai, selepas Sukan Asia 2014 di Incheon (Korea Selatan) Oktober ini, saya tidak tahu akan terus bermain atau tidak. Jika keadaan saya tidak bagus saya akan bersara tahun ini pada Disember," katanya kepada wartawan.
Katanya, dia akan menilai prestasinya di Sukan Asia dan juga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan jika masih bebas daripada kecederaan mungkin dia akan meneruskan karier seperti biasa.
"Saya akan cuba dan fikirkannya semula kerana kita tidak tahu bagaimana prestasi saya selepas itu. Saya juga mempunyai banyak masalah peribadi, saya akan cuba sebaik mungkin tetapi tunggu hingga Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia berakhir.
"Tidak ada tekanan, bagi saya mungkin lebih kepada masalah peribadi, saya akan habiskan dulu aksi di beberapa kejohanan besar tahun ini kerana sebelum ini saya memang tertekan. Sekarang saya sudah mempunyai keluarga. Saya meninggalkan isteri (Datin Wong Mew Choo) dan anak (Kingston Lee) berbulan-bulan untuk menyertai kejohanan," katanya.
"Saya akan cuba untuk beraksi di Sukan Olimpik 2016 tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku kerana tiga tahun dari sekarang adalah tempoh yang lama, biar saya habiskan kejohanan besar yang bakal ditempuhi terlebih dahulu," katanya.
Ditanya mengenai kejuaraan Terbuka Malaysia semalam, Chong Wei berkata, dia berasa agak tertekan sepanjang seminggu kejohanan berlangsung kerana sangat teringin untuk muncul juara buat kali kesepuluh.
"Selepas menang saya berasa teruja. Walaupun pada set pertama Tommy mendahului, tetapi selepas menang set pertama saya sudah fikir akan menang mudah di set kedua. Bukan mudah untuk meraih kejuaraan kesepuluh, tambahan pula tahun ini (Terbuka Malaysia berstatus) Siri Super Premier.
"Isteri dan ibu saya melihat sendiri bagaimana muka saya begitu tertekan untuk muncul juara Terbuka Malaysia, saya sudah cuba yang terbaik dan selepas menjadi juara saya berasa bahu ini sungguh ringan kerana hilang tekanan," katanya.
Chong Wei membawa pulang AS$37,500 (RM123,637) manakala Tommy pula meraih AS$19,000 (RM62,643). Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, pemain China, Li Xuerui muncul juara perseorangan wanita selepas menumbangkan rakan senegara, Wang Shixian 21-16, 21-17 untuk membawa pulang RM123,637. Dalam acara beregu wanita, gandingan Bao Yixin-Tang Jinhua juga dari China mengetepikan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-19, 14-21, 21-13 untuk meraih AS$39,500 (RM115,424).
Penguasaan negara Tembok Besar dilengkapkan dengan kemenangan beregu campuran, Xu Chen-Ma Jin yang menumpaskan gandingan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 21-11, 17-21, 21-13 untuk meraih hadiah wang tunai RM115,424.
No comments:
Post a Comment