PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT
Monday, 9 March 2015
Agong Sokong GST, Mampu Lonjak Ekonomi Negara
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yakin pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April depan, akan membantu memperkukuh kewangan negara.
Seri Paduka bertitah, seluruh rakyat perlu bersama-sama menjayakan inisiatif itu seperti di negara lain yang melaksanakan GST bagi memastikan pelbagai faedah dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
"Kerajaan bersama rakyat perlu melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengelakkan peniaga daripada mengambil kesempatan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga yang boleh membebankan rakyat kelak," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika merasmikan mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen Ke-13 di sini hari ini yang turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bersyukur dengan perkembangan ekonomi negara meskipun berdepan persekitaran global mencabar termasuk kejatuhan harga minyak mentah, komoditi dan turun naik nilai mata wang.
Seri Paduka bertitah strategi dan langkah-langkah yang dijalankan kerajaan adalah jelas bagi memastikan asas ekonomi serta kewangan negara terus kukuh dan berdaya tahan dalam memastikan pembangunan negara dan rakyat terus terjamin.
Yang di-Pertuan Agong bertitah: "Beta mengucapkan tahniah kepada perdana menteri di atas langkah proaktif untuk menangani cabaran ini dengan menjajar semula dasar-dasar ekonomi dan melakukan konsolidasi fiskal.
"Walaupun hasil kerajaan akan berkurangan namun pembangunan ekonomi kekal seimbang, inklusif dan mapan. Perancangan pembangunan untuk kebajikan rakyat tidak dipinggirkan, bahkan akan diteruskan khususnya dalam memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana."
Seri Paduka bertitah persidangan kali ini juga penting kerana kerajaan akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi memastikan kesinambungan pembangunan sosioekonomi negara.
Tuanku Abdul Halim bertitah penggubalan RMK-11 adalah lebih mencabar kerana ia juga perlu memberi perhatian kepada usaha mitigasi dan pemulihan pasca banjir luar biasa baru-baru ini selain menangani cabaran global.
"Beta berharap Yang Berhormat semua dapat membahaskannya secara jujur dan konstruktif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat," titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah meminta semua pihak melakukan usaha lebih bersungguh-sungguh untuk membangunkan Malaysia memandangkan hanya tinggal lima tahun bagi negara ini mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim bertitah penubuhan Majlis Eksport Negara akan memperkukuh rantaian eksport produk, logistik dan pengeluaran bagi melonjakkan eksport negara.
Justeru, Seri Paduka menggesa rakyat memainkan peranan dengan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara bagi menambat hati pelabur memandangkan kerajaan telah menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.
"Selaras dengan strategi pengukuhan ekonomi dan daya saing negara, usaha meningkatkan pelaburan dan mengukuhkan perdagangan perlu dipergiat terutama dengan mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean," titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut mengucapkan tahniah atas pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 dan pelantikan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 yang memperlihatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment