PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 14 May 2014

Beranikah Ahmad Said Bersumpah Menafikan Beliau Ada Perjanjian Dengan PM?



RBFONLINE : Pada PRU tahun 1999 Pas berjaya menawan Terengganu daripada BN yang ketika itu dibawah kepimpinan Tan Sri Wan Mokhtar dengan hanya meninggalkan 4 kerusi sahaja BN. Pas pula menguasai 28 kerusi. 
Idris Jusoh telah dipilih mengetuai BN Terengganu untuk menghadapi PRU 2004. Hasil kerja keras Idris termasuklah melalui program bersirinya yang diberi nama Gelombang Biru, akhirnya keputusan PRU 2004 menyaksikan keputusan yang terbalik. BN pula menang 28 kerusi dan Pas tinggal 4 kerusi sahaja. 
Idris dilantik sebagai MB Terengganu dan juga mengetuai BN negeri berkenaan. PRU 2008 datang dan kita semua menyaksikan bagaimana satu gelombang datang membadai BN hingga menyebabkan empat negeri melayang, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Tetapi Terengganu yang menjadi lubuk Pas sejak azali masih utuh di tangan BN. Pas hanya berjaya menambah 4 kerusi sahaja menjadikan ianya 8 kerusi dan BN 24 kerusi. Satu kemenangan yang masih selesa disaat badai yang teruk melanda BN di seluruh negara. 
Idris Jusoh tidak dipilih semula sebagai MB dan digantikan dengan Ahmad Said dalam keadaan penuh konstrovesi. Idris menerima dengan redha takdir yang menimpa dirinya. Beliau tidak merajuk, meragam atau jauh sama sekali untuk mengumumkan keluar parti. Idris meninggalkan kedudukan kerajaan negeri yang selesa kepada Ahmad Said.
Selepas itu kita dengar macam-macam cerita yang keluar bagaimana kem Ahmad Said 'membunuh' orang-orang Idris Jusoh. Salah seorang orang pro Ahmad Said yang banyak memainkan peranan pergaduhan atau adu domba adalah Ketua Umno Bahagian Dungun, Rosli Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Pok Li Bobok. 
Daripada tahun 2008 hinggalah kepada ke saat-saat DUN Terengganu dibubarkan untuk PRU 2013, pergaduhan antara kem tersebut tak habis-habis. Kemudian apabila masuk pula bab senarai calon-calon yang bertanding, perbalahan memasuki fasa baru pula apabila orang-orang Idris Jusoh kebanyakkannya tidak disenaraikan sebagai calon. Manakala Pok Li Bobok yang tidak dipilih sebagai calon pada tahun 2008 telah disenaraikan semula sebagai calon Parlimen Dungun 2013. Keputusannya menyaksikan dia kalah dan BN kehilangan satu parlimen yang mereka pegang 2008. 
Daripada hari penamaan calon hingga ke hari pengundian BN Terengganu terus berpecah belah dan bertikam sesama sendiri. Perkara ini membuatkan rakyat Terengganu muak dan mual. Akhirnya apabila keluar keputusan PRU 2013 menyaksikan BN hanya menang nyawa-nyawa ikan. Daripada 24 kerusi tinggal 17 kerusi. Tak pasal-pasal Pas berjaya tambah 6 kerusi dan PKR 1 kerusi. Rakyat Terengganu bukannya sukakan Pas, tetapi mereka bosan kerana Ahmad Said sebagai seorang ketua yang mentadbir negeri gagal menjalankan tugasnya sebagai ketua dengan baik sehingga BN bertikam sesama sendiri. Sebab itulah mereka pilih Pas. 
Sebagai PM , Presiden Umno, dan Pengerusi BN, Datuk Najib harus memandang serius perkara ini. Beliau pun tentu muak kerana peluang demi peluang diberikan kepada Ahmad Said untuk menyelesaikan pergolakkan dalaman Umno Terengganu. Tetapi ianya gagal diselesaikan. Kalau dia tak boleh selesaikan maka Datuk Najib kena selesaikanlah. Jika tidak diselesaikan dan keadaan berterusan begitu maka jawabnya PRU akan datang Terengganu akan hanyut sekali lagi. Jika Datuk Najib tidak bertindak memperbetulkan keadaan orang kata Najib lemah, Najib lembik, Najib gagal dan macam-macam tuduhan lagi. Bila Najib tunjuk taring dan bertindak tegas orang kata pula Najib menghuru harakan keadaan, Najib tidak cekap dan macam-macam lagi. 
Sebagai PM kesabaran Najib pun ada hadnya apabila asyik diugut Ahmad Said. Selepas PRU 2013 pun apabila Najib enggan melantik dia sebagai MB, dia dah ugut untuk keluar parti dan bawa orang-orang dia keluar parti dan seterusnya runtuhlah Kerajaan BN Terengganu. Kemudian capai persetujuan untuk pegang jawatan selama setahun. Apabila sampai masa yang dijanjikan dia berdolak dalik lagi dan ugut mengugut lagi. Kalau saya sebagai PM pun saya akan bertindak tegas jika asyik ugut mengugut sahaja. 
Sekarang kita boleh lihatlah wajah sebenar Ahmad Said. Kita boleh lihatlah bagaimana dia punya gila kuasa. Dia telah gagal menjalankan tugasnya menyatupadukan ahli-ahli Umno di negeri yang dia ketuai walaupun peluang demi peluang diberikan , kemudian nak kekal sebagai MB dan Pengerusi Umno dan BN negeri. Kemudian lagi nak ugut-ugut PM pula. 
Anda lihatlah surat perletakan jawatan beliau semalam. Surat itu pun surat ugutan juga. Surat itu tidak dihantar kepada Umno Pusat. Sebaliknya dihantar kepada Astro Awani. Sampai saat ini pun Umno Pusat masih belum menerimanya. Kemudian tidak dinyatakan pendiriannya sebagai Adun Bebas samada pro Pas atau BN. Itu semua ugutan. Dia mengharap Najib akan ketar lutut dan akan hantar orang memujuknya atau Najib menukar balik keputusan. 
Saya punya pendirian dalam hal ini saya menyokong keputusan Datuk Najib. Satu keputusan yang berani dan tegas. Dan kepada Ahmad Said pula, lembu berpegang kepada tali manusia berpegang kepada janji. Datuk dah janji dengan PM dan dah tandatangan surat perjanjian untuk pegang jawatan MB selama setahun, maka Datuk patutlah pada janji tersebut. Sekarang jangan pula Datuk berdolak dalik atau Datuk cuba nak kata tiada perjanjian. 
Jika pemain-pemain bola pasukan T Team diminta bersumpah dengan Quran untuk membuktikan mereka bercakap benar, sekarang berani atau tidak Datuk pula bersumpah dengan Quran menafikan Datuk ada tandatangan perjanjian dengan PM untuk pegang jawatan MB selama setahun ? 
Janganlah pula jadikan majlis pernikahan anak sebagai alasan. Datuk dah tahu tempoh setahun tersebut bila tamat, kenapa pula Datuk pilih majlis pernikahan anak hampir dengan tarikh Datuk tamat jawatan sebagai MB ? 

No comments:

Post a Comment