KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pakatan pembangkang perlu menyatakan pendirian mengenai Himpunan Guling Kerajaan yang didakwa akan diadakan pada 31 Disember ini sekiranya mereka benar-benar menentang sebarang usaha memperjuangkan nasib kerajaan yang digulingkan di luar negara.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) berkata, penjelasan pakatan pembangkang kepada rakyat mengenai perjuangan mereka yang sering membantah usaha-usaha penggulingan kerajaan di luar negara adalah perlu bagi membuktikan kebenaran.
"Di Parlimen mereka minta isu penggulingan kerajaan Mesir dibahaskan dan sekarang apabila isu itu timbul di negara sendiri, mereka hanya berdiam diri.
"Kita minta mereka menyatakan pendirian apakah mereka merestui perhimpunan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rancangan penganjuran Himpunan Guling Kerajaan yang akan diadakan pada 31 Disember ini.
Menurut Reezal Merican, beliau melihat tidak ada mana-mana negara mampu bangkit selepas mengalami proses penggulingan kerajaan sama ada yang pernah berlaku di Mesir atau Libya.
"Oleh itu, apakah penggulingan kerajaan ini merupakan jalan keluar untuk membentuk kerajaan? Mereka seharusnya meletakkan kestabilan sebagai agenda penting untuk kebaikan rakyat bersama," jelasnya.
No comments:
Post a Comment