Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menganjurkan konsert ‘Pg2015, The 10th Penang Golden New Year’s Eve Countdown Celebration’ dan ‘Trance Movement’ pada malam tahun baru 2015.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, pada saat sesetengah penduduk bertarung dengan bencana alam dan peristiwa terbaru kehilangan pesawat Air Asia QZ8501 yang menyebabkan seluruh dunia bersedih, kerajaan Pulau Pinang seharusnya sensitif dan menghormati mangsa-mangsa banjir dengan tidak menganjurkan konsert dan program yang berbentuk hiburan.
"Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang merasakan adalah tidak wajar sama sekali konsert sambutan tahun baru ini diadakan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya menyelami isi hati rakyat terutamanya mereka yang ditimpa bencana saat ini. Sekalipun tidak mahu membantu, janganlah menunjuk sikap tidak prihatin seolah-olah apa yang berlaku tidak memberi kesan pada naluri kemanusiaan kita yang tidak ditimpa bencana.
"Sekarang adalah waktu bencana, seharusnya program-program seperti ini dibatalkan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rafizal, tidak salah kiranya kerajaan negeri membatalkan konsert ini seterusnya menyalurkan dana konsert ini untuk membeli keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir dan untuk belanja pasca banjir yang semestinya memerlukan suntikan dana yang besar bagi memulihkan kembali keadaan seperti sediakala.
"Jangan hanya pandai bercakap seolah-olah tugas ini hanya perlu digalas oleh kerajaan persekutuan, seharusnya kerajaan negeri juga perlu mengambil inisiatif bersama dalam membantu memulihkan kembali negeri-negeri yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negara.
"Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang kesal dengan sikap kerajaan negeri yang sambil lewa dalam hal ini serta asyik menunding jari kepada pihak lain apabila ditegur," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang juga didesak sekeras-kerasnya untuk membatalkan konsert ‘Pg2015, The 10th Penang Golden New Year’s Eve Countdown Celebration’ dan ‘Trance Movement’ untuk menjaga sensitiviti rakyat sekalipun anda tidak punya rasa sensitif terhadap apa yang berlaku.
"Sedangkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri lain membatalkan semua perayaan dan program berbentuk hiburan di seluruh negara bagi menzahirkan rasa hormat kepada mangsa bencana, mengapa kerajaan Pulau Pinang tidak boleh melakukan perkara yang sama?," soalnya.
No comments:
Post a Comment