Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato Mohd Shafei Abdullah, menggesa ahli-ahli UMNO agar tidak mudah mempercayai segala dakyah pembangkang yang diputar belit melalui laman sosial.
Shafei merujuk kepada fitnah pembangkang mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang hangat diperkatakan di negara ini.
Shafei berkata, segala dakwaan yang tersebar melalui laman media sosial kini telah disiasat oleh pihak berkuasa dan sehingga itu ahli-ahli UMNO sepatutnya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan presiden.
"Kita seharusnya menunggu laporan dari Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Sepatutnya sehingga kita mendapat keputusan laporan itu kita perlu sentiasa berada di belakang kepimpinan yang dipilih oleh kita," katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Perwakilan Ke-12 UMNO Bahagian Wangsa Maju di Hotel Grand Season di sini hari ini.
Beliau menambah, ahli-ahli UMNO perlu lebih berhati-hati di dalam permainan pembangkang mengenai isu-isu yang dimainkan dengan menyerang kepimpinan parti UMNO.
Katanya, sekiranya ahli-ahli UMNO tidak berhati-hati, akan wujud kecelaruan di dalam parti dan ia akan mengakibatkan sesuatu yang buruk.
"Fikirkan lah, yang penting kita perlu mempertahankan kuasa ini, dan apabila berlaku kecelaruan di dalam parti kita(ahli UMNO) wajib mempertahankan parti.
"Kerana kalau kita berpecah sekarang ini, Pilihan Raya Umum (PRU) 14, kita akan kecundang dan sekiranya kita kecundang ketika itu, 'menangis air mata darah sekalipun ianya tidak akan kembali'," ujarnya.
Sementara itu, Mesyuarat Perwakilan UMNO Wangsa Maju hari ini meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan oleh Najib.
Usul tersebut diluluskan secara sebulat suara tanpa dibahas sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira-kira 300 perwakilan yang hadir.
No comments:
Post a Comment