TANJUNG MALIM 15 Jan. - Semua pusat latihan GiatMara di Selangor dipercayai akan mengalami nasib yang sama seperti GiatMara Selayang Baru dan GiatMara Sabak Bernam yang diarah tutup oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada akhir tahun ini.
Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri terbabit untuk menutup semua pusat latihan di bawah kelolaan Mara itu menjelang akhir tahun ini.
"Kami dapat tahu bukan hanya pusat latihan GiatMara seperti dilaporkan media akan ditutup, bakal ada tempat lain dan berkemungkinan di seluruh negeri Selangor.
"Kami kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor. Mereka tidak sewajarnya menganggu GiatMara memandangkan pusat latihan itu merupakan platform terbaik untuk membantu pelajar miskin," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Kepemimpinan Siswa Institusi Pendidikan Mara (IPMa) kali ke-2 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Kanan Pendidikan Tinggi Mara, Datuk Abdul Rahim Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-tech Mara, Profesor Dr. Azali Mohamed.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Negeri Selangor didakwa bertindak mengarahkan pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi satu surat yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak kepada Pengurus pusat latihan di bawah Mara itu yang bertarikh 2 Disember tahun lalu.
Dalam surat tersebut, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan tersebut untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Nazir yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai melampau dan tidak berperikemanusiaan.
"Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia membabitkan pendidikan dan tindakan kerajaan negeri adalah melampau. Sebelum ini Mara mungkin boleh bertolak-ansur dalam isu-isu yang sensitif, tetapi jika membabitkan pelajar Mara, saya tidak rasa kami perlu bertolak ansur," jelas beliau.
Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, selain pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru, Selangor yang diarahkan tutup, dua lagi pusat latihan GiatMara yang turut menerima notis sama.
Katanya, salah satu pusat latihan itu adalah di Sabak Bernam dan sebuah lagi pusat latihan GiatMara akan didedahkan kemudian.
Sehubungan itu, kata beliau, pentadbiran GiatMara akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan langkah yang harus diambil bagi mempertahankan pusat-pusat latihan berkenaan di Selangor.
No comments:
Post a Comment