PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 1 January 2015

'Jangan Tertipu Tabung Banjir Palsu'



 Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta rakyat Malaysia berhati-hati ketika memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Pantai Timur agar tidak tertipu dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sumbangan berbentuk kewangan seelok-eloknya disalurkan melalui akaun bank kerana cara itu mampu mengelakkan penipuan.

“Sekiranya ada individu yang meminta derma dengan menggunakan tabung yang ditinggalkan di premis kedai atau dibawa ke restoran, periksa terlebih dahulu adakah mereka daripada badan kemanusiaan yang berdaftar.

“Selain itu, minta pihak yang mengutip derma itu mengemukakan dokumen sah yang menyatakan mereka daripada badan kemanusiaan yang biasa melakukan kutipan sumbangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama badan kemanusiaan berdaftar di negara ini untuk mengaut keuntungan.

“Kami beroperasi selama seminggu bagi mengutip sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur dan telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai ada yang menipu dengan menggunakan nama Mapim,” katanya.

Tambahnya, bagi badan kemanusiaan berdaftar, mereka akan mengisytiharkan jumlah kutipan yang diterima kepada umum.

"Mapim mengisytiharkan jumlah sumbangan yang diterima, kita tidak mahu wujud rasa curiga orang awam terhadap kami," katanya.

Setiausaha Muslim Care Malaysia, Abdul Razak Mohamed berkata, selain menerima sumbangan berbentuk barangan seperti makanan dan pakaian yang akan disalurkan kepada mangsa banjir Pantai Timur, pihaknya turut menerima bantuan berbentuk wang tunai.

“Bagi sumbangan berbentuk wang tunai, ia perlu disalurkan ke akaun kami dan kami tidak melantik sukarelawan untuk mengutip sumbangan di kedai-kedai.

“Selain itu, sumbangan kewangan boleh dilakukan secara terus dengan datang ke pejabat kami. Ini bertujuan mengelak penipuan menggunakan nama agensi kami berlaku,” katanya.

Tambahnya, sumbangan wang yang diberikan orang ramai akan digunakan untuk membeli keperluan makanan kepada mangsa banjir.

“Keperluan makanan bagi mangsa-mangsa begitu kritikal dan kita sedang berusaha menghantar bekalan makanan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan berhubung penipuan membabitkan tabung bencana banjir.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, PDRM bagaimanapun melakukan pemantauan di kawasan tumpuan bagi menghalang kewujudan sindiket penipuan tabung sumbangan bencana.

No comments:

Post a Comment