PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 20 August 2015

DEIG Mencurigakan, Lebih Membimbangkan – Abdul Rahman



Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan isu pengurusan aset syarikat Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang bernilai RM30 bilion amat mencurigakan dan lebih membimbangkan.

Tegasnya, pihak pembangkang perlu bertanggungjawab untuk menjelaskannya, malah isu itu lebih merisaukan berbanding wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jumlahnya amat besar, RM30 bilion lebih besar daripada RM2.6 bilion, kalau kita lihat maklum balas yang tidak seimbang pembangkang mengenai isu itu amat membimbangkan dan apabila kita lihat di Twitter dan Facebook mereka cuba mengalihkan isu ini.

“Kalau kita lihat komen mereka mengenai RM2.6 bilion, seolah-olah macam esok hendak kiamat, tetapi bagaimana pula aset RM30 bilion boleh diletakkan dalam sebuah syarikat yang mempunyai modal berbayar bernilai RM2,” katanya dalam sidang akhbar Persidangan Perumahan dan Hartanah Kebangsaan Kali ke-18 di sini.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, penjelasan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak memuaskan.

“Kami masih lagi melihat bagaimana soalan-soalan yang dija­wab dalam DUN Selangor tidak memuaskan hati bukan sahaja bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional malah ADUN DAP, PKR dan Pas negeri itu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan pemimpin pembangkang Pusat untuk tidak melihat perkara itu adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini, kita dengar Menteri Besar mahu menjelaskan kepada rakyat tentang isu ini dan kita rasakan ja­ngan tunggu sampai November ketika sidang seterusnya.

“Sekarang ini dia perlu menjelaskan secepat yang boleh bagi meredakan kekeliruan rakyat kerana saya risau tiada tindakan semak dan imbang dalam isu ini dan kita tidak mahu ada penyelewengan berlaku,” jelasnya lagi.

Ditanya berhubung soal usaha kerajaan untuk mengawal Internet, Abdul Rahman menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memerintah untuk menjaga keselamatan dan kestabilan ekonomi negara.

“Kita percaya sekiranya tidak mengambil tindakan menghalang penyebaran fitnah dan kenyataan berbaur perkauman, negara kita akan terjebak dalam keadaan huru-hara.

“Maka sebelum tiba masa itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan keselamatan dan kestabilan daripada ancaman sedemikian, kita sanggup meletakkan masa depan politik kami dan percaya rakyat akan bersama kami berhubung perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment