PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 14 January 2015

Gelagat Murid Ceriakan Hari Pertama Sekolah



Suasana hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan, Ipoh diwarnai dengan pelbagai macam ragam, ada murid yang teresak-esak menangis mencari ibunya dan tidak kurang juga gembira bertemu rakan baru.
Tumpuan khusus diberikan kepada murid-murid Tahun 1 yang baru memulakan sesi persekolahan, tidak dinafikan ramai ibu bapa memenuhi perkarangan sekolah untuk menghantar anak-anak sehingga ke pintu kelas.
Seramai 72 orang murid Tahun 1 dan 50 orang murid Pra Sekolah ditempatkan di sekolah ini, jumlah keseluruhan murid bagi tahun 1 hingga 6 pula ialah 446 orang.
Meor Ammar Meor Rasdi, 7, kelihatan lincah dan ceria sewaktu berada di dalam kelas, malahan dia nampak begitu bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran.
"Masuk darjah satu rasa seronok, dapat jumpa ramai kawan. Tak rasa takut sebab sebelum ini pernah belajar di Pra Sekolah.
Besar nanti cita-cita saya nak jadi angkasawan," kata Meor Ammar yang begitu petah berkata-kata.
Seorang lagi murid, Nurul Syafiqah Ahmad Irang@Suhiran, 7, merupakan anak sulung dari dua beradik berkata, dia gembira berjumpa rakan-rakan lain dan mahu menjadi seorang guru pabila dewasa kelak.
"Rasa takut juga sebab kali pertama datang sekolah, tapi gembira sebab sudah jumpa kawan baru," kata Nurul Syafiqah.
Menjengah seketika murid-murid Pra Sekolah di sini, lain pula kisahnya berbanding Tahun 1, kanak-kanak yang belajar di sini berumur seawal 5 tahun dan rata-rata di antara mereka masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.
Bagaimanpun menurut seorang guru, keadaan itu hanyalah bersifat sementara dan mereka akan mula menunjukkan minat untuk belajar dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment