PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Tuesday, 24 February 2015
Kemeriahan Tahun Baharu Cina Atas Semangat 1Malaysia
Tahun Baharu Cina disambut hari ini bukan hanya oleh masyarakat Tionghua namun turut dikongsi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini dalam semangat 1Malaysia.
Tidak ketinggalan pembesar negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyertai ribuan rakyat yang hadir ke majlis 'rumah terbuka' di ibu negara anjuran MCA dan Gerakan.
Penganjuran rumah terbuka yang sinonim dengan budaya masyarakat majmuk di Malaysia bagi mengeratkan tali keakraban sesama rakan dan kenalan, turut diadakan di negeri-negeri.
Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadiri dua rumah terbuka iaitu anjuran Persekutuan Tionghua Johor Baharu di Dewan Besar Wong Shee Fun, Taman Sri Tebrau, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong di Dewan Jubli Intan Pontian.
Kedua-duanya dihadiri ribuan tetamu yang menikmati pelbagai juadah dan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Kambing yang dijangka membawa banyak kemakmuran dan tuah.
Di SABAH, antara yang mengadakan majlis rumah terbuka hari ini ialah Parti Liberal Demokratik (LDP), parti Gerakan negeri dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kesemuanya di Sandakan yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Esok, Musa akan menghadiri majlis rumah terbuka PBS dan MCA Bahagian Penampang di Kota Kinabalu.
Di PERAK, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengunjungi rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang dihoskan Tan Sri Kong Cho Ha di kediaman bekas menteri pengangkutan itu di Sitiawan.
Suasana meriah dirasai di situ dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum sejak awal lagi dengan pelbagai juadah antaranya sate, roti jala, dan buah limau.
Di MELAKA, MCA Melaka tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di Jalan Kubu yang dihadiri ribuan tetamu pelbagai bangsa.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan tarikan pelancong antaranya Bandar Hilir dan Jonker Walk meriah dengan hiasan sambutan Tahun Baharu Cina serta kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Di SARAWAK, seawal 8.30 pagi, ribuan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di ibu pejabat parti itu di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Kuching.
Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian bersama bersama beberapa anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti beramah mesra dengan pengunjung yang datang memeriahkan sambutan kali ini termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Selain SUPP, beberapa rumah terbuka turut diadakan di sekitar Kuching termasuk anjuran Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk J.C. Fong dan Temenggung Kaum Cina Bahagian Kuching, Lu Kim Yong.
Di KELANTAN, sambutan dibuat secara sederhana susulan proses pemulihan susulan kejadian banjir besar yang melanda Kelantan hujung tahun lepas, masih dilakukan.
"Ramai masyarakat Tionghua kehilangan rumah akibat musibah itu menyebabkan mereka menyambut Tahun Baharu Cina secara sederhana," kata Setiausaha MCA Kelantan Datuk Lua Choon Hann kepada Bernama.
Beliau berkata MCA turut mengagihkan angpau RM500 kepada kira-kira 500 keluarga masyarakat Tionghua yang terjejas banjir di Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Baharu.
Di PULAU PINANG, kira-kira 8,000 orang daripada pelbagai kaum menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Arena SPICE.
Majlis yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Timbalan Ketua Menteri I dan II Datuk Abdul Rashid Hasnon dan Dr P. Ramasamy.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment