PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 30 April 2015

'PM Realisasi Impian Kami' - Generasi Kedua FELDA



Warga Felda menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan harga rumah generasi kedua dari RM 125,000 kepada RM90,000 seunit secara jual-beli dan melalui skim sewa beli.

Rata-rata generasi kedua peneroka Felda yang ditemui di Parlimen Rompin berkata pengumuman itu adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu mereka sejak sekian lama, dan kini harapan memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan dapat dicapai.

Generasi kedua Felda Keratong 1, Azwan Norul Bahrin, 32, berkata pengumuman itu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka selama ini kerana kebanyakan generasi kedua Felda terpaksa menumpang di rumah orang tua ataupun menyewa kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

"Walaupun sudah berkahwin, tetapi kerana tidak mempunyai penyata gaji selain gaji yang rendah, maka kami tidak mampu untuk membeli rumah yang ditawarkan sebelum ini yang bernilai RM120,000," katanya kepada Bernama di sini hari Sabtu.

Menurutnya kebanyakan generasi kedua masih tinggal di Felda dan hanya bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan purata kurag RM1,000 sebulan. Bagi Pengerusi Belia Felda Selancar 4, Raja Mustaffa Kamal Raja Abdul Rahman, berkata pengumuman Najib cukup membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap nasib generasi kedua tanah rancangan itu.

"Kami sudah lama menantikan pengumuman ini dan saya mewakili belia di Felda Selancar 4 ingin berterima kasih kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau terhadap nasib kami," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata generasi muda Felda turut berharap agar syarat-syarat yang dikenakan terhadap skim sewa beli rumah berkenaan tidak terlalu ketat dan diperincikan dengan baik.

Sementara itu, generasi kedua Felda Keratong 1 Abdul Hadi Rahman, 25, berkata pengumuman itu tepat pada masanya memandangkan beliau sedang merancang membeli rumah menjelang akhir tahun ini.

"Saya berkahwin pada Januari lepas dan memang mempunyai hasrat untuk memiliki rumah sendiri... saya akan bekerja lebih gigih untuk kumpul duit," katanya.

Bagi Zainun Musa, 48, dari Felda Keratong 9, langkah kerajaan menawarkan harga berpatutan untuk generasi kedua Felda sedikit sebanyak menyelesaikan masalah 'kesesakan' dalam rumah.

"Apabila anak-anak sudah membesar, mereka terpaksa menumpang rumah orang tua kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri. Mana yang mampu, mungkin boleh menyewanya.

"Bayangkan jika satu keluarga itu memiliki sembilan anak, bagaimana mereka hendak bersesak-sesak dalam satu rumah, jadi terima kasih kerajaan kerana memahami masalah kami sebagai peneroka," katanya yang mempunyai empat anak berusia 16 hingga 30 tahun dengan tiga daripadanya masih tinggal bersamanya.

Semalam, calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin meminta perdana menteri supaya mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di sini berikutan harga rumah itu, yang bernilai antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit, adalah di luar kemampuan golongan muda Felda.

Petang tadi, Najib dalam kenyataannya, mengumumkan pembinaan sebanyak 1,504 unit perumahan generasi baru FELDA di Parlimen Rompin iaitu 480 unit di Felda Selancar 4/5 , Felda Keratong 4 (264 unit), Felda Selendang 2 (360 unit) dan Felda Keratong 7 (400 unit) pada harga RM90,000 seunit.

No comments:

Post a Comment