PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Tuesday, 27 January 2015
50,000 Syarikat masih Berdegil Tidak Daftar GST
Sebanyak 50,000 syarikat masih berdegil untuk mendaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berdasarkan semakan di pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan memaksa syarikat berkenaan untuk mendaftar dan mengenakan kompaun minimum RM2,000 berikutan tarikh akhir pendaftaran wajib telah berakhir pada 31 Disember lepas.
"Sekiranya masih enggan daftar, kita akan daftar (secara paksa) dan kompaun mereka sehingga maksimum RM15,000.
"Mereka perlu tahu bahawa nama syarikat dan maklumat lain ada di Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.
Bercakap dalam program 'Ruang Bicara' bertajuk 'Melindungi Ekonomi Negara' di Bernama TV, di sini malam tadi, Ahmad menyifatkan secara keseluruhannya, sambutan syarikat-syarikat terhadap CBP sebagai amat menmenakjubkan.
Malaysia akan melaksanakan GST mulai 1 April pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada masa kini.
Kerajaan pada awalnya hanya menjangkakan 150,000 syarikat berdaftar untuk GST, tetapi bilangannya kini meningkat lebih 305,000 syarikat.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan sedia untuk membuat semakan Bajet 2015 sekali lagi termasuk menangguhkan perlaksanaan projek-projek mega berimpak tinggi kepada ekonomi dan rakyat jika harga minyak mentah di pasaran dunia terus menjunam.
Bagaimanapun, katanya, hasil kajian kementerian dan agensi berkaitan mendapati harga minyak mentah tidak mungkin akan berada pada US$40 setong dan ke bawah kerana pengeluaran minyak tidak lagi boleh diteruskan apabila harganya di tahap lebih rendah daripada kos.
"Kerajaan dan kebanyakan pakar-pakar ekonomi menjangkakan harga minyak akan berlegar di sekitar US$40 dan US$70 setong dan kita memilih US$55 setong sebagai purata harga minyak untuk tahun ini," katanya.
Justeru itu, Ahmad berkata buat masa ini semua projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, projek MRT jajaran kedua, LRT3 dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, akan tetap diteruskan.
Beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo yang akan menjadi pemangkin pembangunan Sabah dan Sarawak tidak boleh ditangguh kerana boleh mengubah landskap pembangunan ekonomi di sepanjang laluannya.
"Begitu jugalah dengan projek MRT dan kereta api berkelajuan tinggi yang akan turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Ini kerana untuk mewujudkan kereta api laju memerlukan rantaian aktiviti ekonomi membabitkan industri pembuatan, perkilangan dan perkhidmatan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment