PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday, 4 April 2015

Jangan Pertikai Hudud – Mufti Perak



Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh mempertikaikan hukum hudud kerana ia merupakan hukum Allah yang wajib untuk dilaksanakan.
Menurut beliau, umat Islam hanya boleh mempertikaikan dengan cara untuk memperbaiki pelaksanaannya dan bukan dengan cara mengutuk.
“Cuma saya tak tahu apa yang sedang dipertikaikan, apakah caranya atau apakah ianya tidak sempurna, itu saya tidak tahu tetapi kalau dia sebut hukum hudud, sesiapa yang menentang akan menerima bencana dari Allah.
“Umat Islam boleh mempertikaikan cara untuk memperbaiki dan bukan cara untuk mengutuk kerana manusia ini tidak ada yang sempurna,” katanya pada satu sidang media di Ipoh pada Sabtu.
Harussani mengingatkan bahawa semua umat Islam perlu menerima hukum hudud kerana ia merupakan hukum Allah dan wajib untuk dilaksanakan. Justeru itu, beliau menyeru umat Islam di negara ini untuk tidak berpecah belah dan bersatu menerima hukum tersebut.
“Orang Islam tidak boleh berpecah dan mesti menerima hukum hudud. Tidak ada seorang Islam pun yang boleh menolak atau mempertikaikan hukum hudud, kalau dia pertikaikan maksudnya dia pertikaikan hukum Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pertikaian dan kritikan pihak-pihak tertentu terhadap hukum hudud.

Pemuda UMNO Cadang Anugerah Nizar, Ngeh Ditarik Balik



Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mencadangkan supaya anugerah yang membawa gelaran Dato' Seri dan Dato' kepada Ir Mohd Nizar Jamaluddin dan Ngeh Koo Ham ditarik balik.
Ketuanya, Hairul Anwar Mohd Noor berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan menghantar memorandum kepada pihak istana secepat mungkin, ekoran tindakan wakil rakyat pembangkang semalam yang mereka sifatkan sebagai biadap dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, selain cadangan itu, memorandum yang bakal dihantar juga akan menyatakan Pemuda UMNO menjunjung kasih terhadap Sultan dan bersedia mempertahankan institusi itu sehingga ke titisan darah terakhir.
Beliau berkata, Pemuda UMNO juga mahu kerajaan negeri Perak mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana sikap kurang ajar dan tidak bertamaddun yang ditunjukkan oleh mereka ketika Sultan Perak merasmikan sidang DUN pada Selasa.
"Sikap yang ditunjukkan oleh ADUN-ADUN pembangkang Perak menunjukkan mereka tiada rasa hormat serta tidak memberi pengiktirafan terhadap institusi Raja-Raja Melayu seperti yang dinyatakan di bawah Perlembagaan negara," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Sebelum itu, beliau bersama-sama beberapa pemimpin pertubuhan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Speaker DUN yang diterima oleh Timbalan Speaker, Datuk Nasarudin Hashim.
Hairul berkata, memorandum itu antara lain meminta Speaker DUN Perak mengambil tindakan terhadap kesemua ADUN yang terlibat, termasuk mengusulkan supaya mereka dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.
Menurutnya, telah menjadi amalan, setiap kali menghadiri aturcara yang melibatkan keberangkatan Sultan, terdapat kod etika pakaian yang wajib dipatuhi.
"Kami difahamkan, kad jemputan untuk perasmian Dewan Negeri jelas menerangkan kod etika pakaian iaitu Pakaian Nombor Satu (Hari Kalong).
'Bermakna, semua ADUN dan jemputan hendaklah memakai pakaian istiadat dan mereka sengaja membuat provokasi kerana selama ini, mereka terlepas daripada apa-apa hukuman walaupun mereka melanggar undang-undang serta peraturan," ujarnya.
Beliau memberi contoh, tindakan ganas pembangkang ketika perasmian Sidang DUN pada 9 Mei 2009 sehingga pemangku raja ketika itu terpaksa menangguhkan keberangkatan baginda ke dalam Dewan, tetapi tiada satu hukuman pun dikenakan kepada mereka.
"Ini adalah punca mereka bertindak mengikut hawa nafsu serakah tanpa menghormati mana-mana institusi. Oleh itu, sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Perak mahu Speaker dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka ini," tegasnya.
Hairul melahirkan rasa hairan mengapa pembangkang menyatakan protes pada hari perasmian Sidang DUN dengan keberangkatan Sultan Perak yang pertama kali merasmikan persidangan itu.
"Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati Sultan dan yang lebih memeranjatkan apabila dua wakil rakyat Melayu dari PAS yang turut serta tidak menghormati Sultan," kata beliau.

Friday, 3 April 2015

Polemik Hudud : Syariah Islam Dihina, Dikeji



BLOG RIDHUAN TEE ABDULLAH -  Ahli parlimen Kuala Terengganu membuat laporan polis berhubung artikel saya minggu lalu. Sila polis lakukan siasatan. Saya berkata benar, dan akan terus berkata benar, dalam ruang lingkup kebebasan akademik.  Mempertahankan hak kepada yang berhak.

Peliknya, kenapa tidak ada laporan polis dibuat apabila ultra kiasu membuat serangan terhadap batang tubuh presiden PAS berkaitan hudud? Kenapa penulisan akademik yang disertakan dengan bukti dilaporkan kepada polis? Adakah kita terlalu kemarukkan undi ultra kiasu untuk menang pilihan raya? Berpolitik biar ada maruah.

Berita Kemahkotaan Sultan Johor, sama pada hari kematian Lee Kuan Yew. Akhbar ultra kiasu sibuk dengan berita kematian. Akhbar Melayu fokus kepada Kemahkotaan. Masih percaya ultra kiasu?

Kepada pemimpin yang mengaku dirinya Islam, apa sumbangan kita terhadap Islam, terutama ketika Islam dan hukumnya dihina dan dikeji? Sebenarnya kita mahukan Islam atau tidak? Atau apakah mungkin ada yang beranggapan Islam itu menyusahkan. Hati-hati.

Macam-macam alasan diberikan bagi menunjukkan kita tidak menolak hudud. Hudud Pas lah, bukan hudud sebenar lah dan berbagai lagi hudud lagi. Jadi, di mana hudud sebenar? Jika tidak ada yang mulakan, macam nak tahu hudud sebenar? Atau mungkin sampai kiamat baru nak buat hudud?

Lihat saja evolusi Perlembagaan Persekutuan. Adakah ia muncul tiba-tiba? Mesti ada yang memulakan. Perlembagaan Malayan Union 1946, diperkenalkan British, ditentang Melayu dan akhirnya dimansuhkan. Kemudian, lahir Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Kemuncaknya, adalah Perlembagaan 1957, hasil muafakat bersama. Apabila Sabah Sarawak membentuk Malaysia, Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963 diguna pakai ke hari ini. Pendek kata, tidak akan ada yang sebenar, tanpa ada yang memulakan.

Hari ini Pas sudah mulakan. Hudud Pas itu, hududlah. Kalangan yang menggubalnya adalah pakar. Peliknya kenapa ada pemimpin Pas sendiri pun tidak yakin? Apakah mereka takut akan dikenakan hudud? Jika ada pun kelemahan dan kekurangan, perbaiki dan buatlah penambahbaikan selepas itu. Bagaimana nak jadi sempurna (sebenar) kalau tidak ada yang mulakan?

Sekurang-kurangnya dengan adanya inisiatif ini, hudud telah menjadi perbualan ramai. Yang tahu bertambah tahu dan tidak tahu menjadi tahu,. Semua ini ada hikmahnya. Cuma, yang dibimbangi adalah yang tahu, buat-buat tidak tahu.

Jangan salahkan atau mangsakan Pas untuk tolak hudud. Saya tidak kata hudud Pas itu sudah lengkap. Banyak ruang lagi untuk diperbahaskan. Beri peluang. Lagipun di Kelantan sahaja. Ditakdirkan jika gagal sekali, yang terkesan hanya Kelantan, negeri-negeri lain masih selamat. Kenapa terlalu bersangka buruk. Bayangkan selepas ini Pas memang berjaya melaksanakan hudud, dan nampak kebaikannya, adakah negeri lain akan turut serta? Tidak juga. Sebenarnya pintu hati kita sudah tertutup.

Sebab itu, saya sangat teruja apabila MB Terengganu mengucapkan tahniah dan menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan. Beliau mengharapkan Pas akan turut mendapatkan sokongan di peringkat parlimen kelak. Inilah negarawan sebenar.

Terengganu katanya, sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan  hudud, jika rakyatnya faham dan bersedia. Buat masa ini, kerajaan negeri mahu memberi fokus tarbiah (Islamisasi) yakni dengan mendidik masyarakat terlebih dahulu.

Kata-kata ini sepatutnya keluar daripada setiap pemimpin Umno. Bukan menolak dan ada yang berkata membuang masa. Apakah mereka yang berkata ini takut akan dihududkan, bila dilaksanakan nanti?

Saya bukanlah pengikut Pas, tetapi saya menyokong usaha baik yang dilakukan, apatah lagi mendaulatkan hukum Allah. Saya akur, ada negara Islam melaksanakan hudud telah gagal. Itu silap manusia. Jangan salahkan Tuhan. Ajaran Tuhan itu sempurna.

Jika tidak yakin dengan hudud Pas, kemukakan hudud yang sebenar. Jika tidak mampu, lebih baik diam. Jangan buat perkara pelik-pelik yang tidak menguntungkan Islam, seperti pekerja radio BFM.

Bila sudah jadi sensasi dan kontroversi, sibuk nak cover line, dengan mengatakan ini hudud Pas, bukan hudud sebenar. Malangnya, si bapa turut memihak kepada anak. Bincangkan apa yang benar, apa yang salah. Bukan memihak membuta-tuli.

Jika ditakdirkan hudud yang bakal dibentangkan gagal mendapat sokongan di parlimen, sekurang-kurangnya Pas telah melakukan sesuatu. Itu lebih baik daripada mereka yang tidak yakin dan kuat menentang.

Apakah kita tidak berasa malu dengan kata-kata Elaine Xian Xian (Cina Kristian) dalam akaun facebooknya seperti tertera di bawah?

Hudud, Qisas, Ta'zir. Understand it before make any statement about Islam law cruel. Hudud tdk kejam. Yang kejam hanya manusia. Jika you nampak 1 negara itu lakukan hudud kejam, itu dari pemimpin tdk adil & tdk amanah. And remember that, that is not hudud. Itu cuma hukuman manusia yang mengaku hudud. Please understand it & jangan tertipu. Especially for my non Muslim friends. I tegaskan, hudud tdk kejam. That's why we must understand what is hudud? What is Qisas? What is Ta'zir? For Muslim, hudud itu penting & pelaksana hudud pun penting. I'm people who's support hudud. Kerana i nampak undang2 ini adil dengan kajian i. And congratulation again to Kelantan. May God ease everything. Everything will become smoothly with full of bless.

* Ini adalah pendapat peribadi penceramah agama, Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Rakyat News.

Thursday, 2 April 2015

Sah Anwar Hilang Kelayakan Ahli Parlimen



 Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat, kata Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh hari ini.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong sudah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.

Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas). Anwar adalah anggota Parlimen Permatang Pauh.

Amarjeet Singh berkata berikutan keputusan lembaga pengampunan itu, mahkamah telah menolak permohonan Ketua Pembangkang itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri Amarjeet Singh dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar.

Tun M Kongsi Kisah Bersama Kuan Yew



"Saya tidak boleh kata saya adalah kawan rapat (Lee) Kuan Yew, tapi saya tetap sedih dengan pemergiannya," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perdana menteri pertama Singapura itu yang meninggal dunia pada Isnin.

Melalui coretan bertajuk 'Kuan Yew and I' dalam blognya, Dr Mahathir menceritakan episod yang menyaksikan langkah mereka tidak sehala.

"Apabila saya menjadi PM (perdana menteri) pada 1981, saya melakukan kunjungan hormat terhadap Kuan Yew. Ia merupakan kunjungan persahabatan dan pada perjumpaan itu, beliau bersetuju dengan cadangan saya agar waktu Malaysia dan Singapura yang sama sejak sekian lama, perlu dipercepatkan setengah jam," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau menjelaskan bahawa adalah lebih mudah melaraskan waktu apabila melakukan perjalanan kerana kedua-dua negara akan terletak dalam zon waktu yang ditetapkan bagi seluruh dunia pada jarak satu jam.

"Tetapi, mungkin juga, dalam kebanyakan isu lain, kami tidak sependapat," kata Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Kuan Yew meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Besar Singapura setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami radang paru-paru teruk.

Hubungan Kuan Yew dan Dr Mahathir menjadi hubungan peribadi apabila Dr Mahathir diserang sakit jantung pada 1989 dan memerlukan pembedahan terbuka.

"Beliau (Kuan Yew) begitu prihatin dan menghubungi isteri saya (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) melalui telefon untuk memintanya menangguhkan pembedahan itu kerana beliau telah mendapatkan pakar bedah terbaik, seorang rakyat Singapura yang tinggal di Australia, untuk melakukan pembedahan itu. Tetapi, pada masa itu, saya telah diberi 'pre-med' dan terlena sebelum menjalani pembedahan pada hari berikutnya.

"Isteri saya mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada beliau. Dia berjanji akan menghubungi beliau melalui telefon selepas pembedahan. Beliau berbuat demikian pada petang berikutnya.

"Apabila beliau sakit, saya meminta untuk melawatnya. Beliau bersetuju, tetapi pada malam saya sepatutnya melawat beliau, Pesuruhjaya Tinggi Singapura menerima mesej bahawa beliau amat tidak sihat dan tidak dapat berjumpa saya," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir menceritakan satu lagi kisah ketika mereka berdua bertemu iaitu di Jepun.

"Ketika beliau menghadiri persidangan tahunan Nihon Keizai Shimbun mengenai Masa Depan Asia di Tokyo, yang saya tidak pernah ketinggalan untuk menghadirinya, saya pergi menemuinya ketika makan malam untuk bertanya khabar," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, mereka duduk sambil berbual dan para jurufoto Jepun mengambil gambar mereka, dengan janji tidak akan menyiarkannya dalam akhbar.

"Saya tidak kisah pun jika mereka menyiarkannya. Tetapi, saya rasa orang akan reka bermacam-macam cerita mengenainya," kata beliau.

Dr Mahathir begitu sentimental apabila beliau berkata: "Tidak kiralah betapa mesra atau tidak mesranya antara kami, pemergian seseorang yang anda kenal rapat tentu menyedihkan anda."

Negarawan ini berkata pemergian Kuan Yew menandakan berakhirya tempoh apabila mereka yang memperjuangkan kemerdekaan, kemudian menerajui negara mereka dan tahu tentang nilai kemerdekaan.

Beliau berpendapat, Asean kehilangan kepimpinan utuh berikutan pemergian President Suharto dan Kuan Yew.

Dr Mahathir berkata Kuan Yew terkenal sejak muda lagi dan beliau seorang pelajar di Singapura ketika membaca tentang kisah Kuan Yew mempertahankan kesatuan buruh.

Menurut Dr Mahathir, kali pertama beliau berjumpa dengan Kuan Yew ialah ketika beliau menjadi Anggota Parlimen pada 1964 selepas Singapura menyertai Malaysia pada 1963 dan mereka sering bertikam lidah ketika perbahasan.

"Tetapi, tidak pernah bermusuh, hanya berbeza pendapat tentang apa yang baik untuk sebuah negara yang baru lahir. Beliau menyenaraikan saya sebagai antara Melayu ultra yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan kaum di Singapura.

"Sebenarnya, saya tidak pernah pergi ke Singapura untuk mencetuskan kekacauan. Orang lain, tapi saya tidak mahu sebut namanya," jelas Dr Mahathir.

Beliau berkata, perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menghadiri mesyuarat pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan agak mesra dengan Kuan Yew.  

"Beliau percaya Kuan Yew merupakan benteng untuk menentang Komunisme. Tetapi apabila PAP bertanding dalam pilihan raya Malaysia pada 1964 dengan menggunakan 'Malaysian Malaysia' sebagai slogannya, Tunku berpendapat kehadiran PAP di Malaysia akan mengganggu negara ini," kata Dr Mahathir.

Wednesday, 1 April 2015

Pembangkang Perak 'Biadap' Dikecam



Lebih 300 pemimpin dan ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini sebentar tadi bagi membantah tindakan 'biadap' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang terhadap Sultan Perak.

Wakil pembangkang semalam bertindak biadap dan tidak menghormati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila tidak memakai pakaian istiadat, sebaliknya memakai sut atau baju Melayu serba hitam.

Mereka berkumpul di laluan pintu utama masuk ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sambil melaungkan Daulat Tuanku! Hancur Pembangkang.

Kumpulan berkenaan turut memegang kertas bertulis Pembangkang Jangan Biadap, Kami Membela Tuanku, Jangan Pijak Institusi Raja dan DAP, PKR PAS Jangan Biadap.

GST : 3 Pengeluar Kereta Turun Harga



 Tiga pengeluar kenderaan termasuk PROTON Holdings Bhd mengumumkan pengurangan harga antara RM500 hingga RM4,000 bagi model kereta masing-masing sejurus pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa hari ini.

Memetik laporan BH Online, PROTON Holdings Bhd memutuskan untuk mengurangkan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus seunit bagi semua modelnya terdiri daripada Saga, Persona, Inspira, Staria Neo, Exora, Prevé, Suprima S dan Iriz.

Manakala Honda Malaysia Sdn Bhd Honda Malaysia pula mengurangkan antara RM500 hingga RM2,500 kenderaan Honda yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini iaitu Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan model terbaru HR-V.

Sementara itu, UMW Toyota Motors Sdn Bhd mengumumkan pengurangan sehingga RM4,000 atau dua peratus bagi model kereta Toyota dan Lexus.

Mengulas pengurangan harga itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata pengguna bukan saja mahukan kereta yang bernilai bagi wang dibelanjakan malah kereta yang dilengkapi dengan kualiti serta ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan.

Sebagai contoh, katanya pengguna kini boleh membeli Proton Saga dari harga serendah RM33,242.40 atau Prevé 1.6L Turbo pada harga RM61,023.46.

"Semua harga ini sudah mengambil kira enam peratus GST dan juga harga di atas jalan. Sebagai satu-satunya pengeluar kereta sepenuhnya di rantau ini, PROTON sentiasa memberikan dedikasi tertinggi dalam memenuhi peranannya kepada negara, khususnya dalam menggambarkan matlamat GST," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Abdul Harith berkata, satu fakta yang tidak patut dilupakan adalah walaupun adanya pengurangan harga sedemikian, PROTON telah meningkatkan nilai barisan produknya menerusi pelbagai ciri-ciri keselamatan.

"Ini terus menunjukkan komitmen PROTON untuk terus menambah baik produk serta perkhidmatan di semua peringkat di samping menawarkan kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan bernilai bagi kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno pula berkata, harga alat ganti kereta keluarannya juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak 3.7 peratus untuk semua model namun GST akan ditambah ke dalam kos buruh.

"Memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak dua hingga empat peratus bergantung kepada model.

"Pengurangan harga model CKD ini berdasarkan kepada ciri-ciri dan aksesori yang menyebabkan harga untuk setiap model dan varian adalah berbeza. Secara keseluruhannya, penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada pelanggan Honda yang menyebabkan penurunan harga model CKD keluaran syarikat," katanya.

Mengenai implikasi pelaksanaan GST sebanyak 6 peratus yang menggantikan 10 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Ueno berkata, dalam industri automotif, perbezaan harga kereta tidak semudah seperti 10 peratus tolak enam peratus kerana ia membabitkan banyak faktor.

Katanya, SST berasaskan kepada nilai pengedaran sesebuah kenderaan dan ia kemudian dikenakan cukai sebanyak 10 peratus tidak termasuk margin pengedar, kos pengangkutan, yuran pengendalian, aksesori serta kos-kos pengedaran lain manakala pengenaan cukai GST pula berdasarkan kepada harga jualan akhir kereta di atas jalan.

Presiden UMW Toyota Motors, Datuk Ismet Suki berkata, syarikat akan memindahkan keseluruhan penjimatan kos kepada pelanggan yang membeli mana-mana model Toyota dan Lexus semasa pelaksanaan struktur cukai baharu itu.

"Kami akan telus dalam transaksi perniagaan dan akan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2014," katanya.