PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday, 16 June 2015

Tun Mahathir Bidas Nazri Aziz



KUALA LUMPUR: Tun Mahathir mengakui beliau hanyalah rakyat biasa, namun idea-idea yang dilontarkan beliau sentiasa mendapat sokongan orang ramai.
Tun Mahathir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang menegaskan beliau tidak layak berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, berikutan beliau hanyalah rakyat biasa.
“Dia (Nazri) berkata begitu kerana mewakili orang yang membayarnya. Saya tiada siapa untuk dibayar.
“Tapi apabila saya lihat blog saya dalam masa sejam, kira-kira satu juta rakyat menyokong saya,”katanya, memetik laporan daripada Mstar.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media satu sidang media yang diadakan sejurus selepas beliau berucap di satu majlis ‘Dangerous Ideas’ di sini, semalam.
Tun Mahathir turut menegaskan, beliau mempunyai banyak sokongan dan rakyat juga sering berkata beliau tidak bersendirian.
“Adakah saya bersendirian? Saya fikir tidak. Saya rakyat biasa tetapi ramai yang menyokong idea saya.
“Apabila saya kata saya sendirian, mereka (rakyat) kata saya tidak bersendirian. Saya tidak fikir saya bayar mereka,”katanya dalam nada yang sinis.
Terdahulu, Nazri dengan tegas menyatakan bahawa Tun Mahathir hanyalah rakyat biasa dan tidak mempunyai hak untuk berdebat dengan Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu Perdana Menteri merendahkan dirinya kerana beliau adalah Perdana Menteri, manakala Tun Mahathir hanyalah rakyat biasa,”kata Nazri.
Tun Mahathir turut mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Nazri yang meminta supaya Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk tidak mencampuri urusan politik Negara atau bakal dikecam.
“Selagi kerajaan mengamalkan kebebasan bersuara, Tengku Mahkota Johor itu juga mempunyai hak untuk bersuara.
“Melainkan ada undang-undang yang melarang baginda untuk bebas bersuara,”katanya.
Nazri turut berkata Tunku Ismail perlu menjauhkan diri daripada dunia politik atau beliau akan ‘dibelasah’.
“Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang. Kalau dia mahu jadi ahli politik, jadi dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh jawab balik.
“Kamu memegang jawatan penting di negeri..kalau kerajaan ‘belasah’ kamu balik, jangan marah,”kata Nazri.
Tun Mahathir dengan tegas berkata, Tunku Ismail turut mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menyuarakan pendapat Baginda.

Monday, 15 June 2015

Saya boleh senaraikan kesalahan Najib– Tun M



KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah melakukan pelbagai kesalahan selama enam tahun beliau mentadbir Negara ini.
“Saya boleh senaraikan kesalahan beliau. Namun saya tetap menyokongnya pada pilihan raya umum yang lalu dengan memberinya enam kerusi tambahan untuk menang di Kedah,”kata Tun Mahathir dalam satu sidang media yang diadakan selepas beliau berucap di satu mahlis ‘Dangerous Ideas’ di sini, semalam.
Memetik laporan daripada Mstar, dakwa Tun Mahathir lagi, beliau juga pernah meminta Najib meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) kehilangan banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13.
Namun, ujar Tun Mahathir lagi beliau tetap memberikan peluang kedua kepada Najib sehinggalah timbulnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya pernah katakan sebelum PRU jika dia lakukan lebih teruk daripada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), dia patut letak jawatan.
“Tapi dia lebih teruk daripada Pak Lah, saya fikir untuk berikan dia peluang. Tapi kerajaan kehilangan wang berbillion ringgit adalah satu yang saya tidak boleh terima,”tegasnya.
Tun Mahathir turut berkata, beliau pernah menegur Perdana Menteri supaya tidak menabur wang kepada rakyat kerana tindakan tersebut ternyata salah, namun Najib tetap tidak mengendahkan teguran yang diberikan.
“Saya tegur, beri wang adalah salah, tapi beliau kata wang adalah raja. Anda fikir apabila anda beri wang, anda jadi popular.
“Jika rakyat sayang anda, mereka tidak akan angkat placard “Saya Sayang PM’,”katanya.
Tun Mahathir turut melahirkan rasa kekecewaan beliau apabila Najib enggan mendengar nasihat yang beliau berikan.
Tun Mahathir turut berkata, beliau tidak boleh lagi menyokong Perdana Menteri walaupun Najib merupakan anak seorang tokoh yang sangat diseganinya.

Sunday, 14 June 2015

Setiausaha PAS Pulau Pinang Dihenti Kerja Oleh Kerajaan DAP



GEORGE TOWN: Kemelut DAP-PAS semakin meruncing apabila Setiausaha PAS Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam kerajaan negeri telah diberhentikan kerja berkuat kuasa Jumaat lepas.
Notis bertarikh 12 Jun dari Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri itu telah dihantar dengan tangan kepada Mohd Fadzil Kemi yang memegang jawatan sebagai Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus yang mengesahkan notis tersebut berkata beliau yakin notis itu telah diterima oleh Mohd Fadzil pada Jumaat lepas kerana telah dihantar dengan tangan.
“Notis pemberhentian perkhidmatan itu berkuat kuasa pada 12 Jun 2015 dengan bayaran satu bulan gaji menggantikan notis selaras dengan fasal 9, perjanjian kontrak telah dihantar kepada Mohd Fadzil,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Ahad.
Katanya, dalam tempoh perjanjian kontrak setahun yang ditandatangani pada 12 Disember tahun lepas, mana-mana pihak boleh menghentikan kontrak tersebut tanpa sebarang alasan.
Sementara itu usaha untuk mendapat maklum balas daripada Mohd Fadzil yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, gagal kerana beliau tidak dapat dihubungi.
Pada Sabtu, Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan telah mendesak kepimpinan baharu PAS untuk mengarahkan wakil- wakilnya untuk mengundur diri.
Beliau berkata adalah tidak logik kepimpinan baharu PAS masih cuba berbelit-belit bahawa mereka masih membincangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bila usul itu “diterima” tanpa bahas dan “bukan dirujuk” oleh Muktamar PAS.
Lim berkata tiga wakil PAS dalam kerajaan PAS, iaitu Mohamad Sabu, Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan Ustaz Rosidi Hussain telah meletakkan semua jawatan mereka dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
Kemelut DAP-PAS berlaku selepas Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.
-mstar

Saturday, 13 June 2015

Keluar parti: Tidak jejaskan Pas



SEREMBAN – Tindakan 12 pemimpin dan ahli Pas Kawasan Jelebu membuat keputusan keluar parti, tidak memberi kesan buruk kepada Pas Negeri Sembilan.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun berkata, pihaknya sudah mengetahui perkara itu sebelum kesemua pemimpin dan ahli terbabit mengumumkan keluar parti secara rasmi, Jumaat lalu.
“Kita teruskan perjuangan parti walaupun diganggu berita ahli keluar parti.
“Bagaimanapun, kita akan meneliti perkara ini dan mengkaji punca masalah sebelum sebarang keputusan dan tindakan diambil,” katanya.
Beliau berkata, Pas Negeri Sembilan mengadakan pertemuan tertutup malam tadi, membincangkan isu itu.
Katanya, pertemuan di Markas Pas Seremban itu dilakukan secara tertutup membabitkan beberapa pemimpin parti, selepas selesai Majlis Sambutan Ambang Ramadan dihadiri Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.
“Selain beramah mesra dengan kepimpinan Pas negeri, kita mengambil kesempatan berbincang perkara tersebut termasuk program bagi memantapkan parti,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan hasil perbincangan tersebut.
Jumaat lalu, 12 pemimpin dan ahli Pas Kawasan Jelebu keluar parti selepas tidak yakin kepada kepimpinan baharu.
Antara yang keluar parti, Pengarah Pilihan Raya Pas Jelebu, Saiful Bahri Jaaman; Ketua Pemuda Pas Jelebu, Mohd Faizal Fadli Idrus; Ketua Penerangan Pas Cawangan Geylang, Raniman A Rani serta ahli Pas Kawasan Jelebu.
-Sinar Harian

Friday, 12 June 2015

Saran Tun Mahathir, Najib Berdamai



KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Seri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah melahirkan pandangan ikhlas beliau terhadap krisis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar dapat diselesaikan segera .
Menurut bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lagi, beliau mencadangkan agar Perdana Menteri bersemuka dengan Tun Mahathir.
“Saya minta Datuk Seri Najib pergi ‘menghadap’, bukan Tun Mahathir ‘menghadap’ Najib,” katanya, memetik laporan daripada Mstar.
Ibrahim berkata demikian selepas beliau hadir ke taklimat tertutup Majlis Penerangan Perdana bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.
Beliau berpandangan sedemikian kerana Tun Mahathir lebih berusia berbanding Perdana Menteri dan juga pernah mentadbir negara ini selama 22 tahun.
“Tun Mahathir ni sebenarnya baik hati, tapi daripada konsep keluarga, dia lebih tua dan bekas Perdana Menteri.
“Tak ada apa masalah jika Perdana Menteri pergi jumpa dan sebagai anak didik Tun M, cuba rapatkan hubungan dan selesaikan masalah perbezaan pendapat,” jelas beliau lagi.
Ujarnya lagi, sekiranya krisis perbezaan di antara kedua-dua tokoh kehormat berkenaan berterusan, ianya akan merugikan parti dan juga banyak pihak.

Thursday, 11 June 2015

Anggap Duit hilang selagi 1MDB Tidak Tunjuk bukti-Tun M



KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus mengasak dengan pelbagai persoalan mengenai duit pinjaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkannya telah hilang selagi masih tiada bukti mengenai pelaburan dan pembayaran mengenainya dibuktikan.
Menerusi penulisan blog beliau chedet.cc hari ini, beliau mengesa supaya kerajaan perlu mengemukakan dokumen sah yang bertandatangan dan bukan sekadar mereka pelbagai cerita tentang kehilangan wang dalam 1MDB.
“Sehingga bukti dokumentari ditandatangani dan bukan hanya kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif atau Perdana Menteri, ditunjukkan,..kita perlu menganggap bahawa wang yang dipinjam oleh 1MDB telah hilang,” katanya.
Tambah beliau lagi bukti juga perlu diberikan berkenaan kewujudan syarikat Petro Saudi dan pelaburan dalam Cayman Island juga mengelirukan.
“Pemilikan telaga minyak di Argentina dan Kazakhstan (atau adakah ia Turkmenistan) tidak begitu jelas, dan tiada pemilikan kapal penggerudian.
“Kemudian tiba-tiba USD 300 juta bayaran oleh 1MDB ditukar kepada pinjaman Murabaha. Ini USD 300 juta seolah-olah telah bertukar tangan dengan kelajuan kilat.
“Kami benar-benar tidak tahu di mana ia dan 1MDB juga tidak akan memberitahu kita mengenai,” tulisnya.
Tambahnya lagi, 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak masih tidak menunjukkan bukti kewujudan wang USD 1 Billion yang di simpan di Kepulauan Caymandan dan persoalan mengenai wang tersebut disimpan di Singapura atau ianya telah hilang.
“Kita perlu bukti semua pelaburan dan pembayaran yang dibuat oleh 1MDB…tetapi tiada bukti telah ditunjukkan untuk menerima pengambil alihan loji janakuasa dan pembelian tanah Kerajaan di Kuala Lumpur serta tanah persendirian di Pulau Pinang,” katanya lanjut.

Wednesday, 10 June 2015

A. Samad Said Sertai DAP



KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengumumkan penyertaannya sebagai ahli DAP sebagai salah satu usaha beliau untuk mendekati rakyat.
Memetik laporan daripada Malaysian Insider, beliau yang turut dikenali dengan panggilan Pak Samad turut digelar sebagai ‘Perwira Ubah’ oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Mereka menganggap tindakan ini akan mencemarkan imej sasterawan Negara.
“Tetapi bagi saya, ianya tidak menjadi masalah kerana setiap tindakan pasti akan ada pro dan kontranya,” kata beliau.
A.Samad berkata, beliau sudah lama berhasrat untuk menyertai parti itu, namun tidak pernah diluahkan walaupun terdapat beberapa pihak yang berasa kurang senang dengan tindakannya itu.
Beliau turut menyatakan antara sebab beliau menyertai DAP adalah kerana parti itu lebih sekular kerana lebih mewakili rakyat Malaysia berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.
Katanya lagi, DAP juga telah menunjukkan sikap mesra parti itu terhadap orang Melayu, tetapi sering diputarbelitkan oleh media.
“Saya fikir mula mesra tetapi biasanya gambaran media yang merosakkannya.
“Kalau kita lihat interaksi pimpinannya, individu yang mewakilinya, ia sangat merangsang bagi saya,”katanya.
A.Samad turut melahirkan kebimbangannya terhadap apa yang terjadi dalam Pakatan Rakyat (PR), namun, penelitian perlu dibuat oleh beliau sebelum memberikan sebarang pandangan.
Penyertaan sasterawan Negara itu dilihat sebagai salah satu usaha untuk membantu DAP bagi menarik lebih ramai penyokong Melayu memandangkan parti itu pernah dilabelkan sebagai anti-Islam dan Melayu oleh parti UMNO serta PAS.