PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 19 March 2015

PM : Ada Sebab Kerajaan Tidak Isytihar Darurat Banjir



Kerajaan tidak mengisytiharkan darurat ketika banjir besar melibatkan beberapa negeri tahun lepas kerana tidak mahu dipertanggungjawab sepenuhnya terhadap implikasi bencana itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sesi perbahasan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini berkata, kerajaan Pusat dan negeri harus bertanggungjawab membaiki, membaik pulih serta meningkatkan lagi infrastruktur di negeri yang terlibat dengan banjir besar tersebut.

Tambahnya lagi, pengisytiharan darurat hanya akan memberi implikasi kepada syarikat tuntutan insurans.

"Kerajaan tidak mahu isytihar darurat baru-baru ini kerana kerajaan mahu ini (pasca banjir) sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

"Kerajaan tidak mahu diletakkan dalam situasi bahawa ini tanggungjawab penuh kerajaan Pusat semata-mata" katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Bercakap mengenai usaha kerajaan Pusat dalam pasca banjir, Najib berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 500 juta untuk membaik pulih negeri terlibat banjir dan menghadapi banjir pada masa akan datang.

"Ini termasuk caruman tambahan seperti baik pulih pusat pemindahan mangsa banjir. Jika pusat pemindahan tersebut sebuah sekolah, kita akan bina asrama dan bilik air tambahan untuk keselesaan mangsa banjir.

"Kita juga akan buat perancangan pemindahan pencawang elektrik ke kawasan yang lebih tinggi demi keselamatan dan kemudahan orang ramai, serta tempat pendaratan helikopter," katanya lagi.

Wednesday, 18 March 2015

UMNO Takkan Berjaya Jika Ahli Berpecah-Belah - Najib



UMNO tidak akan berjaya pada pilihan raya umum akan datang sekiranya ahli parti itu bersengketa dan berpecah-belah, kata Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Perdana Menteri, berkata untuk itu, ahli UMNO seharusnya mengamalkan solidariti, kesepakatan dan bekerja sama sesama mereka.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya mengurangkan permasalahan dalaman dan cantas-mencantas antara satu sama lain selain mengelakkan daripada mewujudkan dua pasukan dalam bahagian parti itu.

"Sentiasa pastikan kita tidak lupa tugas utama kita, iaitu pastikan UMNO terus berkuasa memimpin dan memperjuangkan hak rakyat yang sentiasa dekat di hati," katanya dalam tulisan menerusi blognya, NajibRazak.com, hari ini.

Najib turut melahirkan rasa syukur dengan semangat baharu dalam kalangan anggota UMNO Kedah yang hadir pada Konvensyen UMNO Kedah 2015 bertemakan 'UMNO Tonggak Transformasi' semalam.

"Alhamdulillah saya lihat sebuah semangat baharu dalam kalangan ahli UMNO Kedah yang hadir, dan mudah-mudahan pada konvensyen akan datang kita akan lihat semangat ini kekal subur dan dijadikan suatu punca inspirasi untuk kita terus berjuang," katanya.

Najib berkata, ahli UMNO negeri itu perlu menjadikan faktor kejayaan merampas Kedah daripada pembangkang sebagai iktibar dalam perjuangan.

"Tahniah kepada jentera UMNO Kedah kerana Alhamdulillah kita bertemu di Konvensyen UMNO Kedah pagi semalam dalam keadaan kita sebagai parti pemerintah negeri Kedah.

"Kita perlu mengambil kegagalan Kerajaan Kedah sebelum ini dan apa yang menjadi faktor kejayaan kita memenangi Kedah sebagai iktibar untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Najib berkata, antara faktor penyumbang kemenangan itu adalah permuafakatan dan semangat sepasukan.

Tuesday, 17 March 2015

Kes Saman PM Terhadap Malaysiakini Didengar 6 Mei ini




Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh untuk membuang beberapa perenggan daripada kenyataan tuntutan balas dan bela diri Malaysiakini serta dua yang lain berhubung satu saman fitnah.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan, mewakili Najib dan Ab Rauf, memberitahu pemberita Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norfauzani Mohd Nordin menetapkan tarikh itu apabila perkara berkenaan dibawa kepada beliau untuk pengurusan kes.
  
Nor Hazira berkata, permohonan yang difailkan pada 28 Januari itu, antara lain, dibuat dengan alasan tuntutan balas dan bela diri itu bersifat remeh, menyusahkan dan menyalahguna proses mahkamah.
  
Najib dan Ab Rauf memohon membuang lebih 50 perenggan daripada kenyataan tuntutan balas dan bela diri itu.
  
Perdana menteri memfailkan saman itu pada 30 Mei tahun lepas atas kedudukan peribadi beliau, manakala Ab Rauf, bagi pihak Umno, terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, ketua pengarang Malaysiakini.com Steven Gan dan ketua ketua editor Fathi Aris Omar.
  
Mereka mendakwa defendan telah melaporkan, menerbitkan dan membenarkan tersiarnya pada 14 Mei dua artikel berkenaan dalam ruangan 'Yoursay' www.malaysiakini.com.
  
Najib dan Ab Rauf berkata, defendan secara sengaja membenarkan penyiaran artikel itu, walaupun mengetahui ia mengandungi tuduhan tidak berasas dan tidak benar.

Mereka mendakwa perkataan berbaur fitnah, yang terkandung dalam artikel itu, mencemar nama baik Najib sebagai ahli politik, presiden Umno dan perdana menteri.

Kedua-dua plaintif berkata komen yang disiarkan membayangkan secara sarkastik bahawa Umno tidak mempunyai kecekapan sebagai sebuah badan politik dan tulang belakang Barisan Nasional (BN).
  
Mereka mendakwa, akibat tersiarnya artikel itu, nama baik mereka tercemar teruk apabila Umno dikutuk, terutama dalam media sosial dan media massa.
  
Mereka menuntut ganti rugi teruk, melampau, am dan khas, faedah serta satu perintah bagi menghalang defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan artikel berkenaan.

Plaintif juga memohon agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis melalui akhbar, dan kos.

Monday, 16 March 2015

Nurul Izzah Ditahan Reman di bawah Akta Hasutan



Naib Presiden PKR,  Nurul Izzah Anwar telah ditahan reman di bawah Akta Hasutan berhubung ucapan ‘Ketua Pembangkang’ yang dibuat pada Selasa lalu.

Perkara itu disahkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sebentar tadi.

“Dia telah ditahan dan akan dibawa ke Balai Polis Jalan Travers,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nurul Izzah hari ini hadir bersama aktivis, Safwan Anang ke IPD tersebut untuk memberi keterangan berkenaan penglibatannya dalam himpunan #KitaLawan baru-baru in.

Sebelum itu, beliau memaklumkan, telah diberikan notis oleh pihak polis berkaitan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan juga Akta Hasutan 1948.

“Yang mengejutkan adalah kehadiran ASP Muniandy berserta dua kereta pihak polis pada Jumaat lepas di kediamaan ayahanda di Bukit Segambut.

“Siasatan untuk kes hasutan juga untuk hari hari ini,” katanya.

Nurul Izzah dalam sesi bahas di Parlimen yang yang memetik ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dikatakan mempertikai sistem kehakiman negara.

Setakat ini, enam orang telah ditahan berhubung kes berkenaan iaitu aktivis Adam Adli, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya Saifullah Zulkifli, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Sunday, 15 March 2015

Pertandingan Joran Bagan Datoh Harap Jadi Daya Penarik:- Dr Nik Mohammad Azli Nik Ariffin



Menerusi penganjuran Pertandingan Memancing DR Joran 2015, ia diharap dapat menjadi salah satu daya penarik untuk orang ramai dari luar Bagan Datoh untuk menyertainya.
Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda UMNO Bagan Datoh, Dr Nik Mohammad Azli Nik Ariffin berkata penganjuran program berkenaan juga adalah selaras dengan hasrat untuk memperkenalkan pantai di Bagan Datoh sebagai salah satu tempat pilihan untuk kaki pancing.
“Insyallah satu hari nanti akan diminati oleh warga luar dari Bagan Datoh untuk datang ke sini memancing,” demikian yang diharapkan.
Dr Nik Mohammad Azli yang turun bersama-sama memeriahkan pertandingan berkenaan yang berlangsung semalam, memberitahu bahawa dari segi jumlah penyertaan yang diterima adalah amat positif dan menggalakkan.
“Alhamdulillah sasaran hari ini mencapai target iaitu 600 orang. Seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi (ahli parlimen Bagan Datoh), ingin melaksanakan program ini pada tahun hadapan. Insyallah,” ulas beliau mengenai program tersebut kepada media.
Sementara itu, menjawab perkembangan lain, Dr Nik Mohammad Azli menyatakan pandangan beliau mengenai penganjuran Majlis Konvensyen UMNO Perak yang diadakan baru-baru ini.
Katanya inisiatif itu bukan sahaja dapat mengumpulkan semua pemimpin UMNO daripada pelbagai sayap tetapi ianya perlu untuk memastikan maklumat didengari sehingga ke peringkat akar umbi.
“Ini antara satu konvensyen UMNO negeri yang amat baik untuk Pemuda terutamanya; ia supaya maklumat sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.


Saturday, 14 March 2015

Pertandingan Memancing DR.Joran 2015









Alhamdulillah syukur kepada allah swt kerana memberikan kelancaran program pertandingan memancing di persisiran pantai kampung pasang api sebentar tadi amin.Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Program ini.

Friday, 13 March 2015

Hak Untuk Tidak Berdemo



BLOG BANGKIT! - Nampaknya setelah sekian lama aman dan tenang, Kuala Lumpur akan bergolak lagi dengan laungan suara ‘keadilan’ dan dentuman kaki-kaki yang akan bergerak ke sebuah pasaraya yang menjadi tumpuan warga Kuala Lumpur, terutamanya orang Melayu, untuk bersenggang sambil membeli-belah setelah penat lelah bekerja sepanjang minggu.

Pasaraya yang sering menjadi tumpuan warga marhaen untuk berehat-rehat itu sambil menikmati muzik jalanan daripada ‘buskers’ tempatan akan diserbu mereka-mereka yang dikhabarkan bakal mendapat elaun harian sebanyak RM150 seorang untuk ‘menghuru-harakan’ hujung minggu warga Kuala Lumpur yang lain.

Kumpulan yang akan memakai baju serba hitam itu katanya mahu menzahirkan rasa ketidak-puasaan hati mereka apabila pemimpin ‘Anugerah Tuhan’ mereka dipenjarakan atas kesalahan meliwat seorang anak muda, ‘si pembacuh kopi’ yang sering dibawa majikannya ke luar negara dengan elaun lumayan seorang eksekutif kanan.

Golongan semi anarkis ini sememangnya tidak menghiraukan kesusahan yang bakal mereka hadiahkan kepada warga Kuala Lumpur yang lain, yang mahu berehat bersama keluarga setelah penat bekerja atau mereka-mereka yang mahu bekerja di pasar raya tersebut yang sememangnya tidak mahu terlibat langsung dengan siri demonstrasi #Kitalawan yang mereka perjuangkan.

Pernahkah mereka ini yang didukung sebuah parti politik pseudo sosialis (tidak ada apa yang sosialis tentang pemimpin-pemimpin atasan parti ini, kecuali beberapa siri hemburan retorik marhaen kosong yang sering dipopularkan pemimpin numero uno mereka!) mahu berfikir sejenak tentang hak warga Kuala Lumpur untuk tidak berdemo?

Hak untuk warga Kuala Lumpur keluar bersenggang bersama keluarga mereka dalam keadaan selamat dan aman? Hak untuk seorang kawan bertemu seorang kawan yang lain pada masa yang dijanjikan? Hak untuk seorang pekerja pergi dan balik kerja dengan selamat tanpa sebarang kelewatan? Hak untuk warga OKU bergerak dengan selamat tanpa sebarang gangguan? Hak untuk seorang ibu tidak risaukan akan anak perempuannya yang belum pulang kerana terdapat rusuhan? Hak untuk peniaga-peniaga kecil mencari sedikit rezeki semasa cuti hujung minggu?

Sememangnya sudah terang lagi bersuluh, gerakan yang didukung sebuah parti yang kononnya memperjuangkan keadilan untuk semua itu hanya sekadar retorik kosong, kerana acap kali telah dibuktikan oleh masa, sama seperti sebab musabab parti tersebut ditubuhkan dulu, mereka nampaknya sekali lagi hanya akan memperjuangkan nasib seorang pesalah laku undang-undang negara.


‘Kesian’ dengan mereka. Kesian juga dengan kita!