PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Tuesday, 21 April 2015
Veteran UMNO Susun Strategi 'Keluargaku Pengundi BN'
Veteran Umno Malaysia mengembleng strategi dengan slogan 'Keluargaku Pengundi BN' bagi membantu kempen calon BN PRK Parlimen Rompin, Pahang dan PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, dengan berpaksikan slogan itu, veteran Umno akan memastikan setiap ahlinya dapat menjamin bahawa isteri/suami, anak atau menantu mengundi calon BN dalam kedua-dua PRK itu.
Katanya, Veteran Umno Malaysia mempunyai lebih 5,500 ahli di Rompin dan lebih 4,000 ahli di Permatang Pauh.
"Mereka adalah pengundi tegar BN dan veteran akan memastikan setiap anggota akan keluar mengundi calon BN," katanya kepada Bernama hari ini.
Mustapha berkata, gerak kerja yang disusun oleh organisasi itu bersesuaian dengan peranan veteran yang terdiri daripada anggota dan pengundi yang berumur 60 tahun ke atas.
Katanya veteran Umno yakin BN akan menang mudah dalam PRK Rompin selain mempunyai harapan merampas kerusi Permatang Pauh jika semua pihak bekerjasama.
Mustapha yang tidak menolak kemungkinan pembangkang akan menggunakan pelbagai isu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai modal meraih sokongan, yakin BN juga bersedia untuk memperjelaskan isu berbangkit melalui ceramah dan kempen yang akan dijalankan.
"Pembangkang juga tidak mempunyai jalan mudah kerana mereka berdepan dengan masalah dalaman," katanya.
PRK Rompin akan diadakan pada 5 Mei selepas penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, 10 April lalu.
PRK Permatang Pauh pula pada 7 Mei ini dan perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment