Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mencadangkan supaya anugerah yang membawa gelaran Dato' Seri dan Dato' kepada Ir Mohd Nizar Jamaluddin dan Ngeh Koo Ham ditarik balik.
Ketuanya, Hairul Anwar Mohd Noor berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan menghantar memorandum kepada pihak istana secepat mungkin, ekoran tindakan wakil rakyat pembangkang semalam yang mereka sifatkan sebagai biadap dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, selain cadangan itu, memorandum yang bakal dihantar juga akan menyatakan Pemuda UMNO menjunjung kasih terhadap Sultan dan bersedia mempertahankan institusi itu sehingga ke titisan darah terakhir.
Beliau berkata, Pemuda UMNO juga mahu kerajaan negeri Perak mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana sikap kurang ajar dan tidak bertamaddun yang ditunjukkan oleh mereka ketika Sultan Perak merasmikan sidang DUN pada Selasa.
"Sikap yang ditunjukkan oleh ADUN-ADUN pembangkang Perak menunjukkan mereka tiada rasa hormat serta tidak memberi pengiktirafan terhadap institusi Raja-Raja Melayu seperti yang dinyatakan di bawah Perlembagaan negara," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Sebelum itu, beliau bersama-sama beberapa pemimpin pertubuhan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Speaker DUN yang diterima oleh Timbalan Speaker, Datuk Nasarudin Hashim.
Hairul berkata, memorandum itu antara lain meminta Speaker DUN Perak mengambil tindakan terhadap kesemua ADUN yang terlibat, termasuk mengusulkan supaya mereka dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.
Menurutnya, telah menjadi amalan, setiap kali menghadiri aturcara yang melibatkan keberangkatan Sultan, terdapat kod etika pakaian yang wajib dipatuhi.
"Kami difahamkan, kad jemputan untuk perasmian Dewan Negeri jelas menerangkan kod etika pakaian iaitu Pakaian Nombor Satu (Hari Kalong).
'Bermakna, semua ADUN dan jemputan hendaklah memakai pakaian istiadat dan mereka sengaja membuat provokasi kerana selama ini, mereka terlepas daripada apa-apa hukuman walaupun mereka melanggar undang-undang serta peraturan," ujarnya.
Beliau memberi contoh, tindakan ganas pembangkang ketika perasmian Sidang DUN pada 9 Mei 2009 sehingga pemangku raja ketika itu terpaksa menangguhkan keberangkatan baginda ke dalam Dewan, tetapi tiada satu hukuman pun dikenakan kepada mereka.
"Ini adalah punca mereka bertindak mengikut hawa nafsu serakah tanpa menghormati mana-mana institusi. Oleh itu, sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Perak mahu Speaker dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka ini," tegasnya.
Hairul melahirkan rasa hairan mengapa pembangkang menyatakan protes pada hari perasmian Sidang DUN dengan keberangkatan Sultan Perak yang pertama kali merasmikan persidangan itu.
"Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati Sultan dan yang lebih memeranjatkan apabila dua wakil rakyat Melayu dari PAS yang turut serta tidak menghormati Sultan," kata beliau.
No comments:
Post a Comment