PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 23 April 2015

JOM SEMUA!!!



Ayuh sahabat semua,

Mari kita luangkan masa bersama Tun Dr Mahathir dan tanda kita berikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir

Wednesday, 22 April 2015

Mahathir Tak Boleh Paksa Orang Ikut Pandangannya



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai pendapatnya tentang sokongan ahli UMNO terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri itu sebagai sekadar pandangan dan analisis beliau sendiri, apabila beliau (Dr Mahathir) mendakwa Najib telah hilang sokongan.

"Itu analisis beliau (Dr Mahathir) sendiri. Saya tidak tahu bagaimana beliau merumuskan penemuan tersebut, namun saya hormati pandangannya... tetapi beliau tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai penemuannya itu," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Alumni ESQ Kementerian Dalam Negeri (KDN), Isnin.

Kata beliau, Dr Mahathir sewaktu menjadi perdana menteri, turut meminta ahli parti supaya memberi kesetiaan tidak berbelah bagi kepadanya.

"Sewaktu beliau berkuasa, beliau juga menuntut kesetiaan tidak berbelah bagi. Oleh itu, kepimpinan sekarang pun menuntut perkara yang sama daripada ahli," kata Ahmad Zahid.

The Malaysian Insider pada Ahad melaporkan, Dr Mahathir telah berkata sokongan yang diberikan kepada Najib adalah tidak benar, sambil membandingkan antara sokongan yang diterimanya pada 2003 dengan sokongan yang diterima Najib kini.

Katanya pada ketika ini, ramai pemimpin UMNO dan orang ramai telah berjumpa dengannya bagi menyatakan sokongan terhadapnya dalam mengkritik Najib yang juga Presiden UMNO itu.

Bagaimanapun, dakwa Dr Mahathir, mereka tidak menyatakannya secara terbuka kerana bimbang akan ditahan.

Tuesday, 21 April 2015

Veteran UMNO Susun Strategi 'Keluargaku Pengundi BN'



Veteran Umno Malaysia mengembleng strategi dengan slogan 'Keluargaku Pengundi BN' bagi membantu kempen calon BN PRK Parlimen Rompin, Pahang dan PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, dengan berpaksikan slogan itu, veteran Umno akan memastikan setiap ahlinya dapat menjamin bahawa isteri/suami, anak atau menantu mengundi calon BN dalam kedua-dua PRK itu.

Katanya, Veteran Umno Malaysia mempunyai lebih 5,500 ahli di Rompin dan lebih 4,000 ahli di Permatang Pauh.    

"Mereka adalah pengundi tegar BN dan veteran akan memastikan setiap anggota akan keluar mengundi calon BN," katanya kepada Bernama hari ini.    

Mustapha berkata, gerak kerja yang disusun oleh organisasi itu bersesuaian dengan peranan veteran yang terdiri daripada anggota dan pengundi yang berumur 60  tahun ke atas.    

Katanya veteran Umno yakin BN akan menang mudah dalam PRK Rompin selain mempunyai harapan merampas kerusi Permatang Pauh jika semua pihak  bekerjasama.

Mustapha yang tidak menolak kemungkinan pembangkang akan menggunakan pelbagai isu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai modal meraih sokongan, yakin BN juga bersedia untuk memperjelaskan isu berbangkit melalui ceramah dan kempen yang akan dijalankan.

"Pembangkang juga tidak mempunyai jalan mudah kerana mereka berdepan dengan masalah dalaman," katanya.     

PRK Rompin akan diadakan pada 5 Mei selepas penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, 10 April lalu.     

PRK Permatang Pauh pula pada 7 Mei ini dan perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang  kelayakan sebagai wakil rakyat.

Mampukah BN Raih Sokongan Cina?


Rekod dua pilihan raya umum lalu tidak menjanjikan sesuatu yang positif kepada Barisan Nasional (BN) dari sudut sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kali ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 misalnya, hanya kira-kira tiga peratus atau sekitar 500 hingga 600 orang daripada 15,000 pengundi Cina di Parlimen itu yang menyokong calon BN.

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana graf sokongan masyarakat Cina terhadap BN sudah menurun sejak 2008 dan semakin buruk pada 2013.

Di Parlimen Permatang Pauh keadaannya lebih ketara kerana calon pembangkang ketika itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang merupakan calon Perdana Menteri.

Jadi wajarlah mereka memberi sokongan penuh kepada Anwar apatah lagi pembangkang pada 2013 begitu yakin mampu melangkah ke Putrajaya.

Situasi ini sedikit sebanyak memberi gambaran tentang corak dan kecenderungan masyarakat Cina dalam menyatakan sokongan ketika pilihan raya.

Jika calon yang dipilih itu mampu memberi kelebihan dan keuntungan kepada mereka sama ada dalam bentuk ekonomi atau pembangunan, masyarakat Cina boleh memberi sokongan tanpa mengira latar belakang parti calon.

Perkara ini dibuktikan menerusi kejayaan BN merampas Parlimen Teluk Intan daripada DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu tahun lalu.

Antara faktor yang membolehkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong mencipta kejutan dalam PRK itu adalah kerana janji kerajaan untuk memberikan beliau jawatan dalam Kabinet.

Janji ini adalah satu peluang besar kepada masyarakat Cina untuk mendapatkan pemimpin yang berada dalam barisan kepimpinan utama negara.

Dengan peluang itu juga, masyarakat Cina meyakini soal pembangunan, kemajuan dan kepesatan ekonomi di kawasan mereka pastinya lebih terbela di bawah kepimpinan wakil rakyat yang berstatus menteri.

Jaminan serupa juga boleh diberikan BN untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam PRK Parlimen Permatang Pauh.

Barangkali agak keterlaluan untuk menjanjikan calon BN jawatan dalam kerajaan sekiranya menang dalam PRK berkenaan.

Tetapi BN mungkin boleh menjanjikan satu pelan atau pakej pembangunan menyeluruh dengan impak ekonomi yang cukup besar di Parlimen ini.

Ketika ini wujud kegusaran dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di seberang negeri ini dengan keghairahan Kerajaan DAP Pulau Pinang membangunkan ekonomi di bahagian pulau.

Banyak projek mega hanya tertumpu di sebelah pulau menyebabkan peluang melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat di seberang agak terhad.

Jika BN dapat mencari formula bagi mengatasi kegelisahan masyarakat industri yang majoritinya pengundi Cina itu di Parlimen Permatang Pauh, tidak mustahil parti itu dapat menarik semula sokongan masyarakat Cina.

Monday, 20 April 2015

PRK Rompin: PAS Letak Calon Muda Lawan Veteran UMNO



PAS yakin kriteria yang ada pada calonnya, Nazri Ahmad adalah formula terbaik untuk memancing undi golongan muda sekali gus memberi tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Nazri adalah anak muda yang amat dikenali dikalangan peneroka Felda di sini selain memiliki latar belakang ilmu dan keluarga yang baik.

"Bagi saya kita kemuka calon terbaik... seorang anak peneroka tempatan yang memiliki latar belakang ilmu yang sangat bagus. Selain terkenal dengan sikap lemah-lembut, dia juga memiliki keluarga yang besar di Rompin.

"Seorang yang amat dikenali kerana dia juga merupakan Ketua Pemuda PAS negeri (Pahang) dan Yang Dipertua PAS kawasan. Kriteria ini sudah mencukupi bagi melayakkan beliau dipilih pengundi, " kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman calon PAS di Pusat Perniagaan Bandar Satelit di Muadzam Shah, malam Isnin.

Ketika ditanya adakah pencalonan Nazri satu formula untuk memenangi hati pengundi dan mengurangkan majoriti undi diraih BN, Tuan Ibrahim berkata pencalonan tersebut membuktikan PAS tidak ketandusan calon muda yang boleh diketengahkan.

"Dengan keterampilan itu pengundi boleh lihat PAS mempunyai barisan pelapis yang boleh ditonjolkan. Calon BN orang lama dah berhenti... tiba-tiba hidup baliklah.

"Namun kita tetap kemukakan calon untuk gambarkan kekuatan anak muda, pengundi muda di Rompin akan beri sokongan kepada beliau (Nazri)," katanya.

Nazri yang berasal dari Felda Keratong 5 di sini, memiliki Ijazah Sarjana Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Bapa kepada enam anak itu pernah menjadi guru Al-Quran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Sementara itu, Nazri memberitahu, beliau berjanji untuk mewakili suara anak muda yang rata-rata kehidupan mereka tidak terjamin lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup pada hari ini.

"Walaupun saya pada mulanya amat berat hati untuk pikul beban ini, tapi ia satu peluang untuk memberi sedikit sumbangan kepada masyarakat yang dizalimi pemimpin.

"Allah beri peluang kepada Rompin yang juga satu isyarat kepada BN supaya jangan ambil mudah dan pandang ringan kepada nasib dan penderitaan rakyat," katanya.

Nazri akan menentang calon BN, Datuk Hasan Ariffin yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin.

PRK Rompin ditetapkan pada 5 Mei manakala hari penamaan calon Rabu ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4  April lalu.

Sunday, 19 April 2015

PKR Batal Semua Program Azmin Di Permatang Pauh



PKR membatalkan semua programnya di Permatang Pauh hari ini yang membabitkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Penyelaras media PKR untuk pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh, Mohd Hafizan Mazuki dalam kenyataan pada Isnin berkata pembatalan program itu termasuk kenduri rakyat dan pelancaran pusat operasi PRK di Guar Perahu atas beberapa sebab.

Walaupun tidak menyatakan sebab pembatalan, sumber parti menyebut ia ada kaitan dengan mesyuarat tergempar di Selangor yang membabitkan para pemimpin PKR dan PAS bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti menjelang PRK Permatang Pauh.

Menurut laporan semalam, Ketua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua supaya PKR supaya menarik balik kenyataannya yang menolak rang undang-undang berkaitan hudud jika mahu mendapat sokongan PAS untuk PRK Permatang Pauh.

Omar berkata PAS Permatang Pauh memberi tempoh kepada PKR sehingga hari penamaan calon pada 25 April dan mendesak PKR memohon maaf secara terbuka.

Sementara itu Timbalan Ketua AMK Khairil Anuar Kamarrudin ketika dihubungi berkata beliau telah menerima arahan daripada pemimpin pusat PKR supaya tidak mengeluar kenyataan pada masa sekarang.

"Sejak minggu lepas kami menerima arahan daripada para pemimpin pusat parti supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana terlalu banyak manipulasi terhadap situasi antara parti dan PAS," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen selepas petisyen pengampunan diraja terhadap hukuman penjara atas kesalahan meliwat yang difailkan oleh keluarganya ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hari mengundi PRK Permatang Pauh ditetapkan pada 7 Mei.

Saturday, 18 April 2015

Pertabalan Sultan Nazrin Tonjol Keunikan Istiadat Kesultanan Melayu Perak


Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV pada 6 Mei, bakal menonjolkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak tahun 1528, selepas Sultan Mudzaffar Shah I dijemput memerintah Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata meskipun pelbagai aktiviti disusun, pihaknya memberi tumpuan kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.

Jawatankuasa yang mengendalikannya turut berpandukan kepada adat istiadat yang berlangsung 30 tahun lepas iaitu semasa pertabalan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.

"Perkara mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das (tembakan) meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda bermulanya kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya dalam temu ramah baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Nayan dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim. Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak disusuli dengan pemasyhuran gelaran DYMM Raja Permaisuri Perak.

Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara sebanyak tiga kali.

Sedikit kelainan dalam istiadat perarakan membawa al-Quran semasa 'Tabal Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih dahulu, sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda.

"Sebelum ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis hendaklah diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu akan dibaca.

"Sultan Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak," katanya.

Selesai perarakan itu, akan dituruti oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja  dengan membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin.

"Di Perak, kami tidak mempunyai mahkota dan kami menggunakan pedang ini sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat Tuanku'.

"Pada masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21 das," katanya.

Sultan Nazrin juga akan memeriksa kawalan kehormatan pada sebelah pagi di Dataran Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan diiringi paluan nobat dan 21 das tembakan meriam.

Acara utama ketiga akan berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan, untuk 'Adat Bersiram Tabal'.

Mohd Zahidi berkata, acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada sebelah malam.

"Yang kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada adat yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan terdahulu," katanya.

Istiadat menziarah makam ini akan bermula pada 8 Mei yang menyaksikan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar.

"Oleh kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu, jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa pergerakan Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan," katanya.

Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

Akhir sekali pada 14 Mei, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak kaki di 'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak sementara istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.

Wanita mengandung atau yang uzur (datang haid) dinasihatkan agar tidak hadir pada istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada tengah malam.

Kaum wanita juga tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras Basah ini, menurut Ayop.

"Acara ini hanya dilakukan oleh kaum lelaki. Ini bukan bermaksud ada diskriminasi terhadap golongan wanita, tetapi merupakan adat turun-temurun," katanya.

Terdahulu, Mohd Zahidi berkata, satu jawatankuasa induk pertabalan telah diwujudkan susulan mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang pada 20 Jun 2014 dan dipengerusikan Sultan Nazrin sendiri.

"Tuanku telah menitahkan saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk dan (Datuk Seri) Abdul Puhat sebagai pengerusi bersama manakala (Datuk) Ayop menyandang jawatan setiausaha.

"Dalam mesyuarat jawatankuasa induk, kami telah mengadakan enam mesyuarat untuk membincangkan komposisi jawatankuasa dan pelaksanaan tugas secara terperinci.

"Jawatankuasa kecil turut mengadakan mesyuarat bagi menentukan kehalusan dan ketelitian tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk menyelaraskan acara sempena pertabalan Tuanku," kata Mohd Zahidi.