PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Friday, 20 February 2015
UMNO Permatang Pauh Guna Strategi Kempen Baharu
Umno Permatang Pauh tidak akan mengekalkan cara berkempen yang lama sebagaimana pilihan raya yang lepas untuk menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Permatang Pauh.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pihaknya tidak akan mengulangi skrip yang sama dengan menampilkan calon bukan anak tempatan, payung terjun dan sebagainya sekiranya ada pilihan raya kecil di kawasan itu.
"Di peringkat Barisan Nasional Permatang Pauh dan negeri, kita telah mengadakan dua mesyuarat awal bersama parti komponen yang lain untuk persiapan kita. Keseluruhannya jentera pilihan raya telah kita tubuhkan, cuma perjalanan dan gerakan akan kita fikirkan selepas 24 Februari ini.
“Kalau ada pilihan raya kecil maka kita akan buat pergerakan jentera sepenuhnya. Cara berkempen di Permatang Pauh akan berubah daripada yang sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan limau dan 'ang pow' kepada 350 warga emas di Parlimen Permatang Pauh, di sini hari ini.
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.
Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuatkuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Ditanya sama ada pihaknya ada mengemukakan nama-nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu, Mohd Zaidi berkata setakat ini beliau belum diminta untuk mengemukakan sebarang nama dan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya percaya Barisan Nasional akan buat keputusan berdasarkan perbincangan sesama kita (parti komponen). Bagaimanapun, apa-apa cadangan nama kita belum kemukakan...mungkin masih terlalu awal," tambahnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment