PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Sunday, 4 January 2015

Sebar Fitnah, Berita Palsu Perbuatan Keji



Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan tindakan segelintir individu yang menyebarkan berita palsu dan fitnah mengenai musibah banjir di media sosial sehingga menjadi viral, sebagai perbuatan keji.

Timbalan perdana menteri berkata selain bertentangan dengan ajaran Islam, perbuatan yang sama sekali tidak mencerminkan akhlak seorang Islam itu juga boleh mewujudkan rasa benci dan permusuhan sesama umat Islam.

"Cerita-cerita yang direka mereka yang berniat jahat ini banyak menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam kalangan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M di Masjid Putra di Putrajaya.


Sambutan bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu turut dihadiri isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri Kabinet berkenaan dan perwakilan negara luar.

Muhyiddin sekali gus menggesa masyarakat supaya tidak mudah mempercayai berita yang tersebar di media sosial tanpa sumber yang sahih.

Beliau bagaimanapun berkata daripada pengamatannya masih terdapat ramai kalangan masyarakat bersimpati dengan mangsa musibah itu.

"Mereka menghulurkan pelbagai bantuan sama ada berupa barangan, wang ringgit mahupun tenaga untuk membantu mangsa banjir.

"Ini adalah contoh akhlak terpuji yang diamalkan rakyat negara ini tanpa mengira kaum atau agama," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin menggesa umat Islam di Malaysia supaya sentiasa berusaha untuk memperkukuh dan meningkatkan kefahaman mengenai pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menjauhi segala bentuk ajaran yang melampau dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau berkata pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah yang menjadi tunjang manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu terus dipertahankan bagi mengelak elemen yang boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian ummah.

Muhyiddin berkata umat Islam tidak boleh membiarkan kecelaruan pegangan akidah dan pemikiran menghasilkan tindakan yang boleh mengancam perpaduan dan keselamatan masyarakat umum.

"Saya percaya masalah perpecahan ummah dan sikap melampau segelintir umat Islam akan dapat diatasi sekiranya umat Islam kembali berpegang kepada ajaran Islam seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, Imam Besar Masjid Negara Datuk Salleh Mad@Ahmad dipilih sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015.

Salleh menerima wang tunai RM50,000 sijil serta hadiah iringan.

Selain itu, 8 lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta plak, sijil, dan hadiah iringan.

Sambutan itu bermula dengan perarakan 149 kontinjen membabitkan 12,325 peserta terdiri daripada 68 pasukan jabatan kerajaan, 33 badan berkanun, 13 swasta, 10 badan beruniform, empat sekolah, enam institut pengajian tinggi dan enam kontinjen badan bukan kerajaan.

Peserta berarak sambil berselawat sejauh 1.8km bermula di depan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.

Saturday, 3 January 2015

Penyebar Fitnah Kejadian Banjir Kini Diburu



Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memburu penyebar khabar angin berkaitan kejadian banjir yang melanda negara sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengesan pihak yang terlibat agar mereka dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata tindakan individu terbabit sebagai tidak bertanggungjawab dan menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit dengan bencana banjir.

"Saya harap sangat orang ramai tidak mudah percaya dengan khabar angin. Kita harap mereka dapatkan maklumat yang sah daripada pihak berwajib. Kita tidak mahu ada lagi pihak mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya, dekat Pekan, hari ini. Turut mengiringi beliau Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani dan Ketua Polis daerah Supt Yahaya Othman.

Sementara itu, Khalid menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar berpindah segera sebelum rumah mereka dinaiki air.

"Penduduk di negeri ini terutama di kawasan Pekan diminta berjaga-jaga kerana air dijangka terus meningkat di kawasan berkenaan.

"Jika pihak berkuasa datang ke rumah minta pindah, pindahlah sebab kita takut nanti kalau lambat pindah, mereka akan terperangkap akibat jalan terputus, semua pengangkutan tidak boleh masuk untuk operasi menyelamat," katanya.

Beliau berkata jiran juga mempunyai peranan untuk memujuk kawan supaya pindah ke pusat pemindahan bagi memastikan keselamatan mereka.

Khalid pada lawatan turut menyampaikan jaket keselamatan kepada pasukan polis bagi operasi menyelamatkan mangsa banjir di pusat pemindahan Institut Kemahiran Mara, Pekan yang disumbangkan sebuah syarikat swasta.

TPM Arah Agensi Berkaitan Segara Daftar Kerugian



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua agensi berkaitan menyegerakan proses pendaftaran kerugian yang dialami mangsa banjir dan pelbagai kemudahan awam.
Katanya, urusan itu perlu dilakukan sekarang memandangkan keadaan banjir di seluruh negara kini semakin pulih.
Menurut beliau, proses pendaftaran perlu dibuat sekarang untuk mengetahui tahap kerosakan sebenar dan bagi membolehkan kerajaan membuat anggaran kos untuk membaiki kerosakan.
"Semua urusan pasca banjir ini satu proses yang maksimum," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri di sini pada Khamis. Turut mengiringi beliau, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Muhyiddin, yang penting ialah penyelarasan di antara pelbagai agensi termasuk antara agensi Persekutuan dan negeri serta peringkat tempatan di samping menubuhkan sebuah jawatankuasa yang semua pihak terlibat.
"Ini penting supaya tidak ada satu pihak berbuat satu perkara, pihak lain buat lain perkara dan yang jadi masalah ialah mangsa banjir kerana tidak ada kesepakatan diwujudkan," ujarnya.
Katanya, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertanggungjawab dalam menangani isu itu, namun beliau berpendapat di peringkat negeri, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri sudahpun menubuhkan jawatankuasa dan laporan-laporan ini akan dikumpulkan daripada sumber-sumber pelbagai pihak.
Beliau mengaitkan Jabatan Pendidikan sebagai contoh Jabatan Pendidikan Negeri sepatutnya bertanggungjawab melaporkan beberapa buah sekolah telah digunakan sebagai pusat pemindahan dalam keadaan tenggelam yang perlu diperbaiki segera sebelum awal persekolahan bermula.
Di samping itu, kata Muhyiddin, banyak kerosakan lain seperti infrastruktur di banyak kawasan di seluruh negara yang melibatkan infrastruktur dalam keadaan yang agak teruk yang perlu dibuat penilaian dan apa yang perlu kerajaan laksanakan segera.
Menurutnya, beberapa jalan yang rosak dan jambatan yang perlu diperbaiki segera supaya perhubungan tidak terputus.
"Kalau jambatan hanyut, maka kampung akan terpisah jalan tidak boleh dilalui barangan tidak boleh diangkut jadi banyak kesan kepada ekonomi,'' katanya.
Dalam lawatan ke pusat pemindahan itu, Muhyiddin meluangkan masa sejam bertemu mangsa-mangsa banjir dan melihat penyediaan makanan kepada mangsa banjir.

Friday, 2 January 2015

RM350 Juta Untuk Baiki Sekolah Rosak



Kerajaan menganggarkan sebanyak RM350 juta diperlukan untuk membaiki sekolah-sekolah di seluruh negara yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu perlu disediakan oleh lain-lain agensi dan tidak termasuk swasta dan sebagainya.
"Saya sudah buat anggaran untuk sekolah saya sahaja RM350 juta yang perlu disediakan untuk membaiki kerosakan kerosakan,'' katanya yang juga Menteri Pendidikan.
Muhyiddin berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri pada Khamis. Turut mengiringi beliau Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau juga mengarahkan semua agensi berkaitan menyegerakan proses pendaftaran kerugian yang dialami mangsa banjir dan pelbagai kemudahan awam.
Katanya, urusan itu perlu dilakukan sekarang memandangkan keadaan banjir di seluruh negara kini semakin pulih.

Mangsa Banjir Di Perak Menurun



Jumlah mangsa banjir di Perak mencatatkan penurunan pada Rabu apabila seramai 7,191 orang daripada 1,1968 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir sekitar negeri ini, berbanding 7,664 orang daripada 2,047 keluarga tengahari semalam.
Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, sehingga jam 2 petang Rabu, hanya 53 pusat pemindahan masih dibuka berbanding 57 pada hari Selasa.
Bagaimanapun, menurut beliau, satu pusat pemindahan baharu telah dibuka di daerah Manjung iaitu di Pusat Pemindahan Sungai Kayan yang menempatkan 40 orang daripada enam keluarga.
Katanya lagi, pihak MKN juga menjangkakan tiga lagi kawasan di daerah Teluk Intan bakal dinaiki air ekoran paras air yang tidak stabil iaitu di Pasir Bedamar, Kampung Batak Rabit dan juga Kampung Terengganu.
“Dijangkakan kawasan-kawasan yang akan terlibat adalah seperti yang tersebut tetapi pihak kita telah pun mengambil langkah siap sedia melalui jadual yang bersistematik,” katanya di satu sidang media pada Rabu.
Khairul memberitahu, daerah Perak Tengah masih lagi menempatkan mangsa yang paling ramai di negeri ini iaitu seramai 4,902 orang daripada 1,337 keluarga di 20 pusat pemindahan.
“Sehingga jam 2 petang tadi daerah Hulu Perak mempunyai 14 pusat pemindahan yang menempatkan 225 keluarga dan di daerah Kuala Kangsar pula terdapat 16 pusat pemindahan menempatkan 204 keluarga.
“Di daerah Kerian pula kita mempunyai 2 pusat pemindahan yang menempatkan 321 orang daripada 321 keluarga,” tambah beliau.
Beliau turut meminta rakyat negeri Perak untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir melalui portal banjir MKN yang rasmi.
“Pihak MKN memohon kepada semua rakyat Perak untuk sentiasa melihat portal banjir MKN untuk mengetahui apa yang berlaku di negeri perak ini.
“Ini adalah untuk mengelak daripada sumber-sumber dan maklumat yang tidak sahih, kita sentiasa mengemas kini maklumat kita,” katanya

Thursday, 1 January 2015

'Jangan Tertipu Tabung Banjir Palsu'



 Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta rakyat Malaysia berhati-hati ketika memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Pantai Timur agar tidak tertipu dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sumbangan berbentuk kewangan seelok-eloknya disalurkan melalui akaun bank kerana cara itu mampu mengelakkan penipuan.

“Sekiranya ada individu yang meminta derma dengan menggunakan tabung yang ditinggalkan di premis kedai atau dibawa ke restoran, periksa terlebih dahulu adakah mereka daripada badan kemanusiaan yang berdaftar.

“Selain itu, minta pihak yang mengutip derma itu mengemukakan dokumen sah yang menyatakan mereka daripada badan kemanusiaan yang biasa melakukan kutipan sumbangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama badan kemanusiaan berdaftar di negara ini untuk mengaut keuntungan.

“Kami beroperasi selama seminggu bagi mengutip sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur dan telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai ada yang menipu dengan menggunakan nama Mapim,” katanya.

Tambahnya, bagi badan kemanusiaan berdaftar, mereka akan mengisytiharkan jumlah kutipan yang diterima kepada umum.

"Mapim mengisytiharkan jumlah sumbangan yang diterima, kita tidak mahu wujud rasa curiga orang awam terhadap kami," katanya.

Setiausaha Muslim Care Malaysia, Abdul Razak Mohamed berkata, selain menerima sumbangan berbentuk barangan seperti makanan dan pakaian yang akan disalurkan kepada mangsa banjir Pantai Timur, pihaknya turut menerima bantuan berbentuk wang tunai.

“Bagi sumbangan berbentuk wang tunai, ia perlu disalurkan ke akaun kami dan kami tidak melantik sukarelawan untuk mengutip sumbangan di kedai-kedai.

“Selain itu, sumbangan kewangan boleh dilakukan secara terus dengan datang ke pejabat kami. Ini bertujuan mengelak penipuan menggunakan nama agensi kami berlaku,” katanya.

Tambahnya, sumbangan wang yang diberikan orang ramai akan digunakan untuk membeli keperluan makanan kepada mangsa banjir.

“Keperluan makanan bagi mangsa-mangsa begitu kritikal dan kita sedang berusaha menghantar bekalan makanan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan berhubung penipuan membabitkan tabung bencana banjir.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, PDRM bagaimanapun melakukan pemantauan di kawasan tumpuan bagi menghalang kewujudan sindiket penipuan tabung sumbangan bencana.

Pemuda UMNO Kecam Penganjuran Pg2015



Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menganjurkan konsert ‘Pg2015, The 10th Penang Golden New Year’s Eve Countdown Celebration’ dan ‘Trance Movement’ pada malam tahun baru 2015.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, pada saat sesetengah penduduk bertarung dengan bencana alam dan peristiwa terbaru kehilangan pesawat Air Asia QZ8501 yang menyebabkan seluruh dunia bersedih, kerajaan Pulau Pinang seharusnya sensitif dan menghormati mangsa-mangsa banjir dengan tidak menganjurkan konsert dan program yang berbentuk hiburan.
"Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang merasakan adalah tidak wajar sama sekali konsert sambutan tahun baru ini diadakan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya menyelami isi hati rakyat terutamanya mereka yang ditimpa bencana saat ini. Sekalipun tidak mahu membantu, janganlah menunjuk sikap tidak prihatin seolah-olah apa yang berlaku tidak memberi kesan pada naluri kemanusiaan kita yang tidak ditimpa bencana.
"Sekarang adalah waktu bencana, seharusnya program-program seperti ini dibatalkan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rafizal, tidak salah kiranya kerajaan negeri membatalkan konsert ini seterusnya menyalurkan dana konsert ini untuk membeli keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir dan untuk belanja pasca banjir yang semestinya memerlukan suntikan dana yang besar bagi memulihkan kembali keadaan seperti sediakala.
"Jangan hanya pandai bercakap seolah-olah tugas ini hanya perlu digalas oleh kerajaan persekutuan, seharusnya kerajaan negeri juga perlu mengambil inisiatif bersama dalam membantu memulihkan kembali negeri-negeri yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negara.
"Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang kesal dengan sikap kerajaan negeri yang sambil lewa dalam hal ini serta asyik menunding jari kepada pihak lain apabila ditegur," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang juga didesak sekeras-kerasnya untuk membatalkan konsert ‘Pg2015, The 10th Penang Golden New Year’s Eve Countdown Celebration’ dan ‘Trance Movement’ untuk menjaga sensitiviti rakyat sekalipun anda tidak punya rasa sensitif terhadap apa yang berlaku.
"Sedangkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri lain membatalkan semua perayaan dan program berbentuk hiburan di seluruh negara bagi menzahirkan rasa hormat kepada mangsa bencana, mengapa kerajaan Pulau Pinang tidak boleh melakukan perkara yang sama?," soalnya.