PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday, 10 January 2014

Operasi besar-besaran buru PATI

DR. AHMAD Zahid Hamidi bersama Izham Yusoff (dua dari kanan) memperkenalkan I-Kad Pekerja Asing dalam majlis pelancarannya di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, semalam. Turut serta Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) dan Mohamad Khalid Shariff. - BERNAMA


PUTRAJAYA 9 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan operasi besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih berada di negara ini sebaik sahaja Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) tamat 20 Januari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut akan disertai tiga agensi di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bermula pukul 12.01 tengah malam 21 Januari ini.

Menurutnya, KDN tidak akan berkompromi dalam isu tersebut kerana tempoh serta peluang yang telah diberikan kepada pihak majikan untuk mendaftar pekerja mereka sebagai pekerja yang sah sudah mencukupi.
"Kita tidak akan melanjutkan lagi tempoh ini selepas PKPP tamat. Tiada lagi ampun dan maaf daripada pihak kerajaan. Oleh itu para majikan hanya mempunyai 10 hari lagi untuk mendaftarkan pekerja yang tiada permit pekerjaan," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran I-Kad Pekerja Asing di KDN di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff, Pengerusi Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hasan dan Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff.
Ahmad Zahid berkata, untuk operasi kali ini setiap PATI yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan kos penghantaran tersebut ditanggung oleh pendatang asing terbabit atau majikan mereka atau pihak kedutaan.

"Kerajaan tidak akan mengeluarkan wang satu sen sekalipun untuk tujuan ini. Satu sen wang rakyat tidak akan kita gunakan sebaliknya akan ditanggung oleh PATI itu sendiri atau majikan atau kedutaan," katanya.
Selain itu Ahmad Zahid turut memaklumkan PATI yang dihantar pulang akan menjalani pemeriksaan biometrik bagi memastikan mereka tidak kembali ke Malaysia.
"Biometrik mereka akan diambil kerana kita tidak mahu apabila dihantar pulang mereka akan masuk semula ke Malaysia dengan menggunakan nama lain," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, selama ini kerajaan telah memberikan ruang sepenuhnya melalui program pemutihan 6P serta PKPP dan langkah itu berjaya mengurangkan jumlah pekerja asing di Malaysia namun masih ada saki-baki PATI yang degil dan tinggal di negara ini.
"Mereka bukan sahaja bekerja secara haram malah berniaga secara haram. Perbuatan ini mengambil peluang perniagaan rakyat tempatan.

"Sehubungan itu kerajaan tidak akan berkompromi membiarkan pendatang asing tinggal secara haram di negara kita apatah lagi mengaut rezeki dan mengurangkan peluang pekerjaan rakyat tempatan," tegasnya.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran, semua majikan dan mereka yang didapati melindungi PATI tidak akan terlepas daripada tindakan oleh KDN.
Selain itu beliau turut memaklumkan dalam tempoh tiga bulan PKPP dijalankan, hanya 3,951 permohonan daripada majikan telah didaftarkan.

No comments:

Post a Comment