PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Friday, 10 October 2014
Guan Eng Jangan Keterlaluan
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng diminta tidak bersikap keterlaluan sehingga menuduh Pas sebagai talam dua muka dalam hubungan parti itu dengan pakatan pembangkang.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan menegaskan, kenyataan Guan Eng itu seolah-olah menganggap Pas sebagai sebuah parti hipokrit dalam perjuangannya.
Beliau berkata, pada hal, Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya sedar bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menegaskan pada ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas sebelum ini bahawa parti itu akan beristiqamah dalam tahaluf siyasi.
"Mungkin di sana (muktamar) ada pimpinan-pimpinan kita yang mengkritik dan menegur serta mungkin perkara-perkara yang dikritik itu berlaku sesama sendiri maka itu pada saya, adalah sesuatu yang positif atas dasar ingat mengingatkan antara satu sama lain. Perkara ini melibatkan tegur menegur dan kritik mengkritik terutama dalam ruang demokrasi yang ada.
"Semua ini adalah satu perkara yang selayaknya dipandang positif. Bukannya kita mahu menjatuhkan pakatan pembangkang tetapi adalah membetulkan atau memperbaiki keadaan itu sama ada dibuat secara tertutup ataupun dipetik oleh pihak media yang akhirnya menjadi terbuka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam laporan portal berita semalam, Guan Eng dengan terus terang meminta ahli Pas yang menentang pakatan pembangkang untuk menunjukkan diri, dan jangan menjadi 'talam dua muka'.
Mengulas lanjut, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh memberitahu, perkara paling penting adalah bagi semua pihak dalam pakatan pembangkang untuk berlapang dada dalam menerima teguran serta kritikan mendatang.
Beliau berkata, sekiranya terdapat perkara yang menuntut sebarang penjelasan maka penjelasan secukupnya perlu diberikan bagi memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam kerjasama antara pakatan pembangkang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment