PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 12 March 2015

Pembangkang Pakai Sut Hitam Tanda Protes



 Pakatan pembangkang hari ini mengenakan sut serba hitam sebagai tanda protes terhadap larangan hadir ke Parlimen ke atas Ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Larangan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Penjara ekoran Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Siaful Bukhari Azlan.

Ketua Whip ahli parlimen PKR Datuk Johari Abdul berkata, mereka memang sepakat memakai sut hitam sebagai tanda solidariti kepada Anwar yang tidak dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat oleh Jabatan Penjara.

Pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke 13, Mac tahun lalu, ahli-ahli parlimen pembangkang juga sepakat memakai long sut hitam.

Mereka bertindak demikian juga sebagai tanda solidariti Anwar yang dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana kesalahan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Rayuan, dua hari sebelum persidangan tersebut.

Tindakan itu juga sebagai sokongan kepada Pengerusi DAP Karpal Singh yang bakal berdepan hukuman mahkamah di bawah Akta Hasutan kerana menghina Sultan Perak.

Pada perasmian pagi itu ahli-ahli parlimen pembangkang memakai sut hitam bukannya pakaian rasmi warna putih.

Ahli-ahli parlimen pembangkang turut memboikot majlis jamuan tengah hari di Dewan Banquet Parlimen selepas selesai majlis perasmian  tahun lalu.

Mereka meninggalkan Dewan Rakyat sebaik selesai titah perasmian Yang Di Pertuan Agong.

Wednesday, 11 March 2015

Agong Rasmi Sidang Parlimen ke-13



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di sini pada Isnin.

Istiadat pembukaan itu menyaksikan atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang secara tradisinya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Parlimen.

Ini merupakan kali ketiga istiadat itu diadakan di Dewan Bankuet, dengan kali pertama ialah semasa pembukaan penggal pertama Parlimen ke-13 pada 25 Jun 2013 atas faktor cuaca.

Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian diiring masuk ke Dewan Bankuet untuk menerima sembah 'Hormat Diraja' daripada tiga pegawai dan 24 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Azlan Shah Baharom.

Lagu 'Negaraku' kemudian dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi dan diikuti tembakan meriam 21 das.

Upacara pemeriksaan kawalan kehormat oleh Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun tidak diadakan seperti kebiasaannya berikutan ruangan dewan yang terhad.

Tepat 11 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari mulai hari ini hingga 9 April diikuti sidang Dewan Negara pada 13 hingga 28 April.

Tuesday, 10 March 2015

PAS Calonkan Bekas Pensyarah Di DUN Chempaka



 Pas memilih bekas pensyarah sebuah kolej swasta, Ahmad Fathan Mahmud sebagai calon untuk mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu majlis di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini malam ini.

Ahmad Fathan, 43, yang berkelulusan sarjana muda dari Universiti Al-Azhar dan Sarjana Syariah, Universiti Malaya (UM) adalah Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa. DUN Chempaka berada dalam kawasan tersebut.

Difahamkan beliau juga seorang imam di sebuah masjid di sini.

Sementara itu, Ahmad Fathan mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan tertinggi Pas terutama Majlis Syura Ulama kerana memilihnya.

“Pada saya, pemilihan ini adalah satu amanah yang cukup besar, mungkin lebih ramai lagi yang layak.

“Saya mengharapkan amanah ini dapat saya pikul sebaik mungkin dan berharap pemimpin dapat memperbetulkan saya, mudah-mudahan menjadi legasi kepada Nik Abdul Aziz,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan pe­mimpin-pemimpin Pas negeri.

Ahmad Fathan dikatakan bakal berhadapan dengan saingan tiga calon Bebas iaitu aktivis Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood; Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin dan ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat.

Ketiga-tiga calon Bebas itu membuat pengumuman untuk bertan­ding pada PRK tersebut baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) yang menjadi pesaing utama Pas dalam setiap pilihan raya bagaimanapun tidak meletakkan calon kerana mahu mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat disebabkan tugas utama sekarang adalah untuk membantu rakyat negeri ini yang menderita akibat malapetaka bah kuning baru-baru ini.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar, ­Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK DUN Chem­paka 22 Mac ini manakala penamaan calon 10 Mac.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Nik Abdul Aziz menang di kerusi DUN Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Beliau mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak memperoleh 5,810 undi.

Monday, 9 March 2015

Himpunan #KitaLawan Gagal Dapat Sokongan PAS, DAP?



Perhimpunan #KitaLawan yang bermula jam 3 petang ini dikatakan tidak mendapat sebarang sokongan rasmi dari pihak PAS dan DAP.

Sehingga hari ini, PAS tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada para pemimpin dan ahli parti agar menyertai perhimpunan tersebut.

Malah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam mengeluarkan arahan melarang mana-mana wakil rakyat dari negeri itu menyertai perhimpunan #KitaLawan.

Para peserta yang menyertai protes itu hari ini dijangka berarak dari Pasar Seni, Masjid Jamek dan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, menuju ke Sogo.

Perhimpunan #KitaLawan menuntut agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.

Mereka juga mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Agong Sokong GST, Mampu Lonjak Ekonomi Negara


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yakin pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April depan, akan membantu memperkukuh kewangan negara.
   
Seri Paduka bertitah, seluruh rakyat perlu bersama-sama menjayakan inisiatif itu seperti di negara lain yang melaksanakan GST bagi memastikan pelbagai faedah dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
   
"Kerajaan bersama rakyat perlu melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengelakkan peniaga daripada mengambil kesempatan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga yang boleh membebankan rakyat kelak," titah Seri Paduka.
   
Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika merasmikan mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen Ke-13 di sini hari ini yang turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
   
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
      
Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bersyukur dengan perkembangan ekonomi negara meskipun berdepan persekitaran global mencabar termasuk kejatuhan harga minyak mentah, komoditi dan turun naik nilai mata wang.
   
Seri Paduka bertitah strategi dan langkah-langkah yang dijalankan kerajaan adalah jelas bagi memastikan asas ekonomi serta kewangan negara terus kukuh dan berdaya tahan dalam memastikan pembangunan negara dan rakyat terus terjamin.
   
Yang di-Pertuan Agong bertitah: "Beta mengucapkan tahniah kepada perdana menteri di atas langkah proaktif untuk menangani cabaran ini dengan menjajar semula dasar-dasar ekonomi dan melakukan konsolidasi fiskal.
   
"Walaupun hasil kerajaan akan berkurangan namun pembangunan ekonomi kekal seimbang, inklusif dan mapan. Perancangan pembangunan untuk kebajikan rakyat tidak dipinggirkan, bahkan akan diteruskan khususnya dalam memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana."
   
Seri Paduka bertitah persidangan kali ini juga penting kerana kerajaan akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi memastikan kesinambungan pembangunan sosioekonomi negara.
      
Tuanku Abdul Halim bertitah penggubalan RMK-11 adalah lebih mencabar kerana ia juga perlu memberi perhatian kepada usaha mitigasi dan pemulihan pasca banjir luar biasa baru-baru ini selain menangani cabaran global.
   
"Beta berharap Yang Berhormat semua dapat membahaskannya secara jujur dan konstruktif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat," titah Seri Paduka.
   
Yang di-Pertuan Agong bertitah meminta semua pihak melakukan usaha lebih bersungguh-sungguh untuk membangunkan Malaysia memandangkan hanya tinggal  lima tahun bagi negara ini mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
   
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim bertitah penubuhan Majlis Eksport Negara akan memperkukuh rantaian eksport produk, logistik dan pengeluaran bagi melonjakkan eksport negara.
 
Justeru, Seri Paduka menggesa rakyat memainkan peranan dengan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara bagi menambat hati pelabur memandangkan kerajaan telah menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.
   
"Selaras dengan strategi pengukuhan ekonomi dan daya saing negara, usaha meningkatkan pelaburan dan mengukuhkan perdagangan perlu dipergiat terutama dengan mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean," titah Seri Paduka.
   
Seri Paduka turut mengucapkan tahniah atas pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 dan pelantikan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 yang memperlihatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap negara.

Sunday, 8 March 2015

Patuhi Kedudukan Islam Sebagai Agama Persekutuan



 Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menegaskan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoalkan manakala agama-agama lain bebas diamalkan.

Seri Paduka bertitah, perbezaan pandangan dalam isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa dan tidak wajar dipolemikkan.

“Konsep kebebasan bersuara juga hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Tuanku Abdul Halim turut menyambut baik usaha-usaha berterusan dalam memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya menangani ancaman pengganas di Sabah serta membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat seperti kegiatan militan Negara Islam (IS).

Penyerahan Peralatan Sukan Kepada Ketua Pemuda Cawangan Tebing Rebak Wan Mat Uri





Dr Nik.Menyerahkan Peralatan Sukan Kepada Ketua Pemuda Cawangan Tebing Rebak Wan Mat Uri ,Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar amin.