PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 14 May 2015

Dr M Lakukan ‘Bailout’ Ketika Jadi PM – Salleh



KOTA KINABALU: Tanah yang dibeli oleh Tabung Haji dari 1MDB bukan ‘bailout’ (menyelamat) jika dibandingkan dengan tiga langkah menyelamat utama yang dilakukan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kata Speaker Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.
“Perkataa ‘bailout’ adalah istilah negatif dan telah sengaja digunakan atau disalahgunakan untuk menyindir bahawa ada sesuatu yang tidak kena berlaku,” kata Salleh, yang juga Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri Sabah di dalam blognya.
Salleh membangkitkan isu-isu ‘bailout’ di bawah era Dr Mahathir, memetik kes Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), yang dikatakan muflis kerana rekod pinjaman BMF yang buruk di Hong Kong, sambil menambah Petronas terpaksa menyuntik wang untuk menyelamatkan bank tersebut.
“‘Bailout’ berlaku apabila wang dipam ke dalam sebuah organisasi yang sakit tanpa sebarang pulangan ke atas wang itu.
“Sama ada anda menerima dividen atau anda tidak mendapatkan wang anda kembali.
“Perwaja adalah ‘bailout’ kerana jika wang tidak dipam ke dalam syarikat itu, ia akan muflis.
“Sekali lagi, tidak ada pulangan wang kerajaan yang dipam ke dalam Perwaja,” katanya.
Salleh berkata kerajaan membeli balik saham MAS daripada Tajudin Ramli dan itu juga merupakan ‘bailout’.
“Jika kerajaan tidak membeli saham tersebut, Tajuddin akan muflis. Kerajaan terpaksa membeli balik saham pada cara di atas harga pasaran,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa pembelian Konsortium Perkapalan Berhad oleh Petronas bukan ‘bailout’.
Beliau berkata Mirzan Mahathir mahukannya pada harga RM2 bilion untuk membolehkannya menampung hutang RM1.7 bilion beliau.
“Tetapi Petronas hanya bersetuju untuk membayar RM1 bilion. Jadi Mirzan hilang RM1 bilion dalam perjanjian itu manakala Petronas kemudian menjual syarikat itu untuk keuntungan besar beratus-ratus juta.”
Beliau berkata, keadaan seperti itu yang tidak boleh dianggap sebagai ‘bailout’ tetapi ‘pembelian’, walaupun jika Petronas tidak membeli syarikat itu, Mirzan akan menjadi muflis.
“Oleh itu, apabila Tabung Haji membeli aset dari 1MDB pada harga diskaun sedikit berbanding nilai pasaran, adakah anda memanggilnya ‘bailout’ apabila Tabung Haji tidak mengepam wang ke dalam 1MDB tanpa pulangan sekalipun, seperti yang berlaku dalam semua contoh-contoh lain di atas?” dia bertanya.
-mstar

Wednesday, 13 May 2015

Kungfu Tun Mahathir Adalah Taichi Azmin Ali



BLOG SALLEH SAID KERUAK - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak menganggap siri kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan memberi kelebihan kepada kempen PKR di Permatang Pauh.

Dalam catatan terbaharunya melalui laman blog sskeruak.blogspot.com bertajuk 'Mahathir’s Kungfu is Azmin’s Taichi' (Kungfu Mahathir ialah taichi Azmin), Mohd Salleh mengulas tentang impak teguran Mahathir selama ini termasuk yang mengatakan bahawa UMNO bukan lagi parti kuat dan akan menerima kesan buruk dalam pilihan raya akan datang.

“Menteri Besar Selangor Azmin Ali menggunakan serangan terhadap Perdana Menteri ini untuk memberitahu para pengundi di Permatang Pauh bahawa Mahathir sendiri mengkritik UMNO maka pengundi perlu menolak parti itu dan memilih PKR.

“Azmin sedang memainkan peranan pintar dalam taichi. Dalam taichi, anda menggunakan daya serangan pihak lawan untuk menjatuhkan mereka,” ujar beliau.

Jelasnya, Azmin ‘memusingkan’ serangan Mahathir tersebut seperti taichi dan menggunakan kata-kata bekas Perdana Menteri itu untuk mempengaruhi para pengundi.

“Inilah bahayanya apabila anda mengkritik parti anda sendiri. Pihak lawan akan menggunakannya semula bagi menentang anda,” kata Mohd Salleh sambil menjangkakan situasi itu sedang berlaku di Permatang Pauh.

Tuesday, 12 May 2015

Rasa Hormat Najib Berdepan Serangan Tun M



BLOG SALLEH SAID KERUAK - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak punya hak sama ada memilih tindakan berdiam diri atau bersuara terhadap kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Speaker Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, rakyat negara ini tidak boleh sewenangnya mempersoalkan tindakan Najib yang memilih berdiam diri bagi menjawab kritikan Dr Mahathir.

Jelasnya, Najib bukan tidak mampu membalas serangan Dr Mahathir, sebaliknya cuba menunjukkan contoh terbaik bagi kehidupan masyarakat sivil dalam tindakannya.

“Ini bukan gerak kerja dalam negara demokrasi dan masyarakat sivil.

"Beliau (Najib) terus tenang walaupun beliau dituduh mengabaikan isu tersebut dan tidak menjawab semua dakwaan yang dilontarkan kepadanya kerana rasa hormatnya kepada Dr Mahathir.

“Bagaimanapun bila beliau tidak menjawab kritikan Dr Mahathir, beliau kini dituduh memprovokasi dan memanjang isu yang dikemukan pula,” katanya menerusi petikan blognya sskeruak.blogspot.com, semalam.

Katanya lagi, sebagaimana rakyat diberi peluang untuk mengkritik, masyarakat negara ini juga harus memberi peluang untuk Najib menerima dan membalas kritikan yang dilontarkan.

"Tidak syak lagi rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengkritik.

"Bagaimanapun, dalam masa yang sama, mereka yang dikritik juga mempunyai hak untuk menjawab kritikan tersebut. Hak itu berfungsi dalam dua cara.

"Kita tidak boleh mengkritik beliau (Najib) kerana berdiam diri, dan kemudian,kita kritik beliau kerana beliau 'buka mulut'," katanya lagi.

Monday, 11 May 2015

Azmin Biadab Gelar Polis Barua UMNO - Syed Ali



Menteri Besar Selangor, Azmin Ali disifatkan terlalu biadab apabila menuduh polis menjadi barua UMNO dan Barisan Nasional (BN), tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Tegasnya, PKR kini semakin terdesak sehingga membuat tuduhan kurang siuman terhadap pihak polis dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Tindakan Azmin itu juga berbau hasutan dengan mengajak rakyat membenci pasukan keselamatan.

"Ia satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan terhadap seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menteri Besar Selangor itu sudah melampau batas dan bersikap kurang ajar apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Ketika berucap di satu majlis ceramah politik di Permatang Pauh pada malam Isnin, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dilaporkan sebuah portal bertanya kepada hadirin sekiranya pegawai cawangan khas (SB) turut serta di ceramah itu.

"SB ada di belakang? Kalau ada datang depan. Saya tak takut. Beritahu Ketua Polis Negara, tolonglah, nak jadi Ketua Polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua UMNO dan BN?" kata Azmin yang disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

Selepas itu, Azmin kemudian sekali lagi dilaporkan mengajukan soalan dan meminta hadirin menjawab sama ada Khalid menjaga keselamatan negara atau UMNO.

"Saya nak tanya orang Permatang Pauh, orang Permatang Pauh kena jawab malam ini. Ketua Polis yang ada sekarang menjaga keselamatan negara atau keselamatan UMNO dan BN?" soal Azmin.

Dalam pada itu jelas Syed Ali, penghinaan yang dilakukan Azmin tidak boleh diterima dan sekali gus mencerminkan PKR sangup mengetepikan undang-undang kerana desakan politik.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden PKR itu.

"Pembangkang sanggup menghalalkan cara untuk mengekalkan kuasa politik. Azmin sengaja melakukan provokasi jahat bagi mencetuskan kegelisahan orang awam dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap polis.

"Tuduhan Azmin itu amat serius dan jika dibiarkan tanpa tindakan undang-undang, dikhuatiri akan mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan keselamatan secara keseluruhannya," tegasnya.

Tambah Syed Ali lagi, tugas pihak polis selama ini tidak mencampuri urusan politik sebaliknya menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam.

"Apabila ada yang langgar undang-undang termasuk dilakukan oleh pemimpin politik, maka pihak polis terpaksa bertindak berasaskan prosedur sedia ada.

"Tuduhan kesat Azmin terhadap pihak polis khususnya kepada Khalid dilihat amat keterlaluan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Syed Ali menegaskan Azmin tidak sepatutnya menggunakan pentas politik  untuk membuat tuduhan terhadap IGP dan mengaitkannya dengan UMNO mahupun BN.

"Mengapa kaitkan UMNO, apakah selama ini orang UMNO tidak ada yang ditahan polis, apakah orang UMNO kebal?

"Sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin sepatutnya berfikiran lebih rasional kerana undang-undang sedia ada di negara ini tidak mengecualikan seseorang individu atau kumpulan tertentu.

"Dia (Azmin) sengaja ambil kesempatan dalam ceramah politik untuk melepaskan geram dengan menghina pasukan polis dan Khalid, ini perlakuan yang tidak bermoral," katanya.

Syed Ali turut menyatakan rasa kesal kerana pemimpin pembangkang sering menunding jari kepada pihak polis di atas kesalahan yang mereka lakukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sependapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyertai pembangkang walaupun beliau dilihat banyak mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pada hemat saya, tidak mungkin Dr Mahathir akan membelakangkan UMNO walaupun dia dilihat mengkritik kerajaan yang ada sekarang.

"Dr Mahathir merupakan negarawan dan pemimpin UMNO yang sayangkan kepada parti dan rakyat serta negara ini.

"Selama ini pembangkang sengaja memutarbelitkan teguran Dr Mahathir dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyebelahi mereka," katanya.

Jelasnya, pembangkang juga dilihat sengaja memperalatkan nama Dr Mahathir untuk meraih sokongan seperti yang didakwa dakwaan Mukhriz kononnya Dr Mahathir akan turun ke PRK Rompin dan menyertai perhimpunan haram di Sogo baru-baru ini.

Sunday, 10 May 2015

Hudud : Tuduhan Pemimpin DAP Tidak Berasas



 Status Facebook Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Pusat, Datuk Teng Chang Khim adalah bermotifkan desakan kepada Pas agar tidak terus memperjuangkan hudud kerana ia didakwa menyebabkan kekalahan kepada calon Pas di Parlimen Rompin.

Memetik laporan Sinar Harian, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman berkata, status itu juga seolah-olah mengaitkan hudud sebagai punca kekalahan Pas di Rompin.

Menurutnya, status berkenaan tidak berasas dan Chang Khim harus sedar bahawa isu hudud tidak boleh mempengaruhi pengundi di Rompin kerana majoriti pengundi adalah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

“Hudud adalah satu kewajipan kepada umat Islam. Ia penting. Bila isu itu dimainkan, ia langsung tidak memberi kesan kepada pengundi di sana.

“Pandangan Chang Khim juga adalah berat sebelah. Sebagai wakil rakyat yang bukan beragama Islam, dia tidak harus mencampuri perkara yang berkaitan dengan agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan Adun Sungai Pinang itu memuat naik status Facebook berbunyi, ‘Iktibar Rompin: Isu hudud tidak menguntungkan Pas, Umno tewas atas GST’.

Berhubung kenyataan 'Umno tewas atas GST', Muhammad Fuad berkata, kemenangan BN di Rompin berkait rapat dengan kedudukan Rompin sebagai kubu kuat BN sejak dahulu lagi.

“Apa yang saya nampak isu GST yang dimainkan pembangkang bagi meraih kemenangan tidak berjaya mempengaruhi pengundi di sana.

“Pengundi di sana tidak terkesan dengan GST. Bagaimanapun, jika kerajaan gagal memberi penjelasan kepada rakyat, ia akan memberi kesan pada pilihan raya akan datang memandangkan GST adalah satu perkara yang dekat dengan rakyat,” katanya.

Saturday, 9 May 2015

Tabung Haji Jual Semula Tanah di Tun Razak Exchange




 Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menjual semula satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada pertimbangan RM188.5 juta sebelum ini.

TH dijangka meraih keuntungan lebih RM5 juta daripada penjualan plot tanah itu seluas 1.56 ekar.

Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata setakat ini sudah ada tiga pihak sedia membeli tanah ini dan urusan jual beli tanah ini akan dilaksanakan TH minggu depan. Katanya, keputusan penjualan itu juga sudah diputuskan dan dipersetujui semua ahli Lembaga Pengarah TH.

"Kita pegang tanah ini sebulan saja dan kita sudah setuju untuk jual semula dengan sedikit keuntungan yang akan kita peroleh," katanya pada sidang media di Menara TH, pagi ini.

Mengikut Azeez, TH juga akan dapat semula 100 peratus wang yang dibayar kepada 1MDB untuk pembelian tanah itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, Azeez berkata, keputusan menjual semula tanah itu juga sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah TH yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Syukur Hussein berkata, keputusan menjual semula itu dibuat bagi menghentikan fitnah daripada berterusan.

"Kita dah (sudah) bersetuju mengenai ini, supaya fitnah ini tidak berterusan, maka kita jual semula tanah," katanya.

UMNO Perlu Berani Berubah



UMNO perlu tuntas berubah dalam mendepani cabaran politik semasa tanah air dengan memperkukuhkan solidariti mereka untuk terus kekal menjadi parti teras kepada pemerintahan negara.

Pakar politik dan akademik berpendapat dalam mendepani cabaran politik kini, Umno, yang akan menyambut ulang tahun ke-69 penubuhannya pada 11 Mei ini,  perlu berani berubah dalam modus operandi politik mereka dan bersedia melakukan pembaharuan yang segar. 

Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata sebagai tunjang utama kerajaan, Umno perlu menjawab segala kritikan dan menjelaskan pelbagai isu semasa kepada rakyat.

"Kepimpinan dan keseluruhan jentera baik dari atas sampai ke peringkat cawangan perlu faham, sekarang ini, apa-apa isu baik yang baik dan buruk perlu segera dijelaskan.

"Jika solidariti dalam kalangan jentera sendiri kurang atau tiada, bagaimana mereka ingin turun padang dan sama-sama jelaskan isu semasa dalam misi meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat?," katanya.‎

Mohd Fuad berkata apabila semua isu dijelaskan dan penambahbaikan dilakukan, maka sokongan dan keyakinan rakyat kepada Umno pasti diterjemahkan pada  PRU14 nanti.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat pendekatan pemasaran Umno untuk mendapatkan keyakinan rakyat perlu berubah dan bukan lagi di takuk lama.  

"Jika tidak, rakyat akan mendengar perkara yang sama. Tiada idea segar dan tiada perubahan," katanya.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-69 penubuhan Umno, beberapa acara penting tahunan telah dirancang baik dari pengisian ilmiah mahupun kerohanian, kata jurucakap Umno.

Ini termasuk tahlil khas buat Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, bekas Ahli Parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), yang terkorban dalam nahas helikopter pada April lepas.

Turut dirancang adalah solat Maghrib diikuti bacaan Yasin, doa kesyukuran di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selain solat Isyak.

Acara lain adalah upacara menaikkan bendera Umno di Dewan Merdeka, PWTC, diiringi nyanyian lagu Umno 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan amanat pada majlis itu yang turut dihadiri pemimpin parti komponen  BN selain menyampaikan anugerah Melayu terbilang.

Pada PRU13, Umno meraih 88 kerusi Parlimen dan 241 kerusi Dun berbanding 79 kerusi Parlimen dan 239 kerusi Dun pada PRU12.

Selepas PRU lepas, parti teras BN itu kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kritikan terhadap program kerajaan seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan, teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Umno diasaskan pada 11 Mei 1946 oleh Datuk Onn Jaafar yang juga Presiden Umno pertama bertujuan membantah penubuhan Malayan Union oleh kerajaan British ketika itu.